hati

Air bersih untuk 1,000 keluarga

Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Air bersih sumber yang penting dalam memenuhi keperluan kehidupan saban hari. Tanpa sumber air yang mencukupi pelbagai aktiviti harian seperti memasak dan membasuh sukar disempurnakan dengan baik.

Memahami kepentingan sumber air yang bersih, Coway Malaysia memulakan misinya untuk menyediakan bekalan air bersih kepada 1,000 keluarga Orang Asli di seluruh Malaysia bagi tempoh lima tahun.

Usaha ini dinyatakan menerusi kerjasama jenama itu bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk memulakan fasa pertama tanggungjawab korporat sosial (CSR) jangka panjang yang dikenali sebagai ‘Happy Water Project’.

Pengarah Urusan Coway (M) Sdn Bhd, Kyle Choi Ki-Ryong berkata, ia adalah sebahagian daripada perkhidmatan komuniti jangka panjang syarikat.

“Kami amat terkesan apabila mendapati ramai rakyat Malaysia di kawasan pedalaman tidak mendapat sumber air bersih.

“Saluran kepada bekalan air bersih sangat penting untuk setiap orang dan kami berharap projek ini dapat meningkatkan taraf hidup mereka yang kurang bernasib baik,” katanya.

Fasa pertama ini membantu lebih 327 penduduk daripada 73 keluarga yang tinggal di kawasan pedalaman Kampung Sungai Tiang, Cameron Highlands.

Ketika dihubungi, komuniti ini masih belum menerima sumber bekalan air bersih untuk kegunaan harian kerana penggunaan air yang banyak di ladang dan kekurangan paip khusus untuk perkampungan mereka.

Mereka hanya menggunakan air yang diperoleh dari sungai dan gunung untuk memasak, minum serta melakukan kerja rumah yang lain.

Sistem penuaian air hujan yang disediakan direka khas supaya ia mudah diselenggara dan dilengkapi pam bagi menampung penggunaan air di gunung.

Ini adalah penyelesaian ringkas dan berguna bagi penduduk kampung Orang Asli, memudahkan mereka untuk menjaganya tanpa memerlukan tenaga buruh yang berkemahiran.

“Penajaan sistem penuaian itu akan dilaksanakan secara berterusan dengan kerjasama JAKOA sepanjang tempoh lima tahun.

“Kami memilih kampung yang tidak mendapat sumber bekalan air daripada kerajaan atau bekalan sumber air yang tidak mencukupi untuk keperluan harian.

“Kami berharap agar kesedaran untuk mendapatkan air yang bersih, jernih dan lebih baik akan bertambah dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Hadir sama dalam majlis berkenaan, wakil ibu pejabat JAKOA, Rozalizam Ab Rahman; wakil JAKOA Cameron Highlands, Muzamir Md Shukri dan Pengarah Pemasaran Coway Malaysia, Ryan Jung.

Pada masa sama, jenama berkenaan juga bekerjasama dengan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) menerajui kempen CSR digital, ‘Little Heart for Cancer’.

Gerakan yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan mengesan kanser pada peringkat awal dalam kalangan orang ramai ini berjaya mendapat maklum balas yang baik dengan penyertaan lebih 90,000 peserta di Facebook.

Sebagai balasan, Coway menaja sebanyak 25 unit penapis air, Core kepada NCSM dan wad Institut Radioterapi dan Onkologi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Disiarkan pada: July 4, 2017 @ 12:54pm
d