hati

Tidak tergesa-gesa demi hasil terbaik

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Siapa kata lelaki tidak mahir dalam bidang pastri? Sekiranya kena dengan cara dan minat, golongan itu mampu beraksi sama hebat dengan wanita.

Dari jauh keharuman bau biskut dan kek menusuk hidung. Baunya semakin menggoda selera sebaik melangkah ke studio Mad About Cake yang beroperasi di SS2, Petaling Jaya, Selangor.

Diusahakan dua anak tempatan, Wan Noor Zamran Hashim, 46, dan Zam Akmal Abd Halim, 32, segalanya bermula daripada perniagaan yang dijalankan di rumah pada 2002.

Mempunyai latar belakang dan pengalaman lebih 10 tahun berkhidmat di hotel dan mengendalikan pembuatan pastri membuatkan Wan Noor Zamran tekad mahu mengorak langkah dengan menjalankan perniagaan sendiri.

Menurut Wan Noor Zamran, dia mula serius menjalankan perniagaan dalam bidang itu selepas mendapat tempahan kali pertama daripada rakannya.

“Rakan meminta saya membuat kek perkahwinannya dan sebaik saja majlis itu selesai saya menerima dua lagi tempahan kek perkahwinan yang menjadi detik permulaan pembukaan Mad About Cake.

“Melihat kepada tempahan kek yang semakin meningkat, saya mengajak Zam Akmal menjadi rakan kongsi sekitar 2008.

“Saya yakin dia (Zam Akmal) adalah rakan kongsi yang sesuai kerana kami mempunyai keserasian bekerja. Saya juga mahukan idea, input dan perspektif daripada generasi muda supaya kami dapat menghasilkan kek yang bukan saja cantik malah bertepatan dengan cita rasa semua,” katanya.

Kini Zam Akmal menerajui bahagian kreatif di Mad About Cake terutama dalam menghasilkan lukisan yang menjadi sebahagian daripada dekorasi kek.

Wan Noor Zamran berkata, bermula daripada pembuatan kek jenis fondant kini pihaknya menyediakan pelbagai jenis kek yang turut mempunyai evolusi dekorasi kek bagi menjadikan produk keluaran mereka unik.

“Kami juga sudah berpindah ke studio kek di Petaling Jaya tiga tahun lalu kerana rumah yang digunakan sebelum ini tidak lagi dapat menampung kapasiti tempahan yang berkembang secara konsisten.

“Syukur tempahan diterima semakin meningkat dari hari ke hari yang membuatkan kami rasa tambah seronok untuk bekerja dan ‘berkarya’,” katanya.

Zam Akmal memberitahu, pada awalnya, kerjanya serba tidak kena. Untuk membuat kek coklat biasa pun terasa amat kekok, tidak kemas dan comot. Namun dia tetap terus belajar menghasilkan kek dengan lebih teliti.

“Kini memori itu menjadi kenangan manis buat saya ketika mula menjadi sebahagian daripada Mad About Cake. Saya sentiasa mempelajari dan mengambil inspirasi daripada YouTube selain menghadiri kelas dekorasi bagi menajamkan kemahiran,” ujarnya.

Buat yang ingin menempah kek, Zam Akmal menasihati pelanggan supaya datang dengan contoh idea yang mereka mahukan.

“Apabila mereka datang untuk temu janji, saya nasihatkan supaya membawa gambar atau contoh kek yang dikehendaki. Jadi pelanggan tidak perlu membuang masa terlalu lama dan kami tahu apa yang mereka kehendaki.

“Melalui contoh yang dibawa, kami akan gabungkan idea kami dan pelanggan untuk mendapatkan hasil yang lebih baik.” katanya.

Bergantung kepada kesukaran dekorasi, Zam Akmal berkata, biasanya dia mengambil masa lebih kurang sejam menyiapkan lukisan ringkas sebagai dekorasi atas kek manakala untuk lukisan yang lebih rumit dan terperinci, dia memerlukan hampir setengah hari.

“Saya mementingkan ketelitian dan tidak mahu tergesa-gesa dalam menghasilkan kek bagi memastikan hasilnya adalah terbaik dan menarik.

“Tahun lalu, kami berdua dan dibantu pekerja Mad About Cake mengambil masa enam hari untuk menghasilkan kek perkahwinan Amyra Rosli dan Amar Bahrin yang berkonsepkan istana serta amat bersyukur dengan hasilnya,” katanya.

Selain kek, mereka turut menghasilkan biskut cip coklat ‘Cookies Most Wanted’ secara komersial sejak tiga tahun lalu.

“Selepas sambutan memberangsangkan diterima ke atas kek, kami mengorak setapak lagi ke depan dengan menghasilkan biskut ini. Menggabungkan bahan utama seperti koko dan cip coklat, biskut ini akan dibuat secara manual, tanpa penggunaan mesin bagi mengekalkan kesegarannya.

“Kami berjaya membuktikan biskut hasil buatan tangan mampu setanding dengan produk antarabangsa. Syukur dengan resipi kami sendiri, biskut ini menerima sambutan menggalakkan,” ujarnya.

Kata Wan Akmal, dia berharap perniagaan kek dan biskut diusahakan terus berkembang maju dan mendapat sambutan daripada penggemar manisan dan pastri.

“Kami juga sedaya upaya membuktikan bidang diceburi ini bukan saja untuk wanita dan kami akan terus berusaha keras mengembangkan perniagaan ini.

“Kami juga memasang impian supaya setiap penggemar manisan dan kek akan terus teringatkan Mad About Cake apabila teringin atau mahu menempah,” katanya mengakhiri bicara.

Disiarkan pada: July 4, 2017 @ 2:06pm
d