hati

Kaedah belajar ikut peringkat usia

Oleh Siti Zarinah Sahib

Sekumpulan kanak-kanak berusia tujuh hingga sembilan tahun tekun menyusun blok Lego mengikut kreativiti mereka sendiri. Ada yang menghasilkan kereta, alat permainan, figura dan tidak kurang pula terus berimaginasi menghasilkan rekaan yang tidak diketahui bentuknya.

Namun ketekunan, daya tumpuan dan kesabaran mereka harus dipuji kerana kanak-kanak ini langsung tidak merungut atau menunjukkan tanda bosan. Sebaliknya selama satu hingga dua jam mereka terus fokus melekatkan blok Lego sehingga benar-benar berpuas hati dengan hasilnya.

Bagi kanak-kanak yang lebih berusia sekitar 10 hingga 17 tahun mereka berada dalam kumpulan berbeza. Walaupun pembelajaran sama berasaskan Lego namun dengan cara yang lebih canggih iaitu melalui pengaturcaraan komputer.

Menurut Pengurus Pemasaran dan Jualan Akademi Teknologi DS Mohd Haaziq Mohd Yusof, perbezaan cara dan pendekatan mengikut peringkat usia disebabkan kanak-kanak pada usia tujuh hingga sembilan tahun gemar berimaginasi dan bermain dengan blok Lego. Ini adalah satu cara memperkemaskan tumpuan dan minat mereka.

“Bagi kumpulan yang berada pada awal remaja mereka lebih matang, berani dan sentiasa inginkan sesuatu yang lebih mencabar. Jadi silibus dalam pembelajaran lebih kepada menghasilkan rekaan robot dengan kaedah koding menggunakan komputer,” katanya.

Walaupun baru saja dibuka dua tahun lalu di Bandar Baru Bangi, kelas yang menawarkan asas rekaan robotik mendapat sambutan menggalakkan daripada ibu bapa yang sudah mempunyai kesedaran mengenai kepentingan sains dan teknologi pada masa hadapan.

Mereka juga tidak mengharapkan dengan memasuki kelas dan belajar pada setiap minggu anak dapat menguasai kemahiran yang diajar sebaliknya dengan cepat kerana kemahiran berkomunikasi lebih utama.

Katanya lagi, kehadiran gajet seperti telefon pintar dan tablet menjadikan generasi masa kini lebih terarah untuk mempelajari sesuatu yang baru.

Berikan apa saja ilmu berkaitan komputer atau teknologi maklumat mereka mudah menerimanya. Secara tidak langsung ia mendedahkan kepada sesuatu yang lebih positif sama ada dari segi mental dan emosi mereka.

“Dari sudut yang lain ibu bapa dapat mengalihkan tumpuan dan perhatian anak bukan hanya kepada permainan video atau melayari YouTube sebaliknya otak mereka dilatih secara pengkomputeran menjadi lebih sistematik, kreatif dan inovatif,” jelasnya.

KEBAIKAN MENTAL DAN EMOSI

Menurut Ketua Jabatan Kurikulum Akademi Teknologi DS Muhammad Ghazali Ya’id, ketika menyiapkan mengenai silibus pembelajaran dia membuat kajian dengan merujuk negara luar termasuk Jepun, China, Korea dan Amerika Syarikat mengenai

kaedah pembelajaran yang akan digunakan. Pada masa sama, supaya pelajar tidak ketinggalan, disediakan juga dengan pertandingan robotik kebangsaan bagi menanam lebih minat dalam bidang ini.

“Walaupun pada mulanya niat ibu bapa yang menghantar anak ke sini hanya sekadar mengisi masa terluang sepanjang cuti sekolah tetapi dengan tunjuk ajar jurulatih berpengalaman dalam bidang sains komputer dan kejuruteraan menjadikan mereka semakin mahir sehingga mampu menyertai pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Mengenai manfaat yang diperoleh daripada kelas robotik, ia bukanlah boleh dilihat secara spontan sebaliknya mengambil masa dan secara berperingkat. Misalnya kemahiran menyusun Lego atau menghasilkan rekaan robot merangsang pemikiran menjadi lebih sistematik dan berstruktur dalam menyelesaikan masalah.

“Motor halus adalah kemampuan pergerakan membabitkan otot kecil, koordinasi mata dan tangan. Saraf motor halus dapat dilatih dan dikembangkan melalui kegiatan dan rangsangan secara rutin.

“Memegang, menyusun dan berfikir meningkatkan kemampuan motor halus kepada si kecil. Ia sekali gus memperlihatkan keterampilan imaginasi dalam menghasilkan rekaan robot kerana untuk mendapatkan hasilnya mereka perlu kreatif berfikir,” katanya.

Berada dalam kumpulan berbeza usia pula memupuk sikap bekerjasama dalam kelompok dan meningkatkan kepercayaan diri, menerima dan menghargai pendapat orang lain serta berani menyatakan sesuatu dengan cara paling sopan dan berhemah.

Diberikan tempoh yang lama untuk menyelesaikan masalah pula menjadikan anak lebih sabar dan tekun dalam membuat sesuatu projek sehingga akhirnya sifat ini terbawa-bawa di sekolah.

Bagi yang mengambil mata pelajaran sains di sekolah, kelas robotik turut berhubung kait dengan mata pelajaran Matematik, Sains, Fizik dan Elektronik. Ini secara tidak langsung menanam minat mereka dalam bidang sains dan teknologi.

ALTERNATIF PADA SEKOLAH

Menyedari tidak semua kanak-kanak berkemampuan dalam pelajaran, pendekatan sains dan teknologi ini adalah satu bentuk alternatif kepada ibu bapa untuk pendidikan anak mereka. Percaya pada konsep semua kanak-kanak adalah pandai jika diberi peluang membolehkan ibu bapa menghantar anak mereka mempelajari kemahiran dalam bidang robotik.

“Kami akui kepandaian adalah sesuatu yang sangat subjektif. Ada kanak-kanak lambat membaca tetapi mahir dalam pengaturcaraan komputer. Kelas sebegini dapat memberi peluang kepada kanak-kanak memperluaskan kepintaran mereka dalam sudut berbeza. Bagi ibu bapa pula ia dapat menukar paradigma agar tidak melihat kejayaan hanya dari satu sudut iaitu akademik sebaliknya banyak cabang lain yang boleh diberikan tumpuan,” katanya yang mengharapkan kemahiran robotik didedahkan di setiap sekolah menerusi kelab robotik sekolah.

Apa yang menarik, dia juga turut mengadakan kelas percubaan selama dua jam dan ibu bapa yang berminat menghantar anak mereka mengikuti kelas robotik, boleh melayari laman sesawang akademids.com.

Disiarkan pada: July 5, 2017 @ 10:41am
d