hati

Jangan sakit sebab makan

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Barisan juadah istimewa enak dan kadangkala sukar ditemui pada jamuan rumah terbuka menjadikan ada yang gagal mengawal selera makan. Memenuhi keinginan selera dengan menikmati pelbagai jenis makanan yang lazat bukanlah suatu kesalahan, namun disebabkan kebanyakan makanan itu tidak menyihatkan selain mengandungi kalori dan lemak berlebihan menjadikan ia perlu diambil dalam jumlah terkawal.

Pengambilan makanan yang tidak sihat serta dalam kuantiti banyak selain gaya hidup tidak seimbang berkait rapat dengan penyakit diabetes yang menyerang sesiapa saja tanpa mengira usia.

Tanggapan umum menyatakan penyakit itu hanya dapat dikesan dan dihidapi golongan dewasa atau individu yang memiliki lebihan berat badan ternyata tidak tepat sama sekali.

Sebagai contoh, penyakit diabetes dikategorikan sebagai antara penyakit kronik orang dewasa turut dialami oleh kanak-kanak serta golongan muda walaupun jenisnya mungkin berbeza.

Berdasarkan Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2014 menunjukkan rakyat Malaysia paling ramai mempunyai masalah berat badan berlebihan dan obesiti. Apa yang membimbangnya, jumlahnya bertambah dengan ketara setiap tahun.

Berlebihan berat badan inilah yang menjadi antara faktor risiko untuk bermacam masalah kesihatan terutama penyakit berkaitan gaya hidup yang sebenarnya boleh dicegah khususnya diabetes.

Ketua Pegawai Perubatan Hospital Columbia Asia Bukit Rimau Dr Ng Lee Li berkata, kajian mendapati pemakanan tidak seimbang, gaya hidup tidak sihat dan waktu bekerja yang panjang menjadi risiko terbesar diabetes.

“Peningkatan jumlah individu yang menghidap diabetes setiap tahun amat membimbangkan dan ia perlu ditangani segera. Semuanya perlu dikawal terutama gaya hidup harian kerana ia mempengaruhi tahap kesihatan seseorang dan akhirnya individu itu disahkan menghidap diabetes terutama ketika musim perayaan yang terkenal dengan pengambilan makanan tidak seimbang,” katanya.

Menurutnya, kesedaran dan pengetahuan mengenai penyakit itu perlu lebih ditekankan kepada setiap individu dengan lebih serius.

“Jangan menganggap ia perkara remeh dengan meneruskan rutin harian tidak sihat terutama dari aspek pemakanan. Ramai beranggapan raya hanya sekali dalam setahun dan disebabkan itu mereka mengambil kesempatan makan secara berlebihan,” katanya.

Kalau diteliti, rakyat negara kita sebenarnya sentiasa terlebih makan. Makanan sudah menjadi perkara wajib dalam kebanyakan acara sama ada pertemuan dengan rakan hinggalah kepada mesyuarat di pejabat. Malah di negara kita, bulan puasa boleh dianggap sebagai bulan pesta makanan kerana ketika inilah munculnya beraneka jenis hidangan yang sukar ditemui pada waktu lain.

Tergoda dengan makanan enak inilah yang menyebabkan ramai membeli banyak makanan melebihi keperluan. Maka tidak hairanlah jika ada orang yang bertambah berat badannya ketika Ramadan. Kecenderungan makan banyak ini diteruskan lagi sepanjang Syawal yang secara tidak langsung boleh mendekatkan kita dengan risiko gemuk dan penyakit gaya hidup. Bagi yang sudah menghidap diabetes, ia menyukarkan lagi usaha mengawal penyakit mereka.

“Lakukan senaman, makan secara sihat dan bertemulah dengan pakar untuk belajar mengawal atau menangani penyakit itu sekiranya anda mula merasai tanda kurang sihat,” katanya.

Beliau berkata, purata pengambilan gula dalam sehari yang disarankan bagi setiap individu hanyalah 11 sudu teh, namun kebanyakan rakyat Malaysia mengambil gula sehingga 24 sudu teh setiap hari.

“Angka itu amat membimbangkan kerana pengambilan gula tidak terkawal pada seseorang itu menyebabkan berlaku pelbagai risiko penyakit. Disebabkan itu, setiap individu perlu sedar dan sayangi diri dengan menjaga pengambilan makanan setiap hari,” katanya.

Di sini, Dr Ng berkongsi tip untuk makan secara sihat bagi mengurangkan risiko diabetes juga kepada penghidap diabetes pada musim perayaan:

- Hadkan kemanisan minuman bagi membantu mengawal diabetes

- Kiraan karbohidrat dan jumlah pengambilan karbohidrat adalah lebih penting daripada jenis karbohidrat yang anda makan.

- Jangan meninggalkan pengambilan karbohidrat walaupun anda pesakit diabetes kerana ia sebahagian daripada diet yang sihat dan seimbang.

- Buah-buahan boleh dikategorikan sebagai makanan mesra diabetes tetapi perlu mengambilnya sebagai sebahagian daripada karbohidrat harian anda. Untuk itu, jumlahnya perlu dikawal.

- Kawalan saiz hidangan adalah kejayaan utama dalam pelan pengurusan diet.

- Makan secara berlebihan berlaku kerana individu itu cenderung untuk memuaskan nafsu seleranya atau makan ketika sangat lapar.

- Makan sebahagian kecil daripada makanan yang anda suka.

- Keinginan untuk menikmati makanan masin akan berkurangan apabila anda mula mengurangkan pengambilan garam secara beransur-ansur.

Disiarkan pada: July 10, 2017 @ 4:22am
d