hati

Lorong rezeki berganda

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Kesungguhan wanita ini menghasilkan resipi biskut terbaik untuk kudapan anak yatim sempena Aidilfitri ibarat membuka lorong rezeki berganda. Marhaini Mohd Ashari, 49, bukan setakat diumumkan sebagai pemenang utama Peraduan Setulus Hati Planta, malah berbangga apabila biskut ciptaannya bakal diedar kepada lebih 400 kanak-kanak kurang bernasib baik di Selangor dan Kuala Lumpur.

Katanya, membuat biskut adalah hobi paling disukai ketika lapang. Malah, ibu kepada dua anak ini mengakui mudah teruja dengan inovasi serta ciptaan resipi baru, setiap kali di dapur.

“Saya memang suka membuat biskut dan mencipta resipi baru untuk anak. Jadi, untuk peraduan ini, saya mengubah resipi coklat Almond Stripes (jalur badam) kepada biskut.

“Kebiasaannya, bahagian bawah Almond Stripes adalah bancuhan coklat. Tetapi sempena kempen Setulus Hati Planta, saya gantikan bancuhan coklat dengan biskut marjerin lembut berkrim.

“Berbanding bancuhan doh yang rumit, saya hanya gunakan marjerin, tepung dan gula. Rasanya lebih seimbang, ringkas, rangup dan enak. Sesuai untuk kanak-kanak,” katanya.

Bercerita lanjut, Marhaini berkata, dia tidak menyangka resipi ringkas ciptaannya boleh terpilih sebagai pemenang utama. Namun peniaga cendol di Wangsa Maju ini memang nekad mahu mencipta biskut enak untuk menggembirakan anak yatim.

“Memandangkan anak sudah besar, jadi saya terpaksa menggunakan deria rasa dan imaginasi sendiri. Saya cuba bayangkan apa yang kanak-kanak suka makan. Dari situ terbit idea menggabungkan elemen biskut, kacang dan coklat. Alhamdulillah, juri juga menyukai idea ini,” katanya yang turut membawa pulang baucar hadiah Seng Heng bernilai RM1,500 berserta produk Planta.

Kongsi air tangan ibu

Penutup kempen Peraduan Setulus Hati Hari Raya minggu lalu menyaksikan 12 peserta pusingan akhir bertemu dan bersaing menghasilkan biskut

terbaik dengan Planta. Dirancang untuk mencetuskan kemeriahan hari raya dalam golongan kurang bernasib baik, kempen itu mencabar masyarakat merebut peluang biskut ciptaan mereka diedarkan ke Yayasan Anak-Anak Yatim Pinggir Taman Tun Dr Ismail, Pertubuhan Kebajikan Pusat Jagaan Suci Rohani, Rumah Anak Yatim Al-Munirah, Rumah Anak Yatim Limpahan Kasih dan Rumah Anak Yatim Nur Hidayah.

Ketua Kategori Makanan Unilever Malaysia, Tim Van Es berkata, pihaknya mahu hasil ‘air tangan ibu’ itu dikongsi golongan kurang bernasib baik.

“Kami percaya makanan memainkan peranan penting dalam mengeratkan ikatan keluarga, terutama pada musim perayaan seperti hari raya. Ia umpama masa untuk merenung kembali kemurahan hati dan kerendahan budi, bahkan juga masa mempamerkan empati serta mengungkapkan kasih sayang tanpa syarat dengan cara menyediakan makanan serba lazat.

“Berkongsi hasil air tangan ibu dengan anak yatim menerusi peraduan ini ibarat menyemai kegembiraan tidak terperi di hati mereka. Setidak-tidaknya, mereka berpeluang merasai kasih sayang seorang ibu daripada resipi biskut yang dihasilkan Marhaini,” katanya yang turut menjadi juri bersama Sous Cef Kanan (Kuisin Asia) Unilever Food Solutions Malaysia, Mohd Hadzrin Mohd Din.

Kriteria penghakiman berdasarkan 70 peratus rasa Planta yang paling menonjol dan 30 peratus mengikut cara persembahan biskut.

“Sejak lama Planta sentiasa berkongsi jalinan ikatan erat antara ibu dan anak menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat seperti Peraduan Setulus Hati. Kami berharap dengan cara ini dapat menggalakkan ibu untuk terus berkongsi pengetahuan dan air tangan melalui resipi biskut untuk generasi akan datang,” katanya.

Disiarkan pada: July 19, 2017 @ 12:49pm
d