hati

Wajah mulus sekali semburan

Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Hanya dengan sekali semburan, wajah yang kusam dapat ditutup dengan kadar segera. Kaedah pemakaian bedak asas terkini itu memudahkan pemakai bersiap dalam tempoh singkat di samping dapat menampilkan wajah sempurna tanpa rasa melekit atau tebal.

Diformulasi dengan teknologi polipeptida untuk membantu meningkatkan keremajaan kulit, tiga produk alat solek berkenaan dicipta oleh jurusolek bertaraf selebriti bagi memberikan kesan seperti solekan profesional dalam masa singkat.

NV adalah rangkaian berinovasi terbaru daripada jenama Jeunesse untuk membantu menambah kecantikan bersama khasiatnya dalam memberikan kulit bersinar dan menawan.

Pengarah Kanan Pemasaran Digital Jeunesse Global, Cassiah Jay berkata, ia didatangkan dalam set lengkap bersama primer, bronzer dan bedak asas BB Mist untuk memberikan liputan sempurna berdefinisi tinggi pada seluruh kulit wajah.

“Bedak asas berkenaan selesa dipakai selain bebas paraben, sulfur, talkum dan phthalate. Selain itu, produk ini turut dirumus dengan formula antipenuaan, yang bukan saja melindungi tetapi menambah baik keadaan kulit.

“Formula ini membantu mengembalikan keremajaan kulit dengan menjadikannya tampak lebih bersinar. Rumusan penjagaan kulit yang digabung bersama bedak asas membolehkan pemakai merawat wajah dengan rutin solekan setiap hari.

“Satu lagi nilai tambah produk ini adalah ia diperkaya dengan antioksidan, vitamin A dan E serta nutrien daripada aloe vera yang berkhasiat. Kombinasi ini menjadi gandingan terbaik untuk membantu melembapkan kulit dan mencegah kekeringan dengan formula ringan,” katanya.

Turut hadir pada majlis pelancarannya, penasihat perubatannya, Dr Donna Antarr bersama jurusolek artis antarabangsa dan selebriti, KF Bong yang menunjukkan cara serta kesan pemakaian ketiga-tiga produk berkenaan untuk penampilan wajah yang mulus.

Kehadiran primer yang disembur pada kulit wajah bertindak sebagai kanvas untuk menutup garis halus dan pori sekali gus menjadikan bedak asas hanya perlu dipakai dalam jumlah sedikit.

Bedak asas yang ditampilkan dengan teknik semburan itu menggunakan formula khas bagi memberi keselesaan kepada si pemakai kerana ia bebas minyak dan ringan yang didatangkan dalam pilihan sembilan rona berbeza untuk disesuaikan dengan pelbagai ton kulit.

Lebih mudah apabila alat Easy Match turut disediakan bagi membantu pemakai memilih rona bedak asas yang sesuai tanpa perlu mencalit ke tulang rahang seperti kaedah lama yang masih digunakan hingga ke hari ini.

Set ini juga membolehkan pemakai menampilkan solekan wajah sempurna alat berus angin (airbrush) bertaraf profesional tanpa perlu menggunakan kaedahnya sebenar yang lebih rumit.

Sebagai tambahan, bedak asas ini juga tahan lama bagi memastikan penampilan kekal menawan dan pada masa sama membantu menyuburkan kulit.

Disiarkan pada: July 20, 2017 @ 11:53am
d