hati

Eksklusif dari Dubai

Oleh Siti Zarinah Sahib

Pemakaian jubah kini lebih trendy apabila digayakan ke mana-mana acara termasuk majlis makan malam dan perkahwinan. Ada kalanya jubah juga cantik digayakan ke tempat kerja terutama pada hari tertentu seperti Jumaat.

Jubah juga kini lebih versatil disebabkan perincian manik yang dijahit menjadikan pemakainya nampak bergaya dan anggun seperti yang diketengahkan koleksi jubah Norlina.

Hampir enam tahun berada di pasaran, pada tahun ini Norlina melancarkan koleksi jubah yang lebih menawan dengan kepelbagaian rekaan khusus untuk wanita. Ia semestinya dibawa eksklusif dari Dubai. Menariknya setiap helaian yang ditawarkan diperindahkan dengan perincian batu Korea keemasan bertatah kristal Swarovski.

Jelas Norlina, selama ini dia hanya melihat jubah Dubai yang begitu menarik, rekaannya berbeza dengan jubah di Malaysia.

“Saya cuba menyarungkan ke badan, memang selesa terutama dalam keadaan cuaca panas di sini. Oleh kerana inginkan kelainan lantas saya mengambil peluang membawakan jubah Norlina kepada semua pencinta jubah di Malaysia,” katanya.

Selain perincian sarat dan tampak mewah, fabrik berkualiti seperti royal nidha, sifon dan satin dipilih kerana tidak panas dan mengikut bentuk tubuh si pemakai. Setiap helai dilengkapi selendang panjang yang bercorak serupa dengan aksesori di bahagian pergelangan tangan.

Jubah Norlina Alawi boleh di dapati Tingkat 4, Jakel Mall, Kuala Lumpur atau menerusi laman web, Facebook dan Instagram.

Disiarkan pada: July 22, 2017 @ 9:25am
d