hati

Pedih ulu hati selepas makan

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Tugasnya sebagai peguam membuatkan Raymond Yong sentiasa sibuk dan sering terlepas waktu makan. Lama-kelamaan, dia mula merasakan perubahan terhadap kesihatannya.

Raymond pernah diserang masalah pedih hulu hati beberapa tahun lalu, tetapi gejala itu hilang dengan mudah selepas mengambil ubat antasid. Namun tahun lepas, dia sering mengalami ketidakselesaan yang teruk, terutama selepas makan.

Dia terasa seolah-olah makanan dalam perut naik semula dengan disertai rasa masam di tekaknya. Selain menghadapi masalah angin berlebihan dan juga kembung perut.

“Hari-hari yang dilalui terasa sungguh sengsara disebabkan keletihan dan gangguan tidur pada waktu malam akibat pedih hulu hati.

“Selepas menjalani ujian di hospital, barulah tahu bahawa saya sebenarnya mengalami masalah pedih hulu hati kronik yang dikenali sebagai penyakit refluks gastroesofagus (GERD),” katanya.

Itu sebahagian luahan hati penghidap GERD yang mengalami impak besar terhadap kualiti kehidupannya. Bayangkan pesakit sentiasa tertekan dengan apa yang boleh dimakan atau tidak di samping perlu membataskan aktiviti makan di luar bersama rakan demi mengelakkan gejala penyakit ini.

Apabila kita makan, makanan disalurkan dari mulut ke perut melalui tiub esofagus. Pada penghujung esofagus iaitu sebelum bukaan perut, terdapat satu lingkaran otot pencerut yang dikenali sebagai sfinkter esofagus bawah (LES).

Sekiranya fungsi LES terjejas atau otot esofagus menjadi lemah, sfinkter (pencerut) tidak dapat tertutup dengan sempurna. Ini menyebabkan asid dan kandungan yang ada di dalam perut naik semula (refluks) ke dalam esofagus.

Refluks asid mengakibatkan sakit seakan terbakar pada dada, yang biasanya dikenali sebagai pedih hulu hati. Jika gejala refluks asid berlaku lebih dua kali seminggu atau diiringi dengan kesukaran bernafas atau menelan, ini mungkin menandakan keadaan lebih serius iaitu GERD.

PUNCA DAN GEJALA

Kekerapan GERD didapati meningkat di seluruh Asia Tenggara sehingga 20 peratus berbanding data yang direkodkan selepas 2005.

Kebanyakan orang yang mengalami GERD menganggap keadaan ini berpunca daripada tekanan atau makanan pedas dan berasid.

Menurut kajian, tekanan bukan punca sebenar GERD, namun ia salah satu faktor yang boleh memburukkan lagi penyakit itu. Saintis mendapati pengeluaran asid perut amat sensitif terhadap keadaan emosi kita.

Selain tekanan, obesiti juga antara faktor pencetus GERD. Berat badan yang terkumpul pada bahagian perut akan menekan diafragma dan LES hingga menyebabkan otot LES menjadi longgar.

Tidak memeranjatkan jika diberitahu bilangan orang yang menderita GERD kian meningkat di negara ini memandangkan Malaysia tersenarai sebagai negara yang mempunyai paling ramai penduduk gemuk di Asia.

Merokok turut menjadi faktor risiko GERD kerana nikotin berpotensi mengendurkan otot LES, seterusnya menolak asid perut naik semula ke dalam esofagus.

Dalam satu pembentangan bertajuk Oh My GERD anjuran NuvaPineA, panel pakar berkumpul dan berbincang mengenai epidemik GERD yang kini dilaporkan semakin serius.

Aktiviti ini bagi membantu masyarakat mengenali tanda serta gejala GERD untuk menangani masalah itu dengan lebih berkesan.

Panel terdiri daripada Perunding Perubatan dan Pakar Gastroenterologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Raja Affendi Raja Ali; Pakar Gastroenterologi dan Doktor Naturopati dari Melbourne Dr Vagif Soultanov dan Ahli Farmasi dan Penyokong Terapi Semula Jadi, Datin Swanee Teh.

Dr Raja Affendi berkata, GERD adalah keadaan yang akan beransur-ansur teruk jika dibiarkan tanpa rawatan. Ia berpunca daripada struktur dalaman badan dan juga faktor gaya hidup. Oleh itu, pesakit perlu mengambil langkah proaktif untuk menanganinya dengan berkesan.

“Ia umpama luka yang boleh melarat dan membahayakan nyawa jika anda tidak berbuat sesuatu mengenainya. Prinsip yang sama juga perlu diguna pakai untuk GERD,” katanya.

Dr Soultanov berkata, kebanyakan orang tidak menjangka GERD akan membawa perubahan dramatik terhadap gaya hidup mereka. Secara ringkas GERD meragut keseronokan hidup malah menurut data klinikal, GERD boleh menyebabkan kerisauan dan kemurungan, begitu juga sebaliknya.

“GERD boleh mengganggu produktiviti dan tidur yang seterusnya memporak-perandakan kehidupan harian,” katanya.

Pedih hulu hati adalah antara gejala utama refluks asid selain rasa masam pada tekak (disebabkan asid perut), kesukaran menelan atau berasa seolah-olah sesuatu tersekat dalam dada atau tekak, pengumpulan angin dalam perut dan sendawa berlebihan.

Malah, sesetengah pesakit mungkin mengalami batuk kering kronik atau sesak nafas yang dicetuskan oleh refluks asid. Sekiranya asid naik ke dalam mulut, pesakit mungkin mengalami nafas berbau kerana asid ini membunuh bakteria baik dalam mulut. Kerosakan gigi dan gusi juga mungkin berlaku disebabkan kesan asid.

PENYELESAIAN

Lazimnya, pedih hulu hati dan GERD boleh dirawat dengan ubat-ubatan yang bertindak dengan mengawal penghasilan asid. Secara rutinnya, pesakit diberikan ubat untuk menyekat rembesan asid yang dikenali perencat pam proton (PPI), ia bertindak pantas dan pilihan popular untuk membantu menangani gejala penyakit ini.

Ada kalanya, gejala GERD sukar dikawal walaupun dengan penggunaan ubat PPI yang paling membawa kesan. Beberapa kajian menunjukkan hampir 40 peratus pesakit mengalami pedih hulu hati melaporkan kekurangan respons secara separa atau sepenuhnya kepada ubat PPI.

GERD bukan mudah ditangani. Selaku doktor naturopati dan juga penyelidik, Dr Soultanov turut berkongsi keputusan daripada kajian klinikal terbaru dijalankan ke atas ekstrak jejarum hijau konifer pain dikenali sebagai Bioeffective A serta kesannya terhadap kesihatan gastrousus dan GERD.

Menurutnya, terapi itu terbukti mempunyai ciri penyembuhan sel dan pengambilannya menunjukkan pengurangan gejala ketakcernaan 92 peratus dan gejala lain seperti gastritis, angin perut serta gangguan usus.

Pengetahuan yang digabungkan daripada perubahan moden dan ubat-ubatan naturopati kini mampu menawarkan pendekatan yang lebih holistik untuk membantu pesakit menangani masalah kesihatan mereka dengan lebih berkesan.

Disiarkan pada: July 24, 2017 @ 4:06pm
d