hati

Semai gaya pemakanan seimbang

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Mengenali makanan, unsur pemakanan dalam diet dan diet seimbang pada usia seawal tiga tahun kedengaran menarik, bukan? Kanak-kanak diajar mengenali khasiat buah, sayuran dan makanan mengikut keperluan umur. Kemudian, cef cilik ini dibimbing untuk mengubah bahan segar menjadi makanan berkhasiat!

Sedar atau tidak, kaedah pembelajaran sebegini sebenarnya cukup efektif untuk mendidik kanak-kanak supaya mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang.

Tidak perlu kelas masakan yang rumit bersama menu mewah, sebaliknya memadai dengan bahan segar, ringkas dan berwarna-warni.

Begitu sebahagian pendekatan yang diambil JM Nutrition Consultancy (Malaysia) untuk menyemai gaya pemakanan seimbang dalam kalangan kanak-kanak. Ia bukan tugas mudah, namun berupaya mengubah sedikit sebanyak minat dan kecenderungan kanak-kanak kepada makanan sihat.

Menurut Pakar Pemakanannya, Jowynna Yeo Xia-Ni, situasi hari ini menunjukkan semakin ramai golongan dewasa menghadapi masalah kesihatan disebabkan tabiat pemakanan yang tidak sihat.

“Atas sebab itu, kami tertarik mendidik kanak-kanak berusia antara tiga sehingga 12 tahun mengenai pentingnya pemakanan sihat untuk masa depan.

“Langkah ini penting, apatah lagi perangkaan terkini menyebut sekurang-kurangnya 16 sehingga 17.6 peratus kanak-kanak prasekolah di Malaysia mengalami masalah berat badan berlebihan dan obesiti.

“Selain kanak-kanak, kami juga mengadakan kelas memasak secara sihat untuk ibu dan aktiviti gerak kerja dalam kumpulan untuk dewasa. Semua ini dengan matlamat yang satu iaitu mendidik gaya pemakanan sihat untuk semua,” katanya.

Apa yang menarik, usaha JM Nutrition ini mencuri perhatian juri program Usahawan Sosial Muda (YSE) 2017. Mereka bersaing dengan 138 usahawan sosial muda dari 18 negara sebelum terpilih dalam 16 pasukan yang akan meneruskan perjalanan YSE sehingga November depan.

Bengkel ini sebahagian projek anjuran Yayasan Antarabangsa Singapura (SIF) untuk memberi inspirasi, melengkapkan dan membolehkan belia memulakan perusahaan sosial di Singapura.

Pengarah Bahagian Program SIF, Reginald Wee berkata, pihaknya mahu memupuk rangkaian usahawan sosial multinasional yang kuasa ideanya, pengetahuan dan sumber boleh dimanfaatkan untuk kehidupan, sekali gus memberi kesan positif kepada masyarakat dan dunia.

“Ketika ini 16 kumpulan yang mara ke peringkat seterusnya dilatih dan dibimbing pakar mengikut bidang masing-masing. Bagi JM Nutrition sendiri, mereka dibimbing perunding perniagaan dan usahawan terkemuka dari McKinsey & Co dan Temasek International.

“Semua ini akan membantu mereka memperbaiki konsep dan strategi perniagaan sehingga mencapai taraf antarabangsa. Pada masa sama, kami mahu semua peserta fokus kepada usaha membina landskap keusahawanan sosial. Syarikat yang berjaya dianugerahkan dengan pembiayaan sehingga RM60,000 untuk membangunkan perniagaan sosial mereka,” katanya.

Disiarkan pada: July 25, 2017 @ 11:26am
d