hati

Kumpul dana bantu pesakit

Sikap dermawan dan prihatin rakyat Malaysia memang sudah diketahui di seluruh dunia. Selain gah melakukan pelbagai aktiviti untuk membantu penerima antarabangsa, banyak badan aktif mengadakan acara di peringkat setempat bagi meringankan beban golongan susah di negara sendiri.

Tidak mahu ketinggalan, Persatuan Wanita dan Isteri Pekerja Petronas (Petronita) gigih meneruskan acara maraton tahunannya, Orchid Run & Ride 2017. Menerusi acara sebelum ini, mereka berjaya mengumpulkan sumbangan untuk membantu meringankan beban pesakit, keluarga dan penjaga dari Pusat Jantung Kongenital dan Paediarik (PCHC) di Institut Jantung Negara dan Institut Telinga, Pendengaran dan Pertuturan (I-HEARS).

Menurut Presiden Petronita, Datin Dr Azura Ahmad Tajudin, pihaknya sangat berbesar hati dapat meraikan kemeriahan Syawal dengan dua badan kebajikan yang dekat di hati mereka.

“Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan kegembiraan kami apabila melihat sumbangan kecil ini berupaya membawa perubahan dalam hidup penerima,” katanya.

Wakil Yayasan IJN, Ritzzawati Rosli Mohd Rosli yang turut hadir pada majlis berkenaan berkata, mereka sudah bekerjasama dengan Petronita sejak 2015 dan amat berterima kasih atas keprihatinan badan itu.

“Seramai sembilan kanak-kanak di bawah PCHC sudah menerima manfaat daripada hasil kerjasama selama dua tahun ini. Kami berharap lebih ramai anggota masyarakat akan turut serta dalam acara larian ini supaya kita dapat mengembangkan bantuan kepada pesakit memerlukan,” katanya.

Acara larian kali ketiga tahun ini akan diadakan pada 24 September di Persiaran KLCC dan menyasarkan dapat menarik 7,000 penyertaan untuk mengumpulkan dana sebanyak RM250,000. Kali ini sumbangan akan diperluaskan kepada PCHC, I-HEARS dan Persatuan Kanak-kanak Spastik Selangor dan Wilayah Persekutuan.

“Sambutan tahun ini sangat memberangsangkan. Ada dua kategori iaitu A (Larian 12 kilometer lelaki dan wanita berusia 16 tahun ke atas) dan B (larian ceria lima kilometer) dan berbasikal (lima kilometer). Bagaimanapun penyertaan untuk kategori B sudah penuh.

“Kami berharap semua anggota masyarakat akan bersama-sama kami untuk membantu golongan kurang berkemampuan dan pada masa sama menggalakkan gaya hidup sihat,” katanya.

Disiarkan pada: July 25, 2017 @ 11:38am
d