hati

Ceriakan golongan tersepit di kota

Ramai memberi reaksi kurang senang apabila menyebut mengenai gelandangan di ibu kota. Tidak mustahil ada yang akan menempelak keras jika perihal memberi makan golongan yang satu ini disentuh.

Dalam kebanyakan situasi, ramai juga yang menggeleng kepala saat hasrat memberi makan kelompok kurang bernasib baik ini diutarakan. Realitinya, masyarakat bandar cukup membenci gelandangan kerana dianggap pemalas, kelompok penagih dan mencemarkan pemandangan.

Namun, persepsi negatif sebegitu tidak pernah sekalipun melunturkan hasrat murni banyak badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan untuk terus membantu meringankan beban hidup gelandangan.

Bagi Pengasas Bersama dan Pengarah Kreatif Petak & Peti TV Khairul Amri Daud, peluang berkongsi cerita dengan gelandangan dan memerhati kehidupan masyarakat terpinggir ini ketika dia dan rakan merakam foto indah di tengah ibu kota membuka hatinya untuk turut serta meringankan beban semampu yang boleh.

“Ramai yang bertanya, mengapa gelandangan sedangkan mereka ini kebanyakannya penagih dadah, pemalas dan suka meminta-minta? Tapi, pernahkah kumpulan yang mengata golongan ini menyapa dan bertanya mengapa mereka memilih untuk hidup merempat?

“Sebagai anggota masyarakat, kita sepatutnya menghulurkan tangan untuk membantu mereka. Bayangkan jika gelandangan ini dibiarkan tanpa bantuan makanan dan terus disisih, tidak mustahil kadar jenayah meningkat di bandar dan kota raya. Mengapa? Kerana desakan hidup boleh mengubah seseorang untuk mencuri dan merompak semata-mata untuk makan.

“Bagi saya dan rakan, kami bukanlah mahu mengambil tempat NGO dan badan kebajikan, tapi sekadar turut serta menghulurkan tangan kepada orang yang lebih memerlukan, sekali gus menggembirakan gelandangan kota yang tersepit,” katanya.

Bermodalkan wang sendiri, Khairul Amri dan sembilan lagi rakan nekad mencetuskan inisiatif sosial yang cukup unik, dinamakan Ayam Untuk Gelandangan.

“Niat kami hanya satu, menggembirakan kelompok gelandangan. Mengapa ayam? Sebab ayam selalu menceriakan tidak kira warga emas, orang dewasa mahupun kanak-kanak.

“Kalau diperhatikan, kita dulu cukup gembira jika emak ayah menghidangkan lauk ayam ketika makan. Ia umpama ganjaran bagi mereka yang hidup susah dan boleh jadi makanan yang cukup menyenangkan bagi golongan berada. Kebetulan salah seorang rakan memang berniaga ayam golek, jadi kami pilih menu itu untuk diberi kepada gelandangan,” katanya.

Melengkapkan menu malam itu, Khairul Amri berkata, dia turut membawa dapur bersama periuk untuk memasak bubur lambuk istimewa.

“Sebagai jurugambar, saya banyak mengikut gerak kerja NGO dan agensi yang turun padang mengagih bantuan makanan kepada gelandangan dan orang miskin. Ada juga program yang saya hanya perhatikan dari jauh. Apa yang pasti, dalam kebanyakan program yang dianjurkan, kelompok tidak bernasib baik selalu dihidangkan makanan ala kadar.

“Atas sebab itu jugalah kami mencuba sebaik mungkin, mengadakan menu enak dan lazat, sebagaimana yang kita selalu nikmati bersama keluarga di rumah.

“Tak sangka, malam itu kami didatangi semula gelandangan yang sudah habis makan dan mereka memberitahu, sedap. Hanya Allah SWT yang tahu perasaan kami ketika itu. Mungkin itulah nikmat yang dikecapi jika kita benar-benar ikhlas memberi,” katanya.

MEMBUNUH PERSEPSI

Menurut Khairul Amri, banyak cerita yang dikongsi gelandangan membuka mata dan mindanya untuk bersyukur kepada Allah SWT walau dengan nikmat sekecil zarah.

Malah dari kelompok gelandangan jugalah dia belajar untuk menghargai sesama manusia dan berkongsi rezeki dengan mereka yang lebih memerlukan.

“Daripada cerita mereka, saya dapat simpulkan bahawa semua orang, tidak kira hidup susah ataupun senang, berpotensi untuk hidup sebagai gelandangan. Tidak ada siapapun di antara kita boleh jamin mampu kekal hidup selesa dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

“Jika hari ini kita senang, tidak mustahil esok lusa kita boleh jatuh. Mungkin pada persepsi orang, gelandangan ini pemalas, penagih. Tapi jika diperhatikan sebaiknya, mereka ini boleh dibahagikan kepada empat iaitu orang yang suka mengambil kesempatan merebut barang percuma, pemalas, hilang harapan untuk hidup serta golongan bekerja yang miskin.

“Adilkah jika kelompok gelandangan yang bekerja disamakan dengan mereka yang pemalas dan penagih? Sedangkan mereka ini berhempas pulas membanting tulang empat kerat setiap hari untuk menyara keluarga dan anak di kampung. Mereka ini memilih hidup gelandangan kerana tidak mampu menyewa, waima sebuah bilik kecil.

“Mereka mengorbankan keselesaan sendiri demi keselesaan dan kesenangan keluarga. Jadi, usahlah kita terlalu mudah menghakimi hidup orang lain. Mungkin nasib dan ketentuan yang menjadikan mereka begitu. Bagi kita yang melihat, tidak salah jika kita berkongsi sekadar mampu,” katanya.

MULAKAN DENGAN LANGKAH KECIL

Berkongsi pendapat serupa, peniaga ayam golek madu, Hafizzi Ne’mat berkata, dia memang sudah memasang niat untuk bersedekah sebelum dipelawa menyertai projek Ayam Untuk Gelandangan.

“Selalu orang fikir, kalau hendak membantu, mereka perlu berdaftar sebagai NGO, mengadakan logo, perlu ada dana ribuan ringgit. Namun sebenarnya membantu orang hanya memerlukan niat, keikhlasan dan sedikit kemampuan.

“Mulakan dengan berkongsi apa yang kita ada. Kalau dulu kita fikir untuk membantu orang saat kaya, mungkin waktu kaya kita sudah terikat dengan komitmen dan tanggungjawab kepada anak dan keluarga. Jadi, memadai kita menolong sekadar mampu.

“Ajak rakan, sumbang sedikit sebanyak yang mampu dan realisasikan usaha untuk memberi kepada mereka yang memerlukan. Bagi projek ini, alhamdulillah, kami berjaya mengadakan 100 ekor ayam untuk gelandangan. Nikmat kepuasan yang dicapai itu lebih jauh besar nilainya berbanding apa yang kami keluarkan.

“Melalui cara ini, secara tidak langsung kita mengajak orang sekeliling untuk memberi kepada komuniti. Tidak mustahil mereka juga akan mengajak teman dan saudara untuk memeriahkan lagi usaha memberi,” katanya. - Intan Mas Ayu Shahimi

Disiarkan pada: July 25, 2017 @ 11:44am
d