hati

Sahut cabaran, suka kerja luar

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Hampir dua dekad dulu, orang sudah sibuk bercakap mengenai peluang kerjaya sebagai posnita. Ketika itu Pos Malaysia menjadi sebutan berikutan lahirnya posnita pertama pada 3 Jun 1998. Bagaimanapun, sehingga ke hari ini bilangan posnita masih boleh dikira dengan jari.

Menyebut nama posnita saja pun kedengaran begitu janggal berbanding posmen. Realitinya orang ramai tetap menganggap kerja menghantar surat dan serahan bungkusan lebih sinonim dengan posmen.

Mengakui berdepan pandangan serupa, Nurul Ain Azri, 29, berkata, dia langsung tidak berkecil hati, malah berbangga menceburi bidang kerjaya itu sejak empat tahun lalu. Ibu kepada dua anak ini bukan saja seronok bergelar posnita, tetapi berpuas hati dapat mempermudahkan urusan ramai orang.

Sebelum bergelar posnita, Nurul Ain berkata, dia bekerja sebagai kerani di syarikat pembekal barangan telco. Walaupun selesa dalam ruang pejabat, wanita ini nekad mencuba nasib di PosLaju Malaysia.

“Kebetulan ada iklan jawatan kosong, jadi saya cuba menghantar resume. Ketika dipanggil temu duga, saya diberitahu posnita bukanlah kerani, tetapi perlu keluar membuat serahan setiap hari.

“Saya tidak terkejut langsung kerana memang sukakan kerja luar yang lasak. Jadi, apabila sampai di rumah, saya berkongsi cerita dengan suami, Mohamad Saiful Mohd Radzi (34). Antara pertanyaan yang keluar dari mulut suami, ‘boleh ke buat?’. Dia bertanya sambil ketawa!

“Bersungguh-sungguh saya katakan kepadanya boleh dan saya suka. Saya mahu mengambil setiap yang sukar itu sebagai cabaran dan pastikan mereka yakin dengan kerjaya ini,” katanya.

Mungkin sudah tersurat rezeki buatnya, Nurul Ain dipanggil melapor diri selepas dua minggu temu duga bagi jawatan posnita secara kontrak selama tiga bulan. Sepanjang tempoh itu, wanita ini memberikan perkhidmatan terbaik. Nama lorong, jalan, tempat serahan dan pejabat mula melekat dalam kepala satu per satu.

“Memandangkan saya sudah biasa menunggang motosikal sekitar Ipoh, jadi soal mengenal alamat dan tempat serahan bukan lagi masalah besar. Tamat tempoh kontrak, saya kembali menganggur.

“Alhamdulillah, ternyata rezeki Allah SWT tidak pernah salah alamat. Selepas dua bulan, saya akhirnya ditawarkan jawatan tetap sebagai posnita PosLaju. Itupun saya terpaksa bermula lewat kerana dijangkiti cacar air,” katanya.

KELUARGA TERKEJUT

Kata Nurul Ain, walaupun masih samar dengan reaksi keluarga, peluang yang datang tetap disambut dengan penuh semangat dan rasa syukur.

“Apabila tahu saja dapat jawatan, saya terus bersemangat untuk mula bekerja. Saya memang sukakan cabaran. Saya nekad mahu mencabar kemampuan diri dalam ruang kerjaya yang dimonopoli kaum lelaki. Paling utama, saya sukakan kerja lasak.

“Begitupun, apabila berita ini sampai kepada emak dan ayah, mereka langsung tidak percaya. Berkali-kali mereka minta kepastian. Betul ke...soal emak. Emak juga ketawa, katanya, tidak ada orang perempuan kerja hantar surat. Hampir dua bulan jugalah emak ayah mengambil masa untuk benar-benar percaya.

“Sekalipun mereka sudah percaya, tetapi emak ayah tetap tidak yakin saya mampu jadi posnita. Suami juga begitu. Namun anehnya, semakin kerap ditanya, semakin bersemangat pula saya bekerja untuk membuktikan kemampuan diri kepada mereka.

“Berlainan halnya dengan kawan. Ada yang mula percaya dengan pilihan saya, tapi tidak kurang juga yang memandang rendah dengan pertanyaan sinis seolah-olah kerjaya posnita tidak punya masa depan cerah. Begitupun, saya tetap gembira kerana dapat menyampaikan amanah orang dan mempermudahkan urusan pelanggan. Jika bekerja di pejabat, saya mungkin terpaksa berdepan tekanan dan suasana yang kurang menyenangkan,” katanya optimis.

KUTIP PENGALAMAN

Pernah beberapa kali membuat serahan di rumah pelanggan, Nurul Ain menerima banyak reaksi positif daripada penerima bungkusan. Rata-rata mengakui terkejut kerana peranan posmen sudah berganti posnita.

“Ada kes pelanggan tidak dengar walau dipanggil berkali-kali kerana sibuk memasak di dapur. Berikutan itu, saya terpaksa menunggu hampir 10 minit di luar. Sedang saya sibuk menulis notis serahan, tiba-tiba seorang wanita separuh umur keluar.

“Terkejutnya bukan kepalang. Banyak kali dia meminta maaf sebab leka memasak, sampaikan saya turut dipelawa untuk menjamah makan tengah hari bersama. Pelawaan itu saya tolak secara baik kerana masih banyak barang yang perlu dihantar.

“Selain itu, saya juga pernah dikejar anjing ketika mencari alamat penerima. Spontan saya memecut laju motosikal untuk menyelamatkan diri. Apabila keadaan kembali tenang, terpaksa saya berpatah balik perlahan-lahan untuk membuat serahan,” katanya yang sudah memiliki Lesen Pengangkutan Barang (GDL) sejak tahun lalu.

Lumrah bekerja dalam segmen dimonopoli lelaki, wanita ini memang kerap menjadi bahan usikan setiap kali melangkah masuk ke premis pejabat.

“Mungkin sebab saya seorang saja posnita yang mereka pernah nampak, jadi usik-mengusik kerap berlaku apabila bertembung dengan mereka yang berdekatan kawasan serahan. Biasanya, sekadar usik manis saja.

“Paling teruk, apabila dimarahi pelanggan. Pernah sekali, saya tinggalkan Pos Ekspres dalam peti surat dan pelanggan menelefon pejabat, mengadu bungkusannya sudah terbuka. Hendak tak hendak, terpaksa saya keluar bertemu semula pelanggan dan menjelaskan perkara sebenar,” katanya.

SEMPURNAKAN AMANAH

Ketika diasak pertanyaan mengapa masih memilih kerjaya posnita, Nurul Ain mengakui tidak ada jawapan terbaik melainkan dia gembira menghantar amanah orang.

“Orang selalu ingat menjadi posmen dan posnita itu mudah. Sebenarnya, tidak semua orang mampu memikul tanggungjawab besar ini dengan baik. Kalau sekalipun berminat, mereka harus menetapkan pendirian dan minda untuk cekal dalam kerjaya. Cabaran luar memang besar kerana terpaksa mengharungi keadaan cuaca berubah-ubah, panas, hujan, habuk, keadaan trafik, semuanya kena tempuh.

“Paling utama, bidang ini memerlukan minat dan niat yang betul serta tahan lasak. Umum perlu tahu saya bekerja dengan lelaki. Mereka ini memang terkenal dengan gurau kasar. Namun bekerja dengan lelaki ini cukup mudah kerana mereka ada sikap toleransi yang tinggi.

“Mungkin pada mereka, saya ini satu-satunya pekerja wanita, jadi perlu dibantu jika berdepan kesukaran. Tapi bagi saya yang pernah bekerja dalam kelompok majoriti wanita, lelaki sebenarnya lebih fokus kepada kerja. Kalau masa bergurau, mereka akan berseronok, bila makan, mereka isi perut tanpa banyak soal dan apabila tiba waktu kerja, mereka kembali fokus. Mereka tahu membezakan waktu dan kepentingan masing-masing.

“Saya cukup beruntung kerana bukan saja mendapat sokongan suami, emak, ayah dan seluruh keluarga, malah diberi peluang bekerja dengan rakan yang sangat memahami serta menikmati suasana kerja cukup menyenangkan,” katanya.

Disiarkan pada: July 25, 2017 @ 11:52am
d