hati

Krim Eropah perbaiki rasa hidangan

Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Krim adalah bahan penting dalam kebanyakan sajian klasik Eropah bagi memberikan rasa unik, lembut dan mewah. Malah, menambah krim ke dalam sajian juga mampu mencipta hidangan versatil sekali gus memperbaiki resipi pada menu pembuka selera hinggalah pemanis mulut dengan tambahan sos bagi menyempurnakan selera.

Tanpa mengira tekstur makanan, kehalusan ciptaan krim memberi imbangan rasa pada setiap sentuhan akhir. Bagi meraikan dan memperkenalkan ramuan unik itu, Centre National Interprofessionel de l’Economie Laitiere (CNIEL) mempromosi produk tenusu dalam memulakan kempen memperkenalkan bahan kulinari berasaskan krim dari Eropah.

Ia bertepatan dengan kempen yang diberi nama, ‘La Creme de la Creme (Cream of Europe) yang bertujuan mempamerkan kemahiran dan kualiti dalam penggunaan krim ini oleh cef profesional di seluruh dunia.

Sebahagian inisiatif kempen berkenaan dibiayai melalui bantuan dari Kesatuan Eropah. Krim adalah lemak. Ia mengandungi kalori paling rendah daripada semua jenis lemak dengan dua hingga tiga kali kurang lemak berbanding minyak atau mentega.

Perkataan ‘krim’ hanya boleh digunakan untuk produk yang mengandungi sekurang-kurangnya 30 peratus lemak. Terdapat beberapa jenis krim yang boleh dibezakan melalui cara pembuatannya, kandungan lemak dan tahap kepekatan.

Kebiasaannya, ada beberapa jenis krim yang digunakan dalam masakan seperti krim pasteur, rendah lemak, UHT, putar, santili dan masam.

Terdapat juga krim khas dan eksklusif yang dihasilkan dengan kriteria pembuatan ketat di kawasan tertentu seperti di Isigny dan Bresse, Perancis.

Krim Eropah pula dihasilkan di bawah pemantauan yang ketat menggunakan susu berkualiti dan diikuti dengan nisbah ekstrak lemak, air dan elemen bukan lemak seperti protein, laktosa serta mineral, bergantung kepada jenis krim yang dicipta.

Bagi menampilkan rasa, tekstur dan ciri serba boleh yang sempurna, acara berkenaan turut menunjukkan demonstrasi kaedah penggunaan krim bagi memperbaiki rasa hidangan pastri dan pencuci mulut.

CNIEL bekerjasama dengan pakar runding dan kulinari hospitaliti serta pelancongan di Asia, Jean Michel Fraisse bagi mencipta resipi dalam mengetengahkan keenakan krim yang disesuaikan dengan cita rasa tempatan seperti puding mangga pandan sagu, mousse rasberi dan laici serta aiskrim coklat dengan karamel dan sos pisang.

Disiarkan pada: July 26, 2017 @ 12:35pm
d