hati

Wangian kemewahan

Wangian istimewa yang melengkapkan penampilan dan mengukuhkan keyakinan diri amat penting. Tidak hairanlah ramai orang tidak kisah berbelanja bagi mendapatkan wangian idaman khususnya membabitkan jenama antarabangsa.

Kini peminat jenama Amouage boleh memilih koleksi wangian untuk rumah, mandian dan badan, aksesori kulit Itali dan skaf sutera lukisan tangan Itali sepuas hati dengan pembukaan kedai keduanya di pusat beli-belah Pavillion Mall di Kuala Lumpur.

Gedung baru seluas 2,000 kaki persegi itu, dua kali ganda keluasan gedung terdahulu, membuktikan selera pelanggan di negara ini yang arif memilih dan menitikberatkan kualiti, kecanggihan dan keanggunan gaya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, David Crickmore, dengan pelancaran kedai baru itu, pelanggan boleh menyelami konsep uniknya melalui paparan bahan menarik yang terkandung dalam wangian sambil meninjau seluruh koleksi yang mencerminkan kemewahan.

Konsep kedai hasil sentuhan Pengarah Kreatif Jenamanya, Christopher Chong, memperlihatkan falsafah Amouage yang menekankan kemewahan mutlak. Ia melambangkan keunikan gaya dan kehalusan seni hiasan, yang dicipta untuk memberikan pengalaman istimewa kepada pelanggan.

Reka bentuk dan hiasannya yang tersendiri, daripada cermin kaca antik dan berukiran halus hingga kemasan keluli tahan karat yang berkilat dan gaya minimalis, menggabungkan kecenderungan moden dan tradisional. Penggunaan kemasan gangsa dan warna merah wain disertakan kesan lampu dan pencahayaan yang strategik menambah sentuhan kemewahan dan keanggunan setiap sudut dan ruang.

Kini, Amouage boleh didapati di 66 negara di seluruh dunia. Selain rangkaian gedungnya tersendiri yang semakin luas, jenama juga dijual oleh peruncit pakar di seluruh dunia dan boleh didapati di gedung beli-belah berprestij di dunia.

Disiarkan pada: July 27, 2017 @ 1:01pm
d