hati

Rawatan dapatkan muka runcing

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Wanita dan kecantikan tidak dapat dipisahkan kerana setiap perempuan mahu tampil menawan dengan wajah berseri, anjal dan mempunyai bentuk muka runcing terutama selepas musim perayaan ini.

Pengambilan makanan berlebihan bukan saja menaikkan berat badan malah pada masa sama menyebabkan bentuk wajah menjadi semakin melebar, mempunyai lemak berlebihan terutama di bahagian bawah dagu selain kulit kelihatan kusam.

Apabila muncul saja masalah ini, kebanyakan wanita mula runsing. Kalau boleh semuanya mahu mendapatkan jalan penyelesaian pantas dan mudah bagi mengembalikan bentuk wajah sedia kala sekali gus menaikkan serinya.

Rawatan Mesotherapy Totok Wajah antara kaedah sesuai yang boleh dicuba bagi yang ingin mendapatkan bentuk wajah diidamkan terutama kesan runcing.

Dijalankan dalam tempoh dua jam untuk satu sesi, rawatan ini antara kaedah berkesan dan tidak mendatangkan kesan bahaya kepada pelanggan.

Menurut Azliana Md Yusof yang mengusahakan Bellenina Spa & Wellness di Taman Puchong Prima, Puchong, rawatan ini khusus untuk menegang, menganjal, membentuk wajah runcing dan membuang lemak di wajah dengan berkesan.

“Wajah akan ditotok iaitu dengan teknik urutan untuk membuka aura diikuti dengan sengkak dan proses meruncingkan wajah selama 30 minit dan kemudian mesin mesotherapy akan digunakan selama 15 minit bagi pembakaran lemak di wajah.

“Penggunaan mesin ini dapat membantu menegangkan dan menganjalkan wajah tiga kali lebih berkesan berbanding urutan jari,” katanya.

Menurut Azliana, mesin mesotherapy dapat membentuk struktur wajah dengan menampakkan wajah tirus, tulang pipi dinaikkan dan kulit wajah menjadi tegang serta-merta.

KESAN SEGERA

Selepas melakukan rawatan itu dalam tempoh dua jam, kesan dapat dilihat dan wajah kelihatan runcing, terbentuk dan berseri.

Azliana berkata, dengan penggunaan mesin berteknologi tinggi yang tidak mempunyai kesan sampingan, rawatan itu ditawarkan pada harga berpatutan iaitu RM250.

“Rawatan ini sesuai dilakukan untuk semua jenis kulit terutama yang mempunyai masalah kulit wajah matang dan kendur.

“Antara keistimewaan rawatan ini adalah ia dapat mengembalikan keremajaan kulit, menegang, menganjal, meruncing, mencegah garis halus dan kedutan juga menaikkan seri wajah,” ujarnya.

Kata Azliana, rawatan itu juga disarankan kepada bakal pengantin yang mahukan kulit wajah berseri sebelum tiba hari bahagia selain individu yang mempunyai lemak berlebihan pada wajah.

“Rawatan ini antara yang berkesan dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan mengalami masalah wajah tidak berseri, kusam dan melebar.

“Saya memberi jaminan rawatan ini tidak mendatangkan kesan mudarat malah menampakkan kesan positif serta merta seperti yang dimahukan pelanggan,” katanya.

Menurutnya, selain rawatan Mesotherapy Totok Wajah, pihaknya turut menawarkan pelbagai jenis dan pakej rawatan lengkap terutamanya untuk kecantikan wajah dengan harga berpatutan dan kesan positif.

“Tidak salah untuk mengeluarkan belanja sekurang-kurangnya sebulan sekali untuk mendapatkan wajah idaman kerana selain kepuasan, pelanggan boleh berehat ketika menjalankan rawatan di spa kami.

“Spa kami dilengkapi semua kelengkapan spa bukan saja untuk wanita malah sesuai juga dikunjungi seisi keluarga kerana kami mempunyai tempat menunggu bagi si suami yang datang menemani isteri juga bilik khas kanak-kanak,” ujarnya.

Disiarkan pada: July 27, 2017 @ 1:32pm
d