hati

Galak lebih ramai wanita buat laporan

Penubuhan Unit Polis Wanita dalam pasukan bersenjata India membuatkan ramai tersenyum gembira. Kehadiran mereka memecahkan tradisi pasukan keselamatan yang selama ini didominasi lelaki.

Namun paling penting adalah tujuan penubuhannya bagi membanteras jenayah seksual dan mengubah budaya membisu apabila membabitkan kes rogol.

Di Jaipur yang terletak di barat laut India contohnya, pasukan polis wanita ini sudah pun memulakan tugasnya meronda kawasan seperti perhentian bas, kolej dan taman rekreasi iaitu antara lokasi tempat wanita sering terdedah kepada gangguan seksual. Antara gangguan seksual yang sering terjadi adalah lemparan jenaka lucah atau diekori lelaki yang tidak dikenali sebelum wanita itu diserang dan dirogol.

“Mesej yang hendak kami sampaikan ialah tidak ada toleransi langsung dalam isu keganasan terhadap wanita,” kata Kamal Shekhawat, ketua unit khas pasukan polis wanita di Jaipur yang ditubuhkan pada penghujung Mei lalu.

India mempunyai rekod jenayah seks yang menggerunkan, dengan hampir 40,000 kes rogol dilaporkan setiap tahun. Namun angka sebenar dijangkakan lebih tinggi berikutan ramai mangsa bimbang membuat laporan kerana tidak tahu bagaimana kes mereka dikendalikan.

Antara kes yang menggemparkan dunia termasuk rogol beramai-ramai sehingga menyebabkan kematian. Insiden yang mendapat liputan meluas itu seolah-olah menjadi faktor penggalak kerana jenayah seksual itu semakin galak berlaku.

Ekoran itu, banyak pihak mula membuat tuntutan dan menggesa kerajaan India bertindak tegas menghukum penjenayah yang bukan saja merosakkan maruah mangsa malah menggelapkan masa depan mereka yang kebanyakannya menjadi harapan keluarga.

Kebimbangan itu berasas kerana sebahagian besar pasukan polis India dianggotai oleh lelaki dengan hanya tujuh peratus anggota wanita. Malah aktivis juga merungut kerana mangsa sering dipersalahkan berdasarkan penampilan mereka. Ada yang bertanyakan soalan memalukan bahkan menyalahkan wanita kerana dituduh ‘merangsang’ jenayah itu berlaku.

Selain itu, budaya yang lebih mementingkan lelaki dan mahu menjaga air muka dan bimbang dipulaukan menyebabkan banyak kes jenayah seksual tidak dilaporkan. Sedihnya, pesalah dibebaskan tanpa hukuman.

Shekhawat berharap kewujudan unit polis khas itu yang sentiasa berada dekat dengan masyarakat akan menggalakkan lebih ramai wanita untuk tampil membuat laporan mengenai si pelaku kerana tahu aduan mereka sampai ke telinga yang prihatin dan simpati.

“Anggota polis wanita ada sifat empati dan memahami keadaan kaum sejenis. Jadi, mangsa akan berasa lebih yakin dan keadaan ini membolehkan mereka untuk bercakap dengan lebih terbuka,” katanya.

BANTUAN BILA-BILA MASA

Di sebuah taman di Jaipur, Konstabel Saroj Chodhuary memberhentikan skuternya dan menghampiri sekumpulan wanita memakai sari untuk memperkenalkan diri.

“Anda boleh menghubungi kami melalui panggilan telefon atau hantarkan mesej di WhatsApp dan akan segera datang berkhidmat,” katanya yang segak mengenakan pakaian seragam sambil membawa topi keledarnya kala mengagihkan nombor telefonnya kepada kumpulan wanita berkenaan.

“Identiti anda tidak akan didedahkan, jadi anda boleh rasa selesa dan yakin untuk daftarkan aduan. Jika ada orang cuba mengganggu atau menakut-nakutkan anda dalam apa bentuk sekali pun, beritahu kami. Jangan ambil tindakan sendiri,” katanya.

Ternyata kumpulan wanita berkenaan tampak kagum dengan kewibawaannya. Masakan tidak, Chodhuary dan rakan sepasukan dilatih seni mempertahankan diri dan menghabiskan berbulan-bulan lamanya untuk belajar undang-undang. Lebih penting, mereka nampak lega apabila mengetahui boleh mendapatkan bantuan dengan hanya membuat panggilan telefon.

Radha Jhabua, ibu muda berusia 24 tahun berkata, dia mahu mengadu mengenai jirannya yang selalu mengekorinya, tetapi suaminya menghalang kerana bimbang ia akan menjejaskan nama baik keluarga.

“Suami beritahu saya supaya mendiamkan diri dan tunggu hingga lelaki itu menukar laluannya. Kini saya gembira kami boleh menghantar pesanan ringkas menerusi WhatsApp kepada pasukan ini dan mereka akan ambil tindakan selanjutnya,” katanya.

Seema Sahu, 38, yang mempunyai dua anak memberitahu, dia dan anaknya cuba mengelak daripada keluar pada waktu malam.

“Saya rasa lega, sekarang sudah ada polis wanita yang membuat rondaan. Kehadiran mereka memberi kami keyakinan,” jelasnya.

India berdepan kritikan antarabangsa yang mengecam tahap keganasan ke atas wanita selepas berlaku kes rogol beramai-ramai terhadap pelajar perubatan di New Delhi pada Disember 2012.

Akibatnya, undang-undang menghukum pesalah seks diperkukuhkan tetapi malangnya serangan rogol masih berleluasa. Di New Delhi saja 2,199 kes rogol dilaporkan pada 2015 atau purata enam kes sehari.

Polis India diarahkan mengambil lebih ramai anggota wanita tetapi sampai ke hari ini, jumlahnya masih rendah. Unit polis wanita di Jaipur itu adalah pasukan kedua di Rajashtan selepas pasukan pertama di Udaipur ditubuhkan pada Oktober tahun lalu.

Di Uttar Pradesh yang tiada undang-undang pula, dikecam kerana cara mereka membanteras jenayah seksual yang dianggap agak kontroversi.

Di sana, anggota polis termasuk wanita yang dipanggil ‘Skuad Anti-Romeo’ dituduh mengganggu wanita bujang dan pasangan dalam usaha menegakkan nilai murni mengikut ajaran Hindu.

Bagaimanapun, di Jaipur, kata Shekhawat, langkah itu tidak mungkin dilaksanakan selagi pasukan itu di bawah kendaliannya.

“Kami sudah melihat impak yang bagus dan positif hasil rondaan pasukan polis wanita kami iaitu untuk mencegah. Ia berjaya mengembalikan kepercayaan masyarakat kepada polis dalam menegakkan undang-undang,” katanya.

Nampaknya, lelaki juga menyambut baik kewujudan unit khas itu.

“Ini langkah yang bagus. Apabila lelaki dikelilingi oleh pasukan anggota polis wanita, orang lain akan rasa kesannya. Jadi mereka akan mengubah sikap,” kata seorang penduduk, Ram Lal Gujar.

Disiarkan pada: July 27, 2017 @ 1:39pm
d