hati

Rangsang pertumbuhan rambut si kecil

Oleh Siti Nadirah Hafidzin dan Yusliza Yakimir Abd Talib

Tidak semua bayi dilahirkan dengan keadaan rambut hitam dan lebat kerana kadar pertumbuhannya terutama ketika bayi adalah berbeza.

Bagi masyarakat Melayu, kebiasaannya rambut bayi dicukur selepas dilahirkan bagi memastikan rambut baru yang tumbuh itu lebih lebat dan sihat.

Namun, terdapat juga bayi yang masih tidak tumbuh rambut selepas dicukur dan ia mungkin menimbulkan kebimbangan ibu bapa. Maka bermulalah usaha untuk merangsang pertumbuhan rambut si kecil walaupun ada kalanya ia lambat menampakkan hasil. Bagaimanapun, ibu bapa tidak perlu bimbang kerana tebal atau nipisnya rambut seseorang bayi itu dipengaruhi faktor genetik atau keturunannya.

Kaedah mencukur rambut bayi yang baru dilahirkan memiliki pelbagai manfaat, terutama untuk kesihatan kulit kepala. Ini disebabkan terdapat banyak kerak kotoran yang ada di kepala ketika bayi berada dalam kandungan.

Namun, perlu diketahui faktor genetik memainkan peranan paling utama dalam pertumbuhan rambut si kecil. Selain genetik dan keturunan, faktor pemakanan juga mempengaruhi kadar pertumbuhan rambut bayi.

Pastikan si kecil terutama yang sudah mula makan iaitu selepas berusia enam bulan, menerima zat seimbang bagi memastikan rambutnya tumbuh dengan sihat.

Antara keperluan zat termasuk:

- Protein seperti telur, ikan, daging, susu dan kekacang

- Omega-3 seperti ikan salmon, kacang kenari dan minyak ikan

- Zat besi seperti bayam, kacang merah, tomato dan kentang yang kaya zat besi

- Vitamin kaya dalam buah-buahan, sayuran, kacang hijau dan gandum

Namun sekiranya bayi anda masih di bawah usia enam bulan, si ibu seharusnya perlu mengambil pemakanan seimbang bagi memastikan anak menerima khasiat diperlukan melalui proses penyusuan bagi membantu proses pertumbuhan rambutnya.

Petua melebatkan rambut bayi

1. Madu dan minyak zaitun

Madu bukan saja baik diamalkan dalam diet seharian malah dapat membantu menyihatkan kulit, begitu juga dengan minyak zaitun yang membuat kulit lebih sihat kerana mengandung vitamin E. Kedua bahan semula jadi ini boleh dicampurkan dan dioleskan di bahagian kepala dan biarkan beberapa saat sebelum membilasnya. Disebabkan sifatnya yang semula jadi, selamat untuk mengoleskannya pada rambut atau kulit kepala bayi sekali sehari atau dua hari sekali.

2. Lidah buaya

Lidah buaya memang bukan lagi rahsia untuk membantu melebatkan rambut, bukan hanya bayi malah ramai orang dewasa yang menggunakan tanaman ini untuk menghitamkan dan melebatkan rambut.

Untuk bayi anda, boleh gunakan lidah buaya dengan mengambil isi dan lendirnya saja. Hancurkan isi sehingga berbentuk gel dan oleskan secara merata pada rambut dan kulit kepala bayi. Lakukan berulang setiap minggu, kerana lidah buaya bukan hanya melebatkan malah membantu menghitamkan rambut bayi.

3. Avokado dan madu

Avakado dan madu antara bahan semula jadi lain yang memiliki kandungan yang baik untuk membantu melebatkan rambut bayi. Ambil isi buah yang sudah masak, kemudian hancurkan hingga halus seperti pupur.

Kemudian, campurkan satu sudu madu asli sebelum dioleskan pada rambut serta kulit kepala bayi. Jangan lupa gunakan penutup kepala agar tidak disentuh atau diusik oleh tangan mereka. Biarkan seketika dan bilas hingga bersih.

4. Minyak kelapa

Sebaik-baiknya, hentikan penggunaan bahan tidak jelas dan berbahaya yang sering kali digunakan dalam minyak rambut. Sebenarnya, pada usia seawal itu, ibu bapa tidak digalakkan menggunakan produk rambut untuk melebatkan rambut bayi kerana dikhuatiri bahan yang terkandung di dalamnya membawa mudarat kepada mereka.

Sebaliknya, gunakan saja bahan semula jadi seperti minyak kelapa yang sudah jelas tidak akan membawa bahaya atau merosakkan rambut dan kulit kepala mereka.

5. Pisang dan minyak zaitun

Selain menggunakan madu dan minyak zaitun, anda juga boleh menggunakan pisang dan minyak zaitun. Pisang mengandung bahan mineral seperti kalium yang boleh membuat rambut tumbuh lebih cepat.

Sementara campuran dengan minyak zaitun akan membuat folikel rambut lebih kuat dan tumbuh dengan baik. Pisang juga termasuk makanan yang mengandung asid folik dan penting untuk ibu hamil dan bayi.

6. Buah keras

Buah keras adalah tumbuhan yang bijinya boleh dimanfaatkan sebagai sumber minyak dan rempah. Minyak buah keras memiliki banyak khasiat untuk rambut, menyihatkan, menyuburkan, menguatkan, mencegah rambut rosak serta menghitamkannya secara semula jadi. Sapukan secara rutin minyak buah keras ke kepala anak anda hingga ke hujung rambut.

7. Air kelapa muda

Rutin melakukan urutan lembut kepala bayi dengan menggunakan air kelapa muda juga boleh melebatkan rambut mereka.

Anda hanya perlu menyediakan air kelapa muda secukupnya, siramkan ke kulit kepala bayi sambil diurut lembut. Untuk hasil yang maksimum lakukan petua ini secara rutin setiap pagi dan petang selepas mandi.

Disiarkan pada: August 2, 2017 @ 2:38pm
d