hati

Rahsia seri pengantin

Oleh Siti Zarinah Sahib

Wajah diibaratkan sebagai kanvas putih yang diberi nyawa menerusi ilusi solekan. Lain jemari, berbeza pula sentuhan yang akan menampilkan gaya tersendiri mempelai. Sama ada untuk acara pertunangan, pernikahan sehingga persandingan, setiap satunya memberikan kesudahan berbeza.

Solekan pertunangan misalnya bertujuan menampakkan wajah bertambah manis dan ayu. Hari pernikahan memberikan seribu satu rasa buat mempelai oleh itu solekan sederhana mampu mengimbangi keresahan serta kurang yakin tatkala diri bergelar raja sehari.

Untuk persandingan pula mempelai diibaratkan permaisuri dan raja sehari. Justeru solekan yang sempurna dari semua sudut mampu menampakkan sisi berbeza sekali gus menjadi tumpuan tetamu.

Bagi raja sehari pemilihan tema memainkan peranan penting. Untuk acara pernikahan tema paling laris dan romantik buat pengantin adalah pastel. Bermula daripada gaun merah jambu atau krim, bunga segar dan solekan semula jadi menjadi pemangkin kemanisan bakal isteri.

Untuk pembayang mata, pilihan rona tanah coklat atau kelabu bersama adunan gangsa menjadi pelengkap terbaik dalam mengimbangi di antara solekan segar dan minimalis namun sarat kilauan. Warna bumi dipilih disebabkan ia akan memberikan kesan ‘mewah’ kepada mempelai apatah lagi apabila digayakan dengan busana bergemerlapan.

Menjelaskan lebih lanjut, jurusolek profesional Yann Rifft mengakui bahagian terpenting untuk solekan pernikahan adalah mata dan bibir. Kedua-duanya jika dioles dengan teliti menggunakan rona yang tepat akan memberikan kesan sempurna kepada mempelai.

“Olesan mata menggunakan rona coklat dengan sedikit warna pastel merah jambu memberikan impak segar kepada pemakainya. Kemudian layangkan dengan kilauan bagi menampakkan keserian wajah,” katanya.

Namun begitu perkara paling utama dan tidak harus dipinggirkan adalah penggunaan warna bedak asas yang betul dan serasi kulit. Pilih ton yang tidak terlalu gelap atau cerah. Sapuan nipis menjadikan warna kulit senada. Kemudian ditutupi dengan bedak debu.

Pembentukan alis juga tidak kurang pentingnya. Walaupun alis tidak dicukur namun masih mampu dibentuk menggunakan celak hitam atau coklat. Namun pastikan anda tidak keterlaluan dalam membuat lakaran.

“Menambah ketelitian bahagian mata, sapuan celak pada atas dan bawah mata sangat penting sekali gus menambah kejelitaan mempelai. Kemudian sudahi dengan maskara sebagai pelengkap solekan,” katanya.

Sapuan pemerah pipi rona merah jambu pada bahagian atas tulang pipi menambah kemanisan si gadis, kemudian layangkan gincu rona merah bersama pengilat bibir untuk kesudahan yang diinginkan. Untuk kekal sempurna pilih busana yang tidak keterlaluan warnanya. Elakkan gaun berona terang kerana ia akan menenggelamkan keaslian solekan.

Disiarkan pada: August 3, 2017 @ 2:27pm
d