hati

Tudung mudah bentuk

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Selepas kemuncak populariti selendang pelbagai gaya, tudung ‘halfmoon’ dan bawal, ramai wanita kini kembali kepada keunikan tudung Turki yang pernah popular satu masa dulu.

Tudung empat segi kini menjadi antara carian popular kerana keunikan corak, keselesaan fabrik dan ikutan trend semasa. Tudung jenis ini bukan setakat ringkas dan mudah dipakai, malah memenuhi kriteria menutup aurat bagi kebanyakan wanita Muslimah.

Membawa kelainan dalam fesyen berhijab, Fuzainy Scarves tampil dengan rekaan tudung empat segi yang lebih elegan, diimport terus dari negara asalnya, Turki.

Menurut pemiliknya, Sharifah Fuzainy Syed Othman, tudung empat segi dengan ukuran yang lebih besar itu memudahkan wanita bergaya mengikut syariat Islam. Ia juga boleh dipelbagai gaya mengikut kreativiti pemakai, sesuai dengan meningkatnya populariti cincin tudung.

“Keistimewaan tudung ini pada kualiti materialnya. Antara fabrik yang digunakan adalah sutera rayon, kapas dan viskos, menjadikan setiap helaian tudung sangat selesa dan sejuk dipakai.

“Sekalipun fabrik ini lembut, ringan dan kelihatan licin, namun ia mudah dibentuk, apatah lagi bagi mereka yang memakai cermin mata,” katanya.

Tidak juga perlu bimbang jika tidak memakai anak tudung kerana tudung ini tidak jarang. Paling utama, ia juga mudah digosok dan tidak cepat renyuk, umpama bonus kepada mereka yang gemarkan sesuatu yang ringkas.

“Setiap helaian tudung Turki ini membawa elemen mewah dan kontemporari. Coraknya unik, menjadikan tudung ini pilihan terbaik bagi kebanyakan wanita yang mementingkan penampilan terkini, dalam masa sama, kekal dengan konsep dan gaya Turki,” katanya.

Mempunyai bidang 50 inci, wanita Islam dapat menutup aurat dengan sempurna. Pemakai tudung ini juga masih tetap kelihatan bergaya dengan rekaan eksklusif bermotifkan floral dan ronanya yang menyerlah.

“Kami juga menyediakan tudung polos sebagai pilihan untuk wanita berusia antara 25 hingga 40 tahun. Semua tudung boleh didapati pada harga RM55 hingga RM99 sehelai,” katanya.

Disiarkan pada: August 5, 2017 @ 1:08am
d