hati

Suhana angkat keunikan songket

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Songket mempunyai nilai eksklusifnya tersendiri sebagai fabrik warisan agung yang bukan saja cantik malah mampu menarik setiap mata memandang.

Atas nilai eksklusif yang tersendiri itu, tidak hairanlah jika songket mempunyai kelompok peminatnya tersendiri. Bagi peminat ini, songkat bukan sekadar fabrik busana tetapi keindahan dan kehalusannya dipersembahkan dalam pelbagai barangan bagi memperluaskan daya saingnya.

Atas faktor minat mendalamnya terhadap keunikan dan kecantikan songket, anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan, Suhana Md Zin, 40, memilih mengusahakan perniagaan berasaskan fabrik itu.

Dia tidak teragak-agak menjalankan perniagaan produk kraf berasaskan songket kerana yakin ia mampu menarik perhatian pelanggan dengan keunikan songket yang tersendiri.

Menurut Suhana, dia mula menceburi bidang itu sejak 2012 selepas yakin minatnya terhadap fabrik eksklusif berkenaan mampu membuahkan hasil.

“Saya sangat meminati kerja kraf tangan terutama berasaskan songket kerana hasilnya sering kali mengujakan terutama dengan kekemasan dan keunikan kraf yang terhasil.

“Bermula daripada itu, saya lebarkan bakat yang ada dengan mencipta produk kraf termasuk pelbagai jenis beg dan kotak berasaskan songket sebelum yakin ia boleh dijual dan mempunyai peminat tersendiri,” katanya.

Suhana berkata, dia yakin songket bukan hanya boleh dijadikan pakaian malah ia juga sesuai digunakan untuk menghasilkan pelbagai produk lain dan layak dikomersialkan sebagai salah satu identiti Malaysia.

“Saya amat yakin dengan keunikan songket dan disebabkan itu saya komited dalam menghasilkan setiap kraf yang menggunakan fabrik ini sebagai bahan utama.

“Walaupun hasilnya sangat cantik, untuk menyiapkan kraf menggunakan songket ternyata bukanlah sesuatu yang mudah. Saya perlu berhati-hati dalam proses penghasilannya bagi memastikan tidak berlaku pembaziran ,” katanya.

Faktor harga jadi cabaran

Menurut Suhana, faktor harga sering menjadi cabaran terbesarnya dalam proses menghasilkan setiap tempahan kraf.

“Saya perlu sentiasa peka dengan harga songket semasa kerana kita semua maklum songket asli Terengganu memang mahal. Ini menyebabkan saya perlu bijak dalam penghasilan rekaan kraf supaya tidak berlaku pembaziran.

“Antara produk kraf yang mendapat permintaan tinggi adalah kotak eksklusif dan beg menggunakan songket asli sepenuhnya,” katanya.

Suhana berkata, dia juga terpaksa mengehadkan pengeluaran krafnya setiap bulan disebabkan semua produk dihasilkan adalah buatan tangan.

“Saya terpaksa menolak tempahan pelanggan sekiranya terdapat terlalu banyak permintaan dalam satu masa bagi memastikan setiap hasil kraf adalah terbaik.

“Selain beg dan kotak songket, saya juga menerima tempahan pelbagai jenis hamper juga cenderahati berasaskan songket,” ujarnya.

Kata Suhana, semua produk kraf songket dihasilkan dijual pada harga bermula RM2 hingga RM500 bergantung kepada jenis, saiz dan rekaan kraf itu.

“Saya yakin pelanggan berpuas hati dengan setiap kraf songket ini kerana ia bukan saja cantik malah amat unik serta eksklusif terutama sekiranya rekaan kraf itu adalah berdasarkan permintaan pelanggan sendiri.

“Saya akan pastikan setiap kraf menepati kehendak pelanggan. Dalam menunaikan hasrat pelanggan ini, saya berpendirian tidak boleh mengamalkan sikap sambil lewa kerana setiap tempahan adalah satu amanah,” katanya.

Katanya, dia juga sentiasa berusaha mencari dan mencipta rekaan kraf songket terbaru supaya setiap produk dihasilkannya berbeza dan mempunyai nilai tersendiri.

Mahu ubah persepsi

Memasang impian tinggi untuk memperluaskan pasaran produk krafnya di negara lain menyebabkan Suhana perlu berfikiran jauh dan memasang strategi tepat bagi merealisasikan impiannya.

Suhana yang kini menetap di Taman Desa Millennia, Puchong berkata, dia akan berusaha memastikan produk kraf tangan songket digunakan tidak kira di mana saja oleh semua generasi.

“Produk berasaskan songket ini eksklusif dan ramai yang beranggapan tidak mampu untuk membelinya namun saya akan berusaha mengubah persepsi itu kerana ada di antara produk saya dijual dengan harga mampu milik.

“Saya juga berharap produk kraf tangan songket ini tidak luput dek arus peredaran zaman terutama pada generasi muda dan disebabkan itu juga saya berusaha menghasilkan pelbagai jenis kotak cenderahati dan beg yang direka dengan rekaan terkini,” ujarnya.

Kata Suhana, dia turut mengharapkan usahanya dalam memperluaskan penggunaan songket mampu menarik minat pelbagai lapisan masyarakat.

“Selain berniaga, usaha saya dalam menghasilkan produk berasaskan songket ini lebih kepada memastikan fabrik itu terus dikenali dan disukai semua,” katanya.

Disiarkan pada: August 8, 2017 @ 3:21pm
d