hati

Fesyen klasik wanita moden

Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Selepas kira-kira enam bulan menyepikan diri seketika daripada dunia fesyen kerana pengasasnya, Nur Amalina Mohamed Salleh bercuti melahirkan bayi, jenama LenaLee kini kembali mewarnai gaya wanita bandar yang moden.

Menerusi koleksi Summer 17, terdapat tiga rekaan blaus bercorak yang ditampilkan. Menariknya, ia boleh dipelbagaikan gaya mengikut kreativiti masing-masing sama ada ingin dipakai sebagai kardigan, blaus atau ‘crop top’.

Jika anda berani, blaus boleh diubah menerusi ikatan bahagian bawah baju kepada gaya ‘crop top’ iaitu baju yang dipakai agak senteng dan pendek yang menjadi penampilan popular gadis urban dan dipadankan bersama seluar atau skirt.

Akara Wrap adalah blaus bercorak yang direka menggunakan fabrik sifon georgette dan menjadi tanda pengenalan peminat jenamanya. Bukan itu saja, turut ditampilkan seluar panjang bersaiz lebar di bahagian bawah bagi mengembalikan nostalgia gaya klasik wanita satu ketika dulu.

Menariknya, seluar yang diperbuat daripada fabrik koshibo itu memiliki ciri yang ringan apabila dipakai dan sempurna digayakan ketika musim panas.

Bukan hanya ketika bersantai, koleksi yang boleh disuai padan mengikut kreativiti masing-masing ini juga menarik untuk digayakan ke pejabat, formal atau kasual.

Sempena sambutan musim panas, terdapat pilihan warna terang seluar dan blaus yang ditampilkan bagi menonjolkan keceriaan si pemakai dalam cuaca hangat.

Selain baju, seluar dan skirt yang boleh didapati, jenama yang sudah pun memasuki pasaran Brunei dan Singapura ini turut memiliki koleksi tudung yang boleh dipadankan sesuai gaya.

Bermula pada tahun 2014 menerusi perkhidmatan secara dalam talian, koleksi pakaian berjenama LenaLee diperkenalkan kepada umum. Jenama itu diasaskan oleh Nur Amalina dan pengasas bersama, Hurul Zulkifli menampilkan koleksi pakaian sedia dipakai (RTW).

Malah, jenama berkenaan turut menerima tempahan jahitan pakaian termasuk busana pengantin jika ada yang gemarkan gaya eksklusif mengikut warna, fabrik serta rekaan pilihan hati.

Disiarkan pada: August 12, 2017 @ 9:47am
d