hati

Kayuhan sebar mesej bersatu padu

Oleh Siti Zarinah Sahib

Seawal jam 7 pagi, ribuan rakyat Malaysia berkumpul di Dataran Merdeka bagi menyertai acara berbasikal mengelilingi Kuala Lumpur bersempena sambutan Projek57 Unity Ride yang dilancarkan Tan Sri Dr Syed Hamid Syed Jaafar Albar dan Pengarah Eksekutif Eco World Development Group Berhad Liew Tian Xiong.

Kumpulan kayuhan diketuai pengasas Projek57 Unity Ride, Collin Swee dan Syed Sadiq Albar itu memulakan perjalanan pada 6 Ogos dan berakhir 16 September 2017.

Mereka terdiri daripada selebriti dan rakan kongsi yang turut mempunyai misi sama iaitu melakukan kayuhan sejauh 57 kilometer ke perhentian pertama di IOI City Mall Putrajaya. Ia diadakan serentak dengan pelancaran kad Touch N’ Go Cares di The Symphony Walk.

Sebagai sebahagian daripada acara, penunggang basikal akan berkunjung ke kampung dan pekan kecil di Malaysia bagi mengajak anak muda dalam kalangan pelajar universiti dan sekolah membabitkan diri dalam aktiviti berbentuk perpaduan atau acara komuniti.

Di setiap perhentian mereka akan menghurai cerita mengenai harapan, perpaduan, ikatan dan hubungan persaudaraan yang terbina dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menurut Syed Sadiq Albar, dia sangat terharu dengan sambutan orang ramai bagi acara ini. Ini kerana mereka terdiri daripada berbilang kaum dan usia. Ia menggambarkan betapa bertuahnya menjadi rakyat Malaysia yang bersama-sama menjaga kemajmukan untuk negara tercinta.

Menerusi inspirasi dan kata-kata Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman, masa depan negara bergantung kepada jumlah kebaikan yang ditunjukkan bersama.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Eco World Development Group Berhad Datuk Chang Khim Wah berkata, acara kayuhan ini bagi memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk ikut serta.

“Kami berbesar hati menjadi rakan kongsi untuk Projek57 Unity Ride ini. Menjelang Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia, ini adalah satu acara menarik yang mampu menyatukan rakyat Malaysia dan menyebarkan mesej harapan demi negara yang lebih bersatu padu.

“Kami juga berbangga menjadi tuan rumah untuk aktiviti Projek57 Unity Ride di EcoWorld Gallery @ Eco Botanic, Johor dan Galeri EcoWorld @ MacAlister, Pulau Pinang. Kami mengalu-alukan rakyat Malaysia daripada semua lapisan masyarakat untuk menyertai kami dalam perayaan ini sambil menghormati tahun kemerdekaan negara kita yang ke-60 serta berbangga menjadi rakyat Malaysia, “ katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad Zakri Khir, menemui semula aspirasi dan cita-cita nenek moyang yang membayangkan Malaysia pada 1957 dan sekarang sebagai sebuah negara yang berjaya dengan kepelbagaian warganya.

“Kami berkongsi sentimen yang sama dengan Projek57 untuk mewujudkan keperluan perpaduan yang lebih besar dalam kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada semua lapisan masyarakat. Kami bangga menyokong inisiatif ini,” katanya.

Kempen ini adalah salah satu daripada program tanggungjawab sosial korporat Touch ‘n Go dalam memupuk kesedaran kepada masyarakat dengan memberi bantuan kepada rakan perusahaan dan juga demi menyokong usaha Projek57 Unity Ride dalam menggalakkan kesatupaduan dalam diri warga Malaysia.

“Selain itu, TNGSB juga sentiasa menggalakkan gaya hidup sihat termasuk aktiviti berbasikal bersama keluarga dan rakan. Kami percaya badan yang sihat, akan menghasilkan minda yang cerdas, seterusnya akan meningkatkan kadar produktiviti,” katanya.

Disiarkan pada: August 14, 2017 @ 2:45pm
d