hati

Usah salahkan pil pencegah hamil

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

“Eee, gemuknya dia selepas bersalin! Tak jaga badanlah ni. Eh, pinggang dia dah tak ramping macam dulu, ini mesti ambil pil perancang kehamilan.”

Itu antara dialog yang sering didengari wanita yang mengalami masalah lebihan berat badan selepas melahirkan cahaya mata atau paling tepat kepada wanita yang mengambil pil pencegah kehamilan.

Situasi itu mengakibatkan wanita terbabit bukan saja tertekan malah menjadi serba tidak kena terutama ketika menghadap cermin dan membelek setiap inci tubuh.

Ia juga mengakibatkan kebanyakan wanita terutama yang mengambil pil pencegahan kehamilan mula berasa takut dan menyalahkan pil berkenaan apabila berat badan semakin bertambah.

Menurut Pegawai Perubatan Obstetrik & Ginekologi Kementerian Kesihatan Malaysia Dr Muhammad Izzat Abdul Razak, perkara itu antara topik paling hangat diperkatakan wanita kini.

“Setiap kali kaunseling perancangan keluarga diberikan, antara perkara pertama yang ditanya peserta adalah mengenai kesan kegemukan akibat mengambil pil perancang kehamilan.

“Namun, persoalannya di sini, adakah benar pil itu mengakibatkan seseorang wanita itu gemuk?” katanya.

Menurutnya, pil perancang kehamilan sudah berada di pasaran sejak lebih 50 tahun lalu juga antara kaedah paling senang didapati, murah dan mudah.

“Jika mematuhi cara atau jadual pengambilannya, 99 peratus keberkesanan pil perancang ini mampu dicapai,” katanya.

Dr Muhammad Izzat berkata, pil pencegah kehamilan boleh menjadi antara penyebab kenaikan berat badan namun perkara paling utama adalah corak pemakanan dan gaya hidup itu yang memainkan peranan lebih utama.

“Hakikatnya, gaya hidup yang kurang sihat dan pengambilan makanan tidak seimbang antara penyebab utama berlakunya kenaikan berat badan apatah lagi sekiranya wanita itu sudah berkahwin dan mempunyai anak.

“Ramai yang tidak jaga pemakanan, kerap mengambil nasi lemak, roti canai, teh tarik manis, Milo manis dan seumpama dengannya yang menjadi penyebab utama kenaikan berat badan. Itu belum masuk yang suka makan bertambah, terutama jika ada hidangan kegemaran,” ujarnya.

Bagaimanapun, Menurut Dr Muhammad Izzat, dia memahami mengapa timbulnya andaian mengenai pil itu.

“Salah satu hormon dalam pil pencegahan kehamilan adalah progesteron yang menyebabkan perut menjadi kembung dan mungkin ia disalah anggap sebagai bertambah berat badan.

“Namun, simptom ini berbeza antara seorang individu ke individu lain dan ia bergantung kepada tindak balas badan kepada jenis hormon progestron tertentu yang membawa pelbagai kesan. Tidak semua wanita mengalami kesan yang sama.

“Ada pendapat sebelum ini menyatakan kandungan hormon estrogen dalam pil pencegah kehamilan menjadi penyebab berat badan bertambah.

“Pendapat itu ternyata tidak tepat sama sekali kerana hormon ini sebenarnya menggalakkan metabolisme dan membakar lemak secara lebih cepat tetapi penggunaan hormon estrogen di dalam pil perancang kehamilan dalam generasi baru dikurangkan untuk mengurangkan risiko kesan sampingan seperti pembekuan darah dan strok,” ujarnya.

Dr Muhammad Izzat berkata, hormon estrogen boleh menambah sedikit berat badan tetapi kesannya kepada metabolisme badan lebih menyeluruh.

“Setiap wanita tidak perlu gusar mengenai peningkatan berat badan sekiranya mengambil pil pencegah kehamilan. Anda hanya perlu mengubah gaya hidup dan bertukar kepada corak pemakanan sihat.

“Jangan menyalahkan pil perancang kehamilan semata-mata kerana ia bukanlah penyebab utama kenaikan berat badan dan yang paling utama adalah gaya hidup sihat,” katanya.

Ramai wanita yang menggunakan pelbagai kaedah perancangan berhormon tetapi masih dapat mengekalkan berat badan seimbang. Bahkan ada yang lebih langsing berbanding ketika anak dara dulu kerana bijak menyeimbangkan antara pengambilan makanan dan aktiviti kecergasan.

Langkah cegah kenaikan berat badan

Antara langkah yang boleh dilakukan bagi mengurangkan risiko kenaikan berat badan khususnya kepada wanita yang mengambil pil pencegah kehamilan:

1. Setiap pagi, cuba bersenam secara kerap supaya sentiasa sihat dan cergas. Senaman seperti berjalan setempat, menari atau berjalan pantas selama 20 minit setiap pagi memadai untuk membekalkan anda tenaga sepanjang hari.

2. Makan dengan jumlah munasabah. Ketahui keperluan kalori badan kita. Cara mudahnya ialah dengan membahagikan pinggan kepada empat bahagian - satu perempat untuk nasi (karbohidrat), dua perempat untuk sayur (serat dan vitamin) dan bahagian terakhir diisi dengan sumber protein. Kaedah ini dapat mengelakkan kita mengambil makanan berlebihan daripada yang diperlukan.

3. Elakkan makanan segera dan minuman ringan terutama yang berkarbonat.

4. Banyakkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan. Kalau boleh, dapatkan tiga warna sayur dan buah (sama ada hijau, kuning, merah, jingga, putih, ungu) setiap hari untuk menikmati kebaikan fitonutrien yang berbeza.

5. Mengisi keperluan vitamin D kerana ia berfungsi mengaktifkan sel imun untuk mencegah virus dan bakteria. Vitamin D boleh didapati pada matahari, telur, hati dan ikan.

6. Patuhi jadual makan. Untuk makan malam, sebaik-baiknya diambil sebelum jam lapan malam. Jika terpaksa makan lewat, ambillah dalam kuantiti sedikit untuk mengalas perut. Badan kita perlukan masa untuk mencerna makanan itu sekurang-kurangnya dua jam sebelum tidur.

7. Minum banyak air. Ramai orang keliru antara keperluan untuk air atau makanan. Oleh itu, dengan minum banyak air, badan akan terhidrat dan mengelakkan kita terlebih makan kerana kekeliruan berkenaan.

8. Makan dengan tenang dan kunyah hingga makanan benar-benar lumat sebelum ditelan. Isyarat kenyang mengambil masa kira-kira 20 minit untuk sampai ke otak. Jadi, makan perlahan-lahan dalam keadaan tenang dapat mengelak kita terlebih makan.

Disiarkan pada: August 15, 2017 @ 1:21pm
d