hati

Sediakan anak kemahiran IQ, EQ

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Walaupun kecemerlangan akademik sering menjadi keutamaan dalam peringkat tumbesaran kanak-kanak, kemahiran mental (IQ) saja tidak memadai untuk berjaya.

Ramai ibu bapa semakin menyedari masa depan sukar diramal dan mereka turut memberi penekanan terhadap kecerdasan emosi (EQ) anak yang tidak kurang pentingnya.

Malah menurut kajian terbaru oleh Mead Johnson Nutrition mendapati 96 peratus ibu di Malaysia menyatakan IQ saja tidak memadai untuk berjaya pada masa akan datang yang tidak menentu.

Menerusi kajian sama, mereka turut menekankan aspek EQ seperti keupayaan menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan, kebolehan untuk empati, kemahiran bersosial dan berkomunikasi dengan baik adalah sama penting dengan penguasaan mata pelajaran yang diajar di sekolah.

Dianggarkan lebih daripada separuh kanak-kanak yang bersekolah hari ini dijangka bekerja dalam bidang pekerjaan yang belum wujud, oleh itu keupayaan untuk menyesuaikan diri menjadi kemahiran teras.

Pakar pemakanan dan ahli akademik dalam bidang psikologi pendidikan kanak-kanak pada perbincangan meja bulat baru-baru ini bersetuju betapa pentingnya untuk menyediakan kanak-kanak dengan kemahiran IQ dan EQ yang seimbang bagi membolehkan mereka bersiap sedia menghadapi masa depan yang tidak menentu.

Ciri EQ yang penting termasuk keupayaan menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan, keupayaan untuk berempati dengan orang lain, kebolehan berkomunikasi dengan baik dan kecerdasan sosial.

Tumpuan perbincangan yang berjudul Memupuk Kanak-kanak Malaysia yang Bersiap-sedia untuk Masa Hadapan ini adalah mengenai langkah bagi menyediakan kanak-kanak menghadapi masa hadapan yang kompleks dan tidak menentu.

Ibu bapa turut perlu memberi didikan yang seimbang merangkumi IQ dan EQ untuk memberi persediaan bagi anak mereka.

Antara topik yang dibincangkan adalah mengenai IQ dan EQ, memupuk kanak-kanak agar bersiap-sedia untuk masa hadapan dan kecerdasan emosi mereka.

Selain itu, peranan nutrisi dan bagaimana ia mempengaruhi EQ serta kemahiran insaniah yang diperlukan oleh setiap anak bagi menghadapi masa hadapan turut dibincangkan.

Pensyarah Kanan dan Pakar Psikologi Fakulti Sains Tingkah-laku Universiti HELP Siew Ju Li berkata, untuk berjaya dalam dunia yang kerap berubah dan berorientasikan teknologi, pelajar bukan saja perlu memiliki kemahiran dalam seni bahasa, matematik dan sains, malah perlu cekap dalam pemikiran kritikal, penyelesaian masalah, gigih, boleh bekerjasama dan ada rasa ingin tahu.

Semua ini, katanya, adalah kemahiran yang utama dalam EQ dan kita hanya boleh meramal keadaan pekerjaan pada masa akan datang, namun dengan memperoleh kedua-dua kemahiran ini, kanak-kanak akan lebih bersedia untuk masa hadapan yang tidak pasti.

Pengurus Dietetik Pusat Perubatan Sunway Celeste Lau Wai Hong pula menjelaskan nutrisi turut memainkan peranan dalam perkembangan EQ kanak-kanak. Menerusi kemajuan sains dan inovasi teknologi, penyelidik mengenal pasti dua nutrien yang penting untuk kanak-kanak iaitu Membran Globul Lemak Susu (MFGM) dan DHA.

Kedua-dua nutrien ini katanya, bekerjasama untuk meningkatkan perkembangan kognitif, membina daya ketahanan imuniti dan menyokong pengawalan tingkah-laku kanak-kanak.

“Saya ingin menekankan bahawa pentingnya untuk mendapat rangsangan di samping pengambilan nutrisi yang baik bagi membantu menyokong perkembangan kanak-kanak yang menyeluruh.

“Ibu bapa perlu memberi rangsangan dan nutrisi yang baik kepada anak kerana otak kanak-kanak membesar sehingga tiga kali ganda dalam dua tahun pertama dan terus berkembang sehingga mencapai 90 peratus daripada saiz otak dewasa dalam lima tahun pertama.

“Kesemua faktor ini membolehkan fungsi kognitif yang optimum dikekalkan dari alam kanak-kanak ke dewasa,” katanya.

Sementara itu, Presiden Lembaga Alumni Teach For Malaysia (TFM) dan pengasas bersama Arus Academy Alina Amir berkata, pihaknya mempunyai matlamat untuk menyemai semangat berinovasi dan dengannya satu hari nanti, kanak-kanak bakal menjadi pencipta atau pakar inovasi dan bukannya pengguna.

“Sebagai guru, saya percaya amat penting untuk kanak-kanak mempunyai keseimbangan dari segi kemahiran IQ dan EQ. Keseimbangan adalah kunci bagi persediaan untuk masa hadapan.

“Dalam usaha menyediakan kanak-kanak Malaysia bersiap sedia menghadapi masa hadapan, adalah penting untuk mewujudkan perbincangan mengenai kemahiran spesifik yang mereka perlu,” katanya.

Mead Johnson Nutrition Malaysia ingin bekerjasama dengan ibu bapa untuk membantu anak mereka bersiap-sedia untuk masa hadapan dengan memperkenalkan Enfagrow A+ Baharu yang ditambah MFGM Complex dan 40 peratus lebih DHA bagi menyokong keperluan nutrisi kanak-kanak di Malaysia.

Disiarkan pada: August 16, 2017 @ 12:00am
d