hati

Melaram dengan batu permata mampu milik

Aksesori seperti cincin dan rantai leher bertatahkan batu permata menjadi kesukaan setiap wanita tanpa mengira usia namun atas faktor harganya yang agak tinggi menjadikan ia antara koleksi aksesori sukar dimiliki.

Mungkin ramai wanita sekadar mampu menyimpan hasrat untuk memilikinya dan ada juga sanggup mengetepikan wang saku setiap bulan bagi membeli aksesori diingini itu.

Namun dalam membantu merealisasikan hasrat itu dan seiring dengan matlamat dalam menawarkan sentuhan moden kepada barang kemas batu permata semula jadi dengan harga berpatutan, jenama Jeoel baru-baru ini melancarkan koleksi terbaru yang terdiri daripada batu delima, nilam dan zamrud yang boleh dimiliki serendah RM199.

Pengasas bersama Jeoel, Choong Jiayueh berkata, jenama itu memberi peluang kepada generasi muda untuk memiliki batu permata semula jadi dan bernilai pada harga mampu dimiliki.

Menurutnya, produk baru itu diberikan nama yang bersesuaian dengan ciri positif yang diwakili.

“Rubi (hiasan batu delima) melambangkan pengembaraan, sapphire (batu nilam) melambangkan kegembiraan dan topaz pula menggambarkan kreativiti.

“Batu nilam dan delima merah adalah batu permata yang terkenal dan mempunyai permintaan tinggi daripada pelanggan. Oleh itu, kami sangat berbesar hati untuk merealisasikan hasrat mereka bagi memiliki barang kemas sebenar yang memberikan inspirasi,” katanya.

Katanya, kebanyakan wanita muda amat menyukai batu permata namun tidak berpeluang memilikinya kerana pelbagai faktor terutama harga.

“Bagi memenuhi hasrat dan minat pelanggan yang terdiri daripada golongan wanita dalam lingkungan usia 20-an, saya bersemangat memulakan jenama ini di samping merapatkan jurang pasaran antara barang kemas mahal dengan aksesori pakaian biasa.

“Dalam pasaran, Jeoel ialah jenama pertama di Malaysia yang menghasilkan batu permata semula jadi dan barang kemas kemas berlian pada harga di bawah RM500,” katanya.

Semua produk antaranya cincin, subang dan rantai diperbuat daripada logam perak tulen 925, dan disadur dalam rodium (salah satu daripada komponen emas putih) atau emas mawar untuk lapisan tambahan kemewahan dan perlindungan daripada kekotoran.

Melalui keindahan batu permatanya dan makna tersendiri yang dimiliki di sebalik setiap satu, jenama ini mahu memberi kekuatan kepada wanita muda bagi meneruskan minat dalam kehidupan mereka menerusi kreativiti, cita-cita dan sedikit sentuhan magis melalui batu permata.

Kunjungi cawangannya di pusat beli-belah 1 Utama, Sunway Pyramid dan Sunway Velocity untuk melihat sendiri koleksi lengkapnya.

Disiarkan pada: August 19, 2017 @ 9:52am
d