hati

Bergaya dengan kasut tumit tinggi!

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Hampir semua wanita gemar memakai kasut tumit tinggi kerana ia dianggap mampu membuatkan mereka tampak lebih seksi, tinggi dan feminin di mata individu yang memandang.

Namun, tanpa sedar, dek kerana mahu berfesyen, pemakaian kasut tumit tinggi yang dipakai dalam tempoh terlalu lama menjadikan kaki semakin sakit, malah memberi kesan jangka panjang yang boleh menjejaskan postur tubuh dan kesihatan.

Tidak salah sekiranya mahu tampil menarik dengan pemakaian kasut tumit tinggi, namun perlu diingat pemilihan kasut yang tepat terutama yang mampu memberi keselesaan ketika disarung amat penting dalam pemilihan kasut.

Di sini, ada beberapa panduan yang boleh diikut dalam memilih kasut tumit tinggi:

Cuba dulu sebelum membeli

Kasut perlu dicuba terlebih dulu sebelum membuat keputusan membelinya. Kita perlu tahu sama ada saiz dan potongan kasut benar-benar sesuai dengan kaki atau tidak. Saiz yang sepatutnya dipilih adalah kasut yang muat sebaik disarungkan, namun masih memberi ruang untuk jari kaki bergerak bebas dan tidak terhimpit sehingga menyakitkan.

Kenali juga bentuk kaki anda, sama ada bentuk A atau B (sesetengahnya memanggil bentuk C). Bentuk A adalah kaki yang runcing dan biasanya tidak mempunyai masalah untuk memilih kasut. Kaki bentuk B atau C pula lebih lebar dan memerlukan bentuk kasut dengan hujung dempak untuk pemakaian yang selesa.

Inilah sebabnya, kasut perlu dicuba dulu sebelum dibeli khususnya bagi individu dengan bentuk kaki B atau C. Ini kerana kebanyakan kasut mempunyai rekaan hujung depan yang agak runcing bagi menampakkan ilusi kecil pada kaki.

Pilih kasut yang memberi posisi betul pada kaki

Biarpun ada yang percaya kasut tapak tebal atau baji lebih baik berbanding kasut bertumit halus, sebenarnya kepercayaan itu tidak benar sepenuhnya. Ini kerana kasut bertapak tebal tidak fleksibel dan menyebabkan pemakainya perlu mengangkat kaki dengan tinggi supaya tidak mudah tersandung.

Selain mengehadkan pergerakan, kasut bertapak tebal lebih berat dan menambah beban pada kaki yang sememangnya perlu menampung keseluruhan berat badan. Paling penting posisi kasut berkenaan selari dengan tapak kaki bagi memberikan keselesaan.

Jangan mudah terpedaya dengan jualan murah yang tidak logik

Sekiranya boleh, elakkan daripada membeli kasut yang terlalu murah kerana besar kemungkinan ia diperbuat daripada plastik. Kasut sebegini akan membuatkan kaki berpeluh dan kasut terasa seperti ‘mengikis’ kaki. Pada bahagian tumit pula, ia selalunya bergeseran sehingga menyebabkan tumit dan beberapa bahagian kaki melecet.

Pilih kasut yang selesa bukan sekadar cantik

Ramai wanita yang mudah rambang mata apabila terdapat pelbagai pilihan kasut yang cantik. Ia menyebabkan mereka terus membeli tanpa memikirkan faktor utama yang sepatutnya perlu diberikan keutamaan iaitu keselesaan. Ingatlah, keselesaan lebih penting berbanding rekaan kasut itu.

Jangan memilih kasut yang memiliki tumit terlalu tinggi

Dek nafsu mahu kelihatan cantik dengan menyarung kasut tumit tinggi, ramai wanita terpaksa menahan kesakitan semata-mata untuk berfesyen.

Memilih kasut bertumit yang terlalu tinggi bukan saja membahayakan kerana berisiko tinggi untuk terjatuh, malah ia membuatkan tapak kaki berada dalam keadaan tidak sihat. Boleh memakai kasut tumit tinggi, tetapi perlulah berpada dan mengikut kesesuaian kaki.

Lebih tinggi tumit kasut, lebih banyak tekanan diberikan pada tapak kaki. Untuk menguji kesesuaiannya, anda perlu mencuba kasut berkenaan dan boleh berdiri tegak (tanpa membengkokkan lutut) dan tumit kasut boleh diangkat setinggi satu inci. Jika tidak boleh, lupakanlah kasut berkenaan dan cari yang lain kerana ia menandakan tumitnya terlalu tinggi.

Cuba berjalan dengan kasut yang dipilih

Cuba berjalan dengan memakai kasut idaman anda itu di dalam kedai. Pastikan anda boleh berjalan dengan stabil, tumit kasut berada dalam keadaan tegak dan bukannya senget ke tepi. Cuba juga pusingkan kaki bagi memastikan tapaknya tidak licin dan mengelakkan risiko terjatuh. Ingat, semakin tinggi tumit kasut anda, semakin kecillah langkah anda.

Lihat tapak kasut

Kini ada banyak pengeluar kasut tumit tinggi menggunakan bahan bergetah pada tapak kasut terutama tumitnya. Jika tidak, anda perlu mendapatkan khidmat tukang kasut untuk melekatkan tapak getah. Ia bukan saja mengurangkan bunyi kasut ketika berjalan malah dapat mengurangkan risiko tergelincir dan memanjangkan hayat kasut anda.

Perhatikan tapak dalam kasut

Jika tapak dalam digam, pastikan gam disapu sempurna. Jika dijahit, jahitan perlulah kemas. Ini penting kerana tapak dalam kasut yang tidak melekat dengan baik boleh mengundang bahaya kepada pemakainya.

Disiarkan pada: August 19, 2017 @ 10:03am
d