hati

Tudung suai padan

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Evolusi penggayaan tudung bukan lagi sesuatu yang dilihat baru, malah semakin dipelbagaikan mengikut idea dan kreativiti masing-masing.

Atas faktor itu, dapat dilihat ramai wanita kini tanpa mengira usia tampil dengan kepelbagaian fesyen tudung mahupun selendang yang menambah kemanisan individu terbabit.

Selaku pemilik dan pereka kreatif butik atas talian sepenuhnya, Nor Afizah Abu yang menerajui jenama Feeza Anggun sejak enam tahun lalu berusaha menghasilkan tudung terkini yang boleh disuaipadankan dengan pakaian moden Muslimah.

Menurut Nor Afizah, koleksi tudung Feeza Anggun menggambarkan gaya hidup hijabi yang juga gaya wanita bertudung namun masih boleh berpakaian moden mengikut arus perkembangan fesyen semasa.

“Konsep yang ingin saya ketengahkan bertujuan memudahkan penggayaan tudung yang bersesuaian dengan wanita Malaysia di mana kebanyakannya mempunyai kerjaya dan ingin bergaya dalam waktu yang singkat.

“Selain mudah, antara kelebihan lain koleksi tudung kami adalah didatangkan dalam pelbagai warna bagi memberi banyak pilihan kepada pelanggan,” katanya.

Nor Afizah berkata, koleksi terbarunya adalah Anggun Adella dan Anggun Elysia yang mempunyai elemen suai padan untuk memudahkan peng­guna memadankannya mengikut pelbagai acara.

“Anggun Adella adalah selendang berkonsepkan selendang segera yang hanya memerlukan 15 saat untuk dipakai menjadikan ia antara rekaan terbaik tahun ini.

“Anggun Elysia pula adalah koleksi selendang segera bercorak yang mempunyai potongan menarik dan terletak di bahu si pemakai. Jadi tidak perlu lagi menggunakan kerongsang yang disemat pada baju. Menggabungkan warna polos sebagai anak tudung, ia dipadankan dengan selendang bercorak di bahagian luar yang menambahkan keanggunan wanita,” katanya.

Menurut Nor Afizah, Anggun Adella dihiasi aksesori bunga yang eksklusif dan mewah di sekeliling tudung yang sememangnya mampu menyerlahkan lagi penampilan si pemakai.

“Selain unsur bunga, Anggun Adella juga dihiasi dengan perincian batu kecil yang berkilau menjadikan selendang ini lebih klasik dan feminin.

“Kedua-dua koleksi ini menggunakan fabrik sifon yang mudah dibentuk, memudahkan penggayaan dan juga menjadikan muka kelihatan lebih runcing,” ujarnya.

Mementingkan kemudahan untuk Muslimah, Feeza Anggun sememangnya sinonim dengan penggunaan fabrik sifon yang sesuai dengan keadaan cuaca di Malaysia.

Menurutnya, pihaknya mengeluarkan 15 warna pilihan buat koleksi Anggun Adella dan 12 warna pilihan untuk koleksi Anggun Elysia.

Dengan pembelian sepenuhnya secara atas talian, Nor Afizah berkata, koleksi ini boleh didapati pada harga RM47 hingga RM79.

“Selain tudung, kami turut menghasilkan rang­kaian blaus iaitu Trisna dan Queensha. Semua rekaan kami menggunakan material premium como crepe.

“Material premium como crepe ini tidak mudah berkedut, hanya perlu menggosok dengan kadar minimum, lembut beralun, sejuk, tidak jarang dan tidak melekap di badan,” katanya.

Disiarkan pada: August 19, 2017 @ 10:28am
d