hati

Imej melambangkan diri individu

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Ramai beranggapan tugas sebagai perunding imej hanya memberikan khidmat runding secara luaran, iaitu lebih kepada kecantikan diri dan sering dikaitkan dengan wanita.

Bagaimanapun, tidak kira umur, latar belakang, bidang pekerjaan, gaya hidup dan industri, penjagaan imej peribadi penting kerana ia membantu meningkatkan kredibiliti, lebih berkeyakinan, dihormati, profesional serta penampilan positif sebagai seorang individu.

Pengurusan imej peribadi juga adalah kemahiran insaniah yang perlu dititikberatkan oleh semua pihak dan tidak seharusnya dipandang ringan kerana imej melambangkan siapa diri anda.

Kebanyakan orang akan membuat penilaian berdasarkan pandang an pertama. Imej peribadi yang baik akan ‘meraih’ tanggapan positif yang boleh memberikan banyak kelebihan kepada kita.

Kini semakin ramai individu dan organisasi sedar mengenai kepentingan keterampilan dan imej, disebabkan itu permintaan terhadap khidmat perunding imej turut meningkat.

Seperti ditegaskan MaryAnni Masarip, 33, diri pasti lebih yakin andai penampilan dijaga baik sama ada luaran mahupun dalaman. Itulah yang diusahakan oleh wanita ini demi meningkatkan personaliti menarik dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Wanita yang lebih dikenali sebagai Mary ini mula bergerak secara profesional dalam kancah perundingan imej sejak tujuh tahun lalu malah latar belakang profesionnya dalam sektor kewangan dan perbankan serta pembangunan sumber manusia menyediakannya pengetahuan meluas untuk membantu pelanggan meningkatkan imej mereka.

“Sejak 2009, saya aktif mengendalikan program untuk menyampaikan ilmu imej yang membantu wanita menjadi lebih yakin, anggun, profesional dan eksklusif.

“Tambahan pula skop kerjaya sebagai eksekutif latihan di syarikat perbankan sebelum ini memerlukan saya melatih ejen mengenai kemahiran insaniah, pengetahuan produk dan cara berkomunikasi.

“Dari situ bermulanya minat saya untuk mengembangkan bakat dalam bidang perundingan imej dengan mengambil keputusan menubuhkan syarikat sendiri sejurus selepas meletak jawatan enam tahun lalu,” katanya.

Berasal dari Kuching, Sarawak, dia menyediakan program khusus buat wanita profesional dan golongan kenamaan termasuk mereka yang bergiat dalam dunia korporat.

Katanya, bagi dunia korporat, pendekatan dan modul yang disediakan lebih memberi fokus kepada penampilan konvensional dan imej sesuai untuk organisasi profesional.

Peranan dimainkannya lebih kepada mendidik pekerja sesebuah organisasi mengenai penampilan yang perlu dipilih dan dimahukan majikan supaya orang melihatnya lebih profesional dan dianggap serius ketika menjalankan urusan.

Selain itu, ibu kepada dua cahaya mata ini turut aktif berkongsi dengan umum pelbagai tip penampilan dan imej menerusi media sosial seperti Facebook dan Instagramnya.

Impak imej positif

Mengulas lanjut mengenai penampilan seseorang individu mampu memberi impak kepada karier dan kehidupan peribadinya, Mary menegaskan, apa yang kita tonjolkan pada dunia turut membabitkan imej keluarga.

Penampilan seseorang individu itu juga memberi impak kepada karier termasuk dapat meningkatkan kepercayaan orang lain. Malah majikan juga membuat penilaian dalam pelbagai aspek termasuk cara berpakaian kerana ia mempamerkan personaliti seseorang sama ada baik atau buruk.

“Insan yang yakin bertutur, rapi berpakaian, hebat pergaulan dan profesional dalam setiap urusan adalah individu yang jelas sasaran hidupnya, mendalam ilmu pengetahuannya dan konsisten mengamalkan apa yang dipelajari.

“Ramai peserta program saya mengalami perubahan positif dan merasai kesan imej yang baik terhadap kerjaya dan diri mereka,” katanya.

Pengasas bersama dan pelatih utama melalui syarikatnya, Training Cube International Sdn Bhd, itu sehingga kini sudah memberi panduan imej kepada ribuan pekerja syarikat korporat, swasta, agensi kerajaan dan pusat pengajian tinggi.

“Bagi dunia korporat, bukan setakat jenis pakaian, pemilihan warna juga penting bagi menunjukkan imej profesional misalnya warna lebih gelap dan tidak boleh lebih daripada gabungan tiga warna setiap kali berpakaian,” katanya.

Katanya, yang fasih bertutur Mandarin, selain suka bekerja dan tidak pernah menganggap tugasan sebagai satu beban, sikapnya yang sangat berdedikasi hingga pergi ke tempat kerja biarpun sedang bercuti, membuatkan suami dan rakan lebih menggalakkan dia bekerja sendiri.

Apa yang menariknya, selepas berhenti kerja demi meneruskan cita-cita dalam dunia perunding imej, dia dan suami merahsiakan mengenai tindakannya itu selama dua tahun daripada pengetahuan kedua-dua keluarga kerana tidak mahu ibu bapa berasa risau dengan keadaan kewangan mereka.

Suaminya, Nadzrun Abd Wahab, 34, pendorong kuat kepada kejayaannya selain dibantu tujuh kakitangan bagi melicinkan tugasan dan proses penyediaan modul bagi setiap sesi bengkel atau latihan yang dijalankannya.

Mary yang juga lulusan Ijazah Sarjana Muda Psikologi dari Universiti Malaysia Sarawak berkata, melihat kepada kesibukannya yang semakin menjadi-jadi, pada 2012, suaminya sanggup melepaskan jawatan dalam bidang teknologi maklumat bagi membantunya mengukuhkan syarikat yang dibina.

Bukan hanya dalam negara, perkhidmatan Mary sebagai perunding imej korporat juga mendapat perhatian majikan dari Singapura dan Brunei, selain dia bercita-cita melebarkan sayap sehingga ke Timur Tengah dan Jakarta.

Pucuk dicita ulam mendatang, Mary bersyukur apabila mendapat kepercayaan syarikat di Dubai untuk khidmatnya pada September depan.

Menelusuri kejayaan wanita ini, pada 2011, dia menubuhkan Akademi Perunding Imej Profesional (APIP) yang beroperasi di Bandar Baru Ampang untuk melatih barisan pelapis dan sehingga kini sudah melahirkan 95 graduan.

Mary juga ketika ini dilantik sebagai Naib Presiden Persatuan Komunikasi Perunding Imej Antarabangsa (AICI) Malaysia dan aktif sebagai ahli Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia.

Antara pengiktirafan dalam bidang perunding imej profesional yang dimilikinya ialah daripada Body Beautiful Institute Amerika Syarikat (AS), Poise Image International Singapura, ByFerial Training and Image Consulting, Australia, Expert Rating AS dan Majlis Pembangunan Manusia oleh Kementerian Sumber Manusia.

Sebagai wanita bekerjaya yang sibuk, Mary mengakui masa dengan keluarganya agak terhad termasuk menguruskan dua anaknya, Muhammad Arsyad, 6, dan Az Zahra, 2, tetapi dia bersyukur kerana suami dan keluarga memahami dan menjadi penyokong nombor satu.

“Biarpun saya sibuk, saya tetap melakukan segalanya seorang diri termasuk mengemas rumah setiap hari. Saya tidak mempunyai pembantu rumah kerana rasa lebih puas hati jika dapat buat sendiri kerja rumah,” katanya.

Selain itu, dia mahu memberi kesedaran kepada orang ramai yang sering salah faham bahawa hanya golongan berduit atau berimej tinggi di mata masyarakat yang menitikberatkan imej mereka sebaliknya semua golongan tanpa mengira latar belakang juga boleh membuat perkara sama.

Disiarkan pada: August 22, 2017 @ 12:00am
d