hati

Membudayakan sukan

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Penganjuran Program Fit Malaysia Kuala Lumpur 2017 terus mendapat sambutan apabila 10,000 peserta membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil, baru-baru ini untuk sama-sama memeriahkan acara larian dan kayuhan basikal.

Dilancarkan sejak 2014, Fit Malaysia menyasarkan menjadikan sukan sebagai medium penyatuan dalam kalangan masyarakat negara ini di samping mencungkil bakat sukan untuk diketengahkan dan membentuk komuniti membudayakan sukan sebagai gaya hidup.

Program anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu bermula seawal jam 7 pagi, berlangsung dalam suasana meriah dengan kehadiran Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin bagi merasmikan program berkenaan.

Antara aktiviti dijalankan sepanjang program itu adalah kayuhan Fit Malaysia membabitkan jarak 10 kilomter (km) dan 30km, larian Fit Malaysia pada jarak 3km dan 5 km, senaman serta cabaran kecergasan seperti senamrobik, zafeena, zumba, ‘body combat’ dan pelbagai aktiviti menarik.

Kemeriahan turut dirasa apabila program itu disertai pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira umur malah ibu bapa turut mengambil kesempatan membawa anak kecil mengikuti larian.

Meskipun perlu menamatkan larian sambil membawa anak mereka di dalam kereta tolak, ia tidak menjadi penghalang kerana yang penting aktiviti itu dapat dilakukan bersama keluarga dan rakan.

Bagi Norazian Abdul Aziz, 47, usia bukan penghalang baginya untuk menyertai aktiviti senaman dan larian Fit Malaysia berikutan dia sudah menyertai hampir 25 larian setakat ini.

Meskipun baru bergiat aktif dalam acara larian sejak 10 bulan lalu, Norazian akan mendaftar sekurang-kurangnya dua larian setiap bulan untuk memastikan staminanya terus konsisten.

“Acara larian ni menarik kerana saya boleh berlari secara berkumpulan dan saling memberi semangat pada rakan lain, pada masa sama dapat mengumpul pingat sebagai kenang-kenangan.

“Program seumpama ini juga bagus kerana ia santai dan pada masa sama dapat berjumpa dan berkenalan dengan rakan baru yang berkongsi minat sama. Secara tidak langsung dapat membantu kita menurunkan berat badan secara sihat.

“Misalnya, saya bersama rakan dalam kumpulan kecergasan Tasvengers banyak memberi dorongan antara satu sama lain dan sentiasa menggalakkan ahlinya bergiat aktif,” katanya.

Menurutnya, hasil senaman dan penjagaan pemakanan yang konsisten ternyata dapat berikannya stamina di luar jangkaan. Malah meskipun bergelar nenek kepada tujuh orang cucu, dia membuktikan umur dan status bukan alasan untuk bergiat cergas.

“Perbezaan paling ketara antaranya jika dulu saya tidak boleh banyak berjalan dan cepat penat, tapi sekarang saya sudah boleh sertai larian sejauh 10km,” katanya yang berkhidmat sebagai kakitangan di syarikat perumahan di Kajang.

Ruang ‘semai’ cinta

Bagi peguam, Amal Farhah Mohd Ali, 44, minatnya terhadap larian tercetus sejak awal tahun ini selepas diajak rakan untuk menyertai larian sejauh 3km.

Lama-kelamaan, dia mula jatuh cinta kerana baginya aktiviti seumpama ini amat menyeronokkan apatah lagi dijayakan bersama keluarga dan rakan.

“Daripada menghabiskan cuti hujung minggu menonton televisyen saja, lebih baik saya bawa anak menyertai larian dan aktiviti sihat yang lain.

“Ia adalah satu galakan untuk kita melakukan aktiviti sosial secara sihat. Apabila dilakukan beramai-ramai selalunya semangat positif bertambah tinggi dan secara langsung makin meningkatkan kesihatan jantung, kecergasan minda dan stamina.

“Jika program ini dapat diteruskan pada masa depan, saya percaya lebih ramai belia khususnya akan mendapat manfaat,” katanya selepas menamatkan larian Fit Malaysia 5km bersama anaknya, Ahmad Faiz Abdul Karim, 13.

Pendapatnya turut disokong rakannya, Dr Farahdela Abdul Rahman, 34, yang mula aktif dalam program larian selepas menyertai kumpulan kecergasan sejak dua tahun lalu.

Dr Farahdela yang juga pegawai perubatan di hospital kerajaan berkata, tahun ini saja dia sudah menyertai empat larian dan akan meneruskannya jika mempunyai kelapangan.

“Meskipun bertugas sebagai pegawai perubatan, saya perlu kekal cergas dan acara ini antara pilihan terbaik kerana dilakukan bersama ramai rakan berbanding melakukannya secara bersendirian.

“Keseronokan inilah yang membuatkan kami menubuhkan kumpulan WhatsApp khas untuk memudahkan anggota mengemas kini aktiviti larian yang akan berlangsung dan memberi galakan antara satu sama lain,” katanya.

Bagi Sharifah Ivy, 39, masalah berat badan yang membelenggu sejak sekian lama menyukarkan dirinya untuk bergiat cergas sehingga banyak aktiviti yang menjadi impiannya termasuk menyertai larian terpaksa dipendam.

Bagaimanapun, katanya, sejak awal tahun lalu dia mula bergiat aktif menurunkan berat badan dan impian menyertai larian menjadi kenyataan selepas berjaya menurunkan berat badan melalui pemakanan sihat dan senaman.

“Ketika berbadan besar, banyak yang tidak dapat saya lakukan. Jadi saya menjadikan acara larian ini sebagai batu loncatan untuk menguruskan badan. Alhamdulillah, saya sudah sertai enam larian setakat ini dan menetapkan sasaran penyertaan sekurang-kurangnya sebulan sekali.

“Saya seorang yang ramah dan suka berkawan, jadi larian beramai-ramai begini lebih menyeronokkan lebih-lebih lagi apabila ramai rakan yang beri dorongan dan sokongan. Bagi saya, berlari bersendirian sangat membosankan,” katanya.

Kenali kemampuan diri

Sementara itu, eksekutif kanan syarikat swasta, Faizzihni Mahadzir, 26, turut tidak melepaskan peluang menyertai larian Fit Malaysia yang menjadi larian ke-40nya setakat ini.

Faizzihni berkata, langkah kerajaan menganjurkan Fit Malaysia adalah sesuatu yang tepat dalam memupuk belia untuk terbabit dalam bidang sukan.

“Sejak 2012 saya sudah mulai sertai larian, tetapi mula serius sejak tahun lalu selepas berat badan meningkat kerana kurang bersenam akibat pembedahan lutut pada 2015.

“Atas kesedaran sendiri kerana berat badan naik saya nekad untuk menyertai lebih banyak acara larian untuk kekalkan stamina dan meningkatkan kecergasan.

“Lagipun, saya berpeluang bergaul dengan orang ramai, menambah kenalan, kekal sihat dan boleh memotivasikan diri untuk menjadi lebih cergas dari usia muda,” katanya.

Bagi Nur E’zzati Mohd Hata, 25, pembabitannya dalam larian selepas didorong rakan dalam kumpulan kecergasan yang disertai walaupun pada awalnya dia tidak yakin akan kemampuan diri menghabiskan larian.

Bagaimanapun katanya, atas galakan rakan yang masing-masing ingin mencuba tahap kemampuan sendiri untuk berlari, semangat menyertai larian mula berputik.

“Saya sudah sertai tiga larian setakat ini dan berharap untuk terus melakukannya pada masa akan datang. Bagi saya, program ini amat bermanfaat untuk saya menguatkan mental dan fizikal selain membuka mata bahawa bukan orang muda saja boleh sertai larian sebaliknya mereka yang sudah berumur pun kerap dilihat dalam acara ini.

“Malah saya lihat golongan kurang upaya yang berkerusi roda juga bersemangat menyertai larian. Kalau mereka boleh, kita juga tentu boleh. Kelajuan larian bukan ukuran tetapi keinginan untuk bersama-sama menjaga kesihatan dan membentuk masyarakat aktif itu lebih utama,” katanya.

Disiarkan pada: August 22, 2017 @ 12:01am
d