hati

Misi besar 6 wanita

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Hampir tersungkur dan bangkit dari sejarah kanser dua kali bukanlah mudah. Pahit maung yang ditelan sepanjang mengutip kekuatan dan keyakinan diri cukup membuktikan betapa wanita ini cekal menghadapi taufan besar dalam hidup.

Bagi Rene’e Aziz Ahmad, 56, dia bertuah dikelilingi orang yang positif dalam lembaran hidupnya. Sokongan rakan dan teman umpama menyuntik kekuatan besar untuk melepasi kelemahan diri.

Hari ini, Rene’e membuktikan dia bukan saja bangkit dari kanser, malah berusaha bangkit ‘memaku’ nama Malaysia bersama lima pendaki wanita negara di puncak tertinggi Eropah, Gunung Elbrus, Russia.

Cabaran pendakian Misi Kembara Srikandi Prihatin Negaraku (KSPN) itu dianjurkan hasil kerjasama Persatuan Kembara Negara dan Kembara Srikandi Prihatin (KSP) serta disemarakkan Sekretariat Negaraku, Pejabat Perdana Menteri.

Bercerita lanjut, Rene’e mengakui dia mula berjinak-jinak dalam aktiviti pendakian pada 2000 apabila dipelawa rakan menyertai ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu. Namun kerana tidak mendapat latihan mencukupi, wanita ini berasakan aktiviti lasak itu terlalu sukar untuk djadikan sebahagian daripada hobi.

“Ketika itu usia saya baru 39 tahun, tetapi saya melihat pendakian bukan aktiviti yang boleh diberikan fokus kerana terlalu berat. Bagaimanapun, dengan kuasa Tuhan, saya diuji dengan berita yang maha berat untuk diterima.

“Pada 2001, saya didiagnos kanser sehingga terpaksa melalui pembedahan membuang payudara kiri, menjalani lapan kemoterapi dan 25 radioterapi dalam tempoh sembilan bulan. Apabila semua rawatan selesai, tubuh saya hilang kecergasan dan berat naik mendadak sehingga 20 kilogram!

“Dalam situasi itu, saya berusaha melakukan pelbagai senaman untuk mengembalikan keyakinan diri, tetapi tidak berhasil,” katanya.

Sekitar pertengahan 2002, Rene’e dipelawa rakannya sekali lagi menyertai misi panjat gunung. Kali ini, lokasi yang dipilih cukup mencabar iaitu gunung di timur laut Tanzania, Kilimanjaro.

“Kilimanjaro adalah gunung tertinggi di Afrika. Ia mencapai ketinggian 5,895 meter (m) atau 19,341 kaki dari paras laut. Dari situ, saya mula menukar sasaran untuk cergas kepada menawan puncak tertinggi benua Afrika. Saya menukar strategi dan mengambil khidmat jurulatih peribadi untuk lebih fokus.

“Sepanjang 2003, saya hanya memikirkan misi menawan Kilimanjaro. Sekalipun sibuk dengan tugas di pejabat, kali ini saya nekad membuat persediaan rapi. Dua kali saya bersama pasukan naik ke puncak Kinabalu pada 2004. Syukur kepada Tuhan, pada Januari 2005, kami berjaya tiba di kemuncak yang dicita-citakan,” katanya.

Selepas kejayaan itu, Rene’e mengakui melalui perubahan besar dalam hidupnya. Dia akhirnya berjaya mengembalikan keyakinan diri dan semakin nekad melawan kanser yang dihidapi. Malah, pulang saja ke Malaysia, dia menjadi perhatian media dan banyak pihak. Wanita ini sedar dirinya semakin kuat apabila dapat berkongsi pengalaman bertarung dengan kanser.

“Saya berusaha menyedarkan lebih ramai wanita mengenai barah payudara dan kepentingan pengesanan awal kanser. Saya mahu lebih ramai wanita bangkit dan berani berdepan kanser. Biar mereka ini sedar sekalipun barah mencipta pengalaman menakutkan, namun ia bukanlah penamat dan sebab terbaik untuk kita berputus asa dengan hidup,” katanya.

Jelas Rene’e, selepas bangkit, dia juga pernah gagal dalam misi mendaki, tetapi mengambil pengalaman itu sebagai iktibar untuk memperbaiki diri pada masa depan.

“Pada 2007, saya dan rakan bergabung pula dengan Yayasan PRIDE (kini menukar namanya kepada Breast Cancer Foundation) dan kembali berekspedisi. Sebelum itu, saya dilamar pihak yayasan ini untuk menjadi model mereka dan menyertai pertunjukan fesyen. Idea itu ditimbulkan isteri Perdana Menteri Malaysia kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi iaitu Allahyarhamah Tun Endon Mahmood bersama pengerusi yayasan, Datuk Azrene Abdullah.

“Saya akhirnya bersetuju dan berkenalan pula dengan beberapa individu dalam yayasan yang membawa cadangan mendaki gunung lebih tinggi iaitu Aconcagua di Argentina. Ia adalah gunung tertinggi di benua Amerika yang mencapai ketinggian 6,962m.

“Sekalipun pendakian ini tidak sampai ke kemuncak, pasukan ekspedisi berjaya merakam dokumentari khas sekali gus menyebar kesedaran umum mengenai kanser payudara,” katanya yang aktif mendaki gunung di Malaysia dan luar negara.

Rabu lalu, selepas pelbagai persediaan bersama lima pendaki wanita, Rene’e berlepas ke Russia untuk menjayakan misi menakluk Gunung Elbrus dan mengibarkan Jalur Gemilang di puncak berkenaan pada 31 Ogos ini (Khamis).

Puncak tertinggi Eropah itu antara tujuh puncak tertinggi di tujuh benua yang sememangnya menjadi idaman ramai pendaki. Selepas kejayaan lima anak muda daripada Kelab Jelajah Alpine Malaysia (KJAM) mengibarkan Jalur Gemilang di puncak itu minggu lalu, KSP dijangka mengikut jejak langkah serupa minggu ini.

Uniknya, KSP membawa nama wanita dan misi itu hanya membabitkan pendaki serta kru wanita. Ia terpahat sebagai salah satu Program Negaraku sempena kemerdekaan negara ke-60 dan meraikan sambutan Hari Wanita Kebangsaan.

Memperkasa wanita

Berkongsi cerita inspirasi dengan dengan Pengarah Program KSP, Ummu Farah Haidar Zulkifli atau mesra dengan panggilan Umairah, wanita ini juga bukan calang-calang orang. Profil pendakian anak muda kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini cukup mengagumkan.

Pada usia 30 tahun, Penolong Penyelidik Siswazah di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya ini sudah mendaki lebih 30 gunung dan puncak tertinggi di dalam serta luar negara. Antaranya termasuk Everest Base Camp, Gunung Kerinci, Merbabu, Merapi, Ledang, Angsi, Yong Yap dan Berembun.

“Bagaimanapun, ekspedisi kali ini jauh berbeza kerana kami membawa misi besar iaitu menggalakkan gaya hidup sihat dengan aktiviti lasak. Kami juga berdepan cabaran besar apabila turut membawa bekas pesakit kanser dan ibu tunggal yang tidak mempunyai pengalaman mendaki.

“Namun kami tetap optimis dapat menawan puncak Elbrus pada 31 Ogos ini selepas setahun menjalani latihan secara intensif,” katanya.

Selain cabaran memimpin ahli pasukan, Umairah mengakui faktor cuaca dan tahap persediaan mental menjadi pengukur untuk tiba ke puncak. Katanya, persediaan fizikal adalah untuk stamina diri, namun kekuatan mental paling utama untuk kekal bersemangat sehingga ke puncak tertinggi Eropah itu.

“Kami sedia maklum cabaran di Elbrus adalah altitud pada aras melebihi 3,000 kaki. Pada situasi ini, tidak semua orang mampu menyesuaikan diri dengan kondisi tubuh. Ada kemungkinan suhu di atas mencecah -40 darjah Celsius dan keadaan angin kuat.

“Jadi, selain persediaan mental dan fizikal, kami juga dapatkan nasihat daripada Persatuan Kembara Negara (KEMBARA). Mereka di persatuan ini adalah bekas pendaki Gunung Everest 2007-2011.

“Menurut pengalaman saya sendiri, untuk mencapai kemampuan dan tenaga sama rata (ahli misi) sepanjang di Elbrus nanti adalah mustahil. Jadi, kita buat pemeriksaan kesihatan dan merangka satu perjalanan khusus untuk setiap pendaki. Paling utama, kami juga menitikberatkan persediaan dari segi rohani. Jika ada kesempatan, kami bukan setakat mahu memacak bendera, tetapi turut menyanyikan lagu Negaraku di puncak.

“Itu pun masih bergantung kepada kemampuan setiap ahli misi untuk tiba (ke puncak). Kami faham ada kemungkinan setiap ahli tiba pada waktu berbeza, namun kami mencuba sebaik mungkin untuk sentiasa bergerak dan tiba dalam pasukan pada tempoh waktu yang dijangkakan,” katanya.

Jelas Umairah, misi mendaki Elbrus hanyalah ekspedisi fizikal. Perkara paling utama adalah memupuk semangat patriotik dan kerjasama dalam pasukan. Katanya, tanpa bantuan sesama ahli, misi itu sukar hendak dilaksanakan.

“Alhamdulillah, dalam tempoh setahun berlatih ini kami membina hubungan erat sesama ahli, tidak mengira latar belakang atau umur. Kami mengharapkan doa dan sokongan seluruh rakyat Malaysia. Semoga misi ini mencipta kejayaan besar dan kami semua selamat pergi dan pulang ke tanah air,” katanya.

Selain Rene’e dan Umairah, Misi Kembara Srikandi Prihatin turut disertai tiga ahli KEMBARA iaitu Fazilah Abdul Manan, 41; Nurul Huda Shamsuddin, 31 dan Nir Azmin Adnan; wartawan Harian Metro, Fairul Asmaini Mohd Pilus, 35.

Pasukan KSP dijadual ke Russia melalui Bangkok, Thailand. Dari Moscow, mereka mengambil penerbangan domestik ke Mineralnye Vody sebelum menuju ke Terskol Village.

“Kami menjalani empat fasa latihan penyesuaian diri terhadap altitud tinggi bermula 26 Ogos pada ketinggian 2,125m sehingga 4,700m.

“Jika tiada aral, pendakian ke puncak Gunung Elbrus dari Barrels Hut dijadualkan akan bermula jam 3.30 pagi (waktu Rusia) pada 31 Ogos dengan anggaran masa antara enam hingga sembilan jam bergantung kepada keadaan semasa cuaca serta keadaan pendaki,” katanya.

Disiarkan pada: August 29, 2017 @ 3:41pm
d