hati

Kenangan terindah 'haji kecil'

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Merasai pengalaman menunaikan haji ketika masih kanak-kanak, itulah pendedahan awal dilalui oleh si kecil bertuah di seluruh negara setiap kali menjelang musim haji.

Program Simulasi Haji Cilik adalah satu langkah bijak, menarik dan kreatif yang diadakan dalam memberi pendedahan awal secara praktikal kepada kanak-kanak berkaitan rukun Islam kelima itu.

Antaranya, ‘jemaah kecil’ dari Tadika Ummi Sabrizah, Setapak, baru-baru ini yang tidak ketinggalan mengikuti program Simulasi Haji Cilik 2017 di tadika berkenaan.

Program yang dianjurkan buat pertama kali oleh tadika itu memberi pendedahan sebenar suasana sebelum dan ketika menunaikan rukun Islam kelima bagi memberi pengetahuan serta latihan praktikal kepada kanak-kanak.

Replika Kaabah juga turut disediakan bagi menambahkan kefahaman peserta cilik. Pengalaman sepanjang program ini pasti meninggalkan kenangan terindah kepada kanak-kanak itu di samping perkongsian ilmu yang menarik.

Pengusahanya Liyana Abdul Samad berpendapat, Program Simulasi Haji Cilik memberi pendedahan dan praktikal kepada ‘jemaah kecil’ memahami serta menghayati ibadat haji, di samping memahami pengajaran di sebaliknya.

Katanya, semua jemaah cilik yang mengikuti program unik itu dilihat bersungguh-sungguh menyelesaikan ibadat haji dengan dibantu guru pembimbing.

“Meskipun program dibuat dalam skala kecil di peringkat tadika ini saja membabitkan kira-kira 32 murid, saya bersama tiga lagi guru membuat persediaan lengkap daripada membina replika Kaabah, pakaian ihram, tempat wukuf, mengutip batu dan melontar jamrah, Bukit Safa dan Marwah serta kawasan bertahalul.

“Mereka didedahkan keadaan sebenar iaitu sebelum dan semasa mengerjakan haji bagi memastikan kanak-kanak ini memahami mengenai konsep sebenar rukun Islam kelima itu.

“Jika sebelum ini kebanyakan kanak-kanak menghantar ahli keluarga mereka seperti datuk, nenek mahupun saudara-mara ke Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya, namun hakikatnya tidak ramai yang mengetahui tujuan dan cara sebenar mengerjakan haji,” katanya.

Menurut Liyana, program itu juga antara latihan praktikal yang amat berguna kepada kanak-kanak kerana mereka pastinya akan mengingati setiap latihan yang diajar dan pernah dilakukan.

Katanya, pada peringkat umur lima ke enam tahun, kanak-kanak melalui proses perkembangan minda dan suka bertanya. Maka program seumpama ini sebenarnya dapat menjawab persoalan mereka mengenai tujuan ibadat ini dilaksanakan.

“Contohnya, ketika melakukan tawaf mengelilingi Kaabah, masing-masing akan bertanya kenapa kena berbuat demikian. Jadi, apabila guru terangkan, barulah mereka faham.

“Selalunya mereka lihat di televisyen bagaimana tawaf dilakukan tapi tidak tahu apakah ia. Mungkin ada yang bertanya ibu bapa, tapi mungkin sukar sedikit untuk menjelaskan dan membuat mereka faham.

“Jadi, program seumpama ini lebih baik kerana mereka dapat faham melalui praktikal dan lebih mudah mengingat rukunnya. Dapat saya lihat betapa gembiranya mereka dapat merasai pengalaman ini yang mungkin pada zaman kebanyakan kita kecil dulu tak berpeluang merasainya,” katanya.

Liyana berkata, memandangkan sambutan yang diterima amat menggalakkan, pihak tadika itu bercadang meneruskannya sebagai acara tahunan malah semua ibu bapa turut menyokong dan mengharapkan program dengan pendekatan seperti ini diperluaskan.

Murid, Asyraff Haqymy Hasan Hasanuddin, 6, melahirkan rasa teruja berpeluang mengutip pengalaman menjadi jemaah haji dengan bantuan guru pembimbing malah berterima kasih kepada guru kerana bertungkus-lumus membuat persiapan untuknya dan rakan.

Katanya, jika dulu dia sering tertanya-tanya kenapa ibadat ini dilakukan, dia kini lebih memahami tujuan dan cara melakukannya.

“Kami berpeluang berlatih di tadika sehari sebelum program sebagai persediaan dan pada mulanya saya memang keliru. Namun, guru banyak membantu dan begitu sabar melayan kerenah kami.

“Hari ini, semuanya berjalan lancar dan teratur mengikut apa yang dirancangkan. Ini adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan sampai bila-bila,” katanya.

Bagi Mia Maisarah Zahari, 8, dia teruja menyertai program itu kerana dapat merasai sendiri suasana ibadat haji.

Katanya, apabila berpeluang berkumpul dengan murid lain, dia gembira dapat tawaf mengelilingi Kaabah, wukuf, mengutip batu dan melontar jamrah, sa’i Bukit Safa dan Marwah serta kawasan bertahalul seperti ibadat sebenar.

“Seronok kami bertelekung, melaungkan bacaan dalam rukun haji seperti berada di Tanah Suci. Saya berdoa supaya dijemput menunaikan haji bersama keluarga suatu hari nanti,” katanya.

Berbeza bagi murid, Adi Amsyar Sazali, 6, dia begitu teruja dipakaikan ihram dan terasa seperti berada di Tanah Suci bersama jemaah haji seluruh dunia.

“Kami diajar mengenai haji, mengikuti pembelajaran teori dan praktikal sementara guru pula memperbetulkan kesilapan supaya mengikut rukun secara turutan.

“Tahun lalu, saya berkesempatan menghantar datuk dan nenek ke Kompleks Tabung Haji sebelum berlepas ke Tanah Suci, tapi saya tidak faham tujuan mereka ke sana.

“Jadi, peluang melakukan simulasi ini dapat memberi gambaran sebenar ibadat yang datuk, nenek dan umat Islam seluruh dunia lakukan,” katanya.

Disiarkan pada: August 30, 2017 @ 12:00am
d