hati

Rona bendera tonjol kecomelan si kecil

Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Pelbagai cara dilakukan bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan. Di sebalik keghairahan merasai nikmat merdeka, jangan dilupa mengenai adab sambutan.

Di sekolah sama ada tadika atau sekolah kebangsaan, pastinya kemeriahan sambutannya dapat disaksikan dengan pelbagai jenis rekaan pakaian ataupun aksesori digayakan si kecil.

Ibu adalah antara orang yang bertanggungjawab dan bertungkus-lumus menyediakan pakaian untuk anak agar tidak ketinggalan dalam memperagakan rekaan jahitan mereka.

Ketika ini, dapat dilihat pelbagai idea menarik dengan padanan warna-warni merah, biru, putih dan kuning yang melambangkan rona bendera Malaysia mewarnai pakaian mereka sekali gus menonjolkan kecomelan gaya masing-masing.

Tidak mahu ketinggalan

Pemilik butik jahitan, Norhidayah Azemi, 31, turut tidak mahu ketinggalan menunjukkan idea menarik pakaian untuk digayakan anak sulungnya ketika sambutan Hari Kebangsaan di sekolahnya.

“Saya mula menjahit baju anak sempena Hari Kebangsaan sejak 2015. Kebetulan, saya begitu berminat menjahit baju fesyen kanak-kanak yang bertema.

“Ketika itu, saya menjahit baju gaun malam yang menggabungkan gaya tradisional dan moden iaitu peplum. Bukan saja anak, malah saya turut menjahit pakaian sempena Hari Kebangsaan untuk rakan sekelasnya.

“Selain seronok dan puas apabila berjaya menghasilkan pakaian berkenaan, ia juga mampu menyuntik perasaan dan semangat patriotik dalam diri sendiri.

“Ia juga sebagai salah satu cara mendidik anak mengenai erti kemerdekaan dan pastinya saya ambil kesempatan untuk menerangkan kepada mereka mengapa ia perlu disambut.,” katanya.

Jelasnya, gaun malam yang dijahit dan kali pertama dihasilkan untuk anaknya, Nur Nadilah Irdina Azmi, 8, itu untuk Pertandingan Pakaian Beragam Kemerdekaan Sekolah yang menggunakan fabrik campuran seperti kain net dan satin pusam.

Sebaiknya, dia akan mengelak menggunakan bendera dalam pembuatan baju walaupun ia bertemakan bendera Malaysia kerana Jalur Gemilang memiliki keistimewaannya yang tersendiri dan perlu dihormati.

Namun, jika tidak boleh dielakkan, pastikan simbol bulan dan bintang yang melambangkan sistem beraja negara harus diletakkan di paras dada, simboliknya kita mendukung sistem beraja.

Disebabkan kepakaran dan kemahirannya menjahit, Norhidayah hanya ambil masa tiga hingga empat jam untuk menyiapkan pakaian anak sulungnya itu.

Baju yang dijahit pada 2015 untuk Nur Nadilah Irdina itu dijadikan pameran di butik jahitannya dan ada juga pelanggan yang berniat menyewa pakaian berkenaan.

Terkini, baju sempena Hari Kemerdekaan mula dijahit bermula awal September depan dan pastinya ia juga memberikan seribu makna berbeza selain meninggalkan nostalgia istimewa kepada dirinya sendiri dan juga anak sulungnya itu.

Disiarkan pada: August 30, 2017 @ 8:01am
d