hati

'Inilah kisahku'

Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Ayah Evelyn (bukan nama sebenar) meninggal dunia akibat serangan jantung manakala ibunya menghidap penyakit yang membawa maut dan tidak punya cara untuk menjaganya.

Dia diambil sebagai anak angkat oleh seorang ibu tunggal dan yang menyedihkan, Evelyn didera secara fizikal, emosi, seksual dan mental. Setiap hari dia dipukul dan ketika usianya 15 tahun, Evelyn dihalau dari rumah selain berhenti sekolah untuk mencari pekerjaan di pasar raya terdekat.

Penderitaan yang ditanggung itu membuatkan dia sering kali ingin membunuh diri. Dia kemudian diperkenalkan kepada NGO yang banyak mengajarnya mengenai cara memimpin, berkomunikasi, menyayangi dan mengambil berat.

“Mereka banyak mengajar saya mengenai makna sebenar menyayangi dan disayangi. Mereka dapat melihat perkembangan saya dan sentiasa menyokong untuk mencapai impian,” kata Evelyn.

Itu antara kisah yang dikongsi Evelyn dengan penonton ketika konsert ‘The Theatre of Dreams’. Konsert itu dianjurkan untuk membantu kanak-kanak terpinggir dan berisiko mencapai kejayaan dalam kehidupan mereka.

Berlangsung selama dua hari, konsert itu menyaksikan penggunaan sepenuhnya KuAsh Theatre di Taman Tun Dr Ismail. Seramai 25 ‘penghibur’ merealisasikan impian masing-masing dengan membuat persembahan kali pertama secara langsung di depan penonton yang turut dihadiri Datin Paduka Marina Mahathir.

Acara konsert itu inisiatif daripada badan bukan kerajaan (NGO), Agape Vision yang memberi perhatian dalam memperkasakan belia terpinggir dan berisiko dengan semangat keakraban, menerapkan keyakinan, sikap berdikari serta altruisme.

Pengasas Agape Vision, Gillian Chong berkata, konsert itu hasil kerja keras peserta yang menyertai bengkel selama tiga bulan.

“Kami dapat lihat mereka lebih jelas dengan impian masing-masing dan bertambah yakin. Pemimpin belia berkongsi cerita mereka dengan berani dan lebih penting masing-masing berusaha menuju ke arah matlamat yang diimpikan,” katanya.

Pada malam pembukaan konsert, penonton disajikan perarakan fesyen yang menghiburkan dengan dendangan lagu rancak, Jai Ho diikuti dengan skit (lakonan pendek yang lucu) dan ‘stand up comedy’ (aksi lawak secara langsung).

Ada juga sesi perkongsian kehidupan sebenar Ben dan Florence (bukan nama sebenar) selain persembahan khas nyanyian daripada Gana dengan kehebatan ‘beat-box’.

Selain konsert, Agape Vision turut menganjurkan program kepemimpinan dan pemerkasaan, Nomad Adventure untuk kanak-kanak terpinggir berkenaan.

Disiarkan pada: September 5, 2017 @ 8:48am
d