hati

Buka minda untuk berniaga

Oleh HM Digital

Wanita turut menjadi penyumbang besar dalam ekonomi negara. Dalam kehidupan dan keadaan ekonomi serba mencabar ini, wanita juga perlu memajukan diri dan memperkasakan tahap ekonomi menjadi lebih baik bagi membantu meringankan beban suami atau diri sendiri sebagai ketua keluarga.

Bagaimanapun, ilmu dan kemahiran diperlukan bagi memperkasakan diri serta ekonomi keluarga. Justeru, pelbagai inisiatif diwujudkan oleh kerajaan, swasta ataupun badan

bukan kerajaan (NGO) dengan menganjurkan program latihan untuk wanita.

Terbaru, program Dewi diperkenalkan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk golongan ini.

Menurut Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Mohamad Sani Abdul Rahman, diperkenalkan tahun ini, DEWI adalah program yang diwujudkan untuk memperkasakan ekonomi wanita.

“Ia berasal daripada Program Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal (IKIT) dan Program Keusahawanan Wanita (IKEUNITA) yang dilaksanakan sejak 2008 di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan, bertujuan membantu meningkatkan potensi wanita untuk berdikari memperbaiki ekonomi selepas memperoleh kemahiran melalui latihan yang dijalankan di setiap Pejabat Pembangunan Wanita Negeri (PPWN).

“Kedua-dua program ini berupaya membuka minda ibu tunggal dan wanita dengan memberi keutamaan kepada individu berpendapatan rendah bagi membantu meningkatkan keyakinan diri serta memberi motivasi untuk memajukan diri,” katanya.

PERKASA EKONOMI WANITA

Pada 2017, Program IKIt IKEUNITA dirombak, ditambah baik dan dikenali dengan nama DEWI yang mempunyai tujuan serta pengkhususan tersendiri.

Ia diwujudkan bagi menyediakan latihan kepada peserta dalam bidang kemahiran yang boleh dikomersialkan, selain meningkatkan potensi diri untuk berdikari dari segi kewangan.

Selepas itu, peserta akan dipantau secara berkesan. Program berkenaan juga mampu mewujudkan satu kumpulan usahawan yang bekerjasama untuk memajukan satu perusahaan khusus.

“Setiap PPWN mempunyai bidang keutamaan tersendiri. Bagi PPWN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, bidang spa bergerak dipilih sebagai program ikonik.

“Sehingga kini, sebanyak dua kursus dijalankan pada tahun ini iaitu Kursus Mobile Spa - Malaysia Signature Massage (MSM) dan Kursus Rawatan Bekam.

“Kedua-dua kursus ini berjalan serentak pada 10 hingga 13 Julai 2017 dan membabitkan seramai 35 peserta,” katanya.

Menurutnya, sebelum dipilih menyertai kursus berkenaan, wanita yang berminat menyertainya perlu menjalani temu duga bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar ingin melakukan transformasi ekonomi saja terpilih.

Lebih 130 orang sudahpun menghadiri temu duga yang dijalankan beberapa minggu sebelum kursus bermula dan hanya 25 orang peserta saja yang dipilih.

Kursus MSM dijalankan dengan kerjasama Akademi Spa Jarimas yang terletak di Setapak, Kuala Lumpur. Ia membabitkan 19 peserta dari sekitar Lembah Klang dan mempunyai asas dalam bidang urutan.

MSM adalah teknik urutan baru yang diperkenalkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan sebagai satu produk pelancongan di Malaysia.

Selain mempelajari teknik urutan MSM, peserta juga diajar mengenai rawatan wajah dan badan. Kursus Rawatan Bekam pula dijalankan dengan kerjasama Yoyoy Kamphora Academy & Spa dan latihan diadakan di UTC Pudu Sentral, Kuala Lumpur yang membabitkan 16 wanita dari sekitar Lembah Klang.

“Sepanjang latihan diadakan, peserta didedahkan dengan latihan praktikal bagi membolehkan mereka tidak kekok ketika mengendalikan peralatan bekam.

“Pada masa sama, peserta juga ditekankan dengan amalan kebersihan dan langkah penjagaan memandangkan mereka akan terbabit secara langsung dengan darah manusia sepanjang masa.

“Justeru, setiap peserta dibekalkan dengan peralatan khas seperti sarung tangan dan penutup mulut serta hidung. Selain itu, mereka juga diberikan pendedahan mengenai teknik pemasaran yang berkesan bagi mempromosikan perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya.

Menariknya, kedua-dua kursus yang ditawarkan memberi manfaat kepada peserta kerana mereka juga dibekalkan dengan peralatan yang boleh digunakan untuk perniagaan.

Selepas menjalani kursus, mereka boleh memulakan operasi spa bergerak dan rawatan bekam. Melalui teknik pemasaran digital yang diterapkan kepada mereka pada hari terakhir kursus, peserta akan diajar mengenai cara untuk mempromosikan perkhidmatan yang ditawarkan dengan kos efektif melalui media sosial dan juga senarai perhubungan sedia ada.

Selain aspek latihan, peserta juga akan dipantau secara bulanan oleh penyedia latihan dari segi peningkatan pendapatan bagi memastikan objektif program tercapai dalam meningkatkan ekonomi selepas latihan.

Tenaga pengajar juga akan bertemu semula dengan semua peserta setiap dua bulan untuk sesi bimbingan, seterusnya mengikuti perkembangan mereka serta mengetahui masalah yang timbul ketika menyediakan perkhidmatan yang ditawarkan.

Setiap peserta diberikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang memerlukan mereka mencari sekurang-kurangnya 20 pelanggan dalam tempoh sebulan.

Penilaian prestasi akan dibuat oleh tenaga pengajar dan sekiranya didapati gagal menunjukkan perkembangan positif, mereka akan diberi bimbingan tambahan.

Pemantauan ini akan dijalankan selama enam bulan oleh penyedia latihan dan kemudiannya diletakkan secara langsung di bawah PPWN yang turut membantu peserta dalam meningkatkan lagi kemahiran pada masa akan datang.

PPWN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya akan menganjurkan satu lagi siri Program DEWI dalam masa terdekat. Wanita berumur 18 tahun ke atas yang berminat menceburi bidang spa bergerak boleh mendapatkan maklumat pengumumannya di laman www.facebook.com/JPWanitaKL.

TAMBAH PENGETAHUAN

Ahli terapi bebas, Nor Fazlin Abdul Aziz, 33, antara peserta yang mula menyertai program berkenaan pada Julai lalu untuk menambah pengetahuan dalam bidang urutan.

“Saya mendapat tahu mengenai program ini daripada laman sosial Facebook JPW dan berhasrat menyertainya, tidak disangka diterima untuk menyertainya.

“Dalam program berkenaan saya belajar teknik urutan yang baru diperkenalkan di Malaysia iaitu Malaysia Signature Massage. Ia adalah teknik revolusi hasil gabungan urutan tradisional Melayu, refleksologi Cina, ayurveda India dan urutan kaki peribumi.

“Sebelum ini saya menceburi bidang urutan berpantang. Namun, selepas menyertai program ini saya dapat luaskan pengetahuan dalam ilmu urutan berlainan,” katanya.

Justeru, dia sangat berharap wanita terutamanya berusia muda yang berminat dalam bidang ini untuk mengikuti program berkenaan, sekurang-kurangnya ia dapat membantu menjana pendapatan.

Sementara itu, Siti Hazariah Abdullah, 31, sebelum ini mengusahakan spa bergerak yang memberi tumpuan kepada rawatan muka saja.

Selepas menyertai program berkenaan pada 10 Julai lalu, dia tidak teragak-agak untuk mengikuti aktiviti yang dijalankan hingga sekarang kerana ia memberi pelbagai ilmu berguna dalam kerjayanya.

“Saya bersyukur kerana terpilih bersama 20 peserta yang mendaftar untuk mempelajari cara urutan MSM. Program ini menambah pengetahuan saya mengenai skrub badan, mandian rempah dan teknik campuran minyak pati.

“Malah, saya berpeluang mendalami ilmu refleksologi, rawatan muka, urutan tubuh dan sebagainya yang membantu menambah kemahiran dimiliki sebelum ini.

“Melalui program ini, ia menaik taraf diri menjadi ahli terapi profesional untuk menjalankan perniagaan yang menawarkan perkhidmatan spa bergerak dari rumah ke rumah,” katanya.

Di samping itu, dengan pengetahuan dan kemahiran yang ditimba itu juga membantu meningkatkan mutu perkhidmatan yang ditawarkan.

Ia juga membantu dirinya untuk menghasilkan minyak pati sendiri, sekali gus memberi bermanfaat kepada pelanggannya untuk tampil cantik dan sihat tanpa bersusah payah keluar dari rumah.

Pada masa sama, menerusi ilmu yang diperoleh juga menambah keyakinan dan berazam untuk membuka lebih banyak cawangan spa bergerak ke seluruh negara.

“Bagi saya program ini membantu wanita terutama ibu tunggal untuk memantapkan diri dan perkhidmatan sebagai usahawan kecantikan serta melebarkan sayap jenama mereka menjadi lebih profesional.

“Siapa tahu, ia juga membantu mencapai impian golongan wanita untuk membuka spa sendiri tanpa mengeluarkan modal yang tinggi. Justeru, perkataan ‘tidak pandai’ bukan alasan kerana selagi ada kemahuan di situ ada jalan.

“Masa bukan penghalang untuk kita berjaya. Melalui program ini, ia mampu melahirkan lebih ramai usahawan wanita untuk menceburi bidang kecantikan dan berjaya,” katanya.

Disiarkan pada: September 5, 2017 @ 9:21am
d