hati

Langkah si kecil

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Detik si kecil anda berjaya berjalan sendiri antara saat paling bermakna dalam kehidupan anda. Belajar berjalan dianggap langkah terbesar ke arah berdikari dan ia antara perkembangan paling penting dalam hidup setiap bayi menuju ke alam kanak-kanak.

Apabila dia beralih daripada berdiri sambil berpegang pada objek sebelum berjalan terhuyung-hayang menuju tangan anda, hinggalah berlari dan melompat dengan penuh keyakinan, bermakna dia sudah meninggalkan zaman bayinya.

Pada tahun pertamanya, koordinasi dan kekuatan otot badan bayi akan beransur-ansur menjadi lebih baik. Dia belajar duduk, meniarap dan merangkak sebelum boleh menarik dirinya naik dan berdiri pada sekitar usia lapan bulan.

Bermula dari situ, dia hanya memerlukan keyakinan dan keseimbangan. Kebanyakan bayi membuat langkah pertama mereka antara usia sembilan hingga 12 bulan dan pandai berjalan apabila mereka berusia 14 atau 15 bulan.

Jangan risau jika anak anda mengambil masa lebih lama kerana ramai bayi yang normal juga tidak berjalan sehingga mereka berusia 16 atau 17 bulan.

Dalam beberapa bulan pertama, apabila anda mengangkat bayi dengan memegang bawah ketiaknya, dia akan menendang mana-mana permukaan yang disentuh kakinya, hampir kelihatan seperti berjalan.

Tetapi ini cuma tindak balas kerana kakinya tidak cukup kuat untuk menampung berat badannya, namun tindak balas ini hilang selepas dua bulan.

Apabila bayi berusia lima bulan, jika anda memegangnya dengan kakinya tersentuh paha anda, dia terenjut-enjut turun naik.

Mengenjut-enjut akan menjadi aktiviti kegemarannya untuk beberapa bulan yang akan datang. Otot kaki bayi akan terus berkembang sewaktu dia belajar meniarap, duduk dan merangkak.

PERANAN IBU BAPA

Peranan ibu bapa atau penjaga ketika itu adalah:

Semasa bayi belajar berdiri, dia mungkin memerlukan sedikit bantuan untuk belajar cara kembali duduk.

Jika dia tersangkut dan memanggil anda, jangan mengangkat dan mendudukkannya saja. Sebaliknya, tunjukkan cara membengkokkan lututnya supaya dia boleh duduk tanpa terjatuh dan biarkan dia mencubanya sendiri.

Anda boleh menggalakkan bayi berjalan dengan berdiri atau berlutut di depannya sambil menghulurkan tangan, dengan memegang kedua-dua tangannya dan membantunya bergerak ke arah anda atau menggunakan mainan yang boleh dipegang dan ditolak supaya berjalan (dapatkan mainan yang stabil dan bertapak sokongan luas).

Oleh kerana kerusi beroda kecil bayi terlalu mudah digerakkan, ia menghalang otot paha anak anda berkembang dengan betul menyebabkan sesetengah pakar tidak menggalakkan penggunaannya. Selain itu, ia juga ringan dan boleh membahayakan bayi anda.

Anda juga boleh menangguhkan memakaikan kasut sehingga bayi anda sudah biasa berjalan di luar rumah atau atas permukaan yang kasar dan sejuk kerana berkaki ayam menolong memperbaiki keseimbangan dan koordinasinya.

Seperti biasa, pastikan bayi anda ada persekitaran yang lembut dan selamat untuk memupuk kemahiran barunya. Ikuti garis panduan biasa yang menjadikan rumah selamat untuk kanak-kanak dan jangan biarkan bayi anda tanpa pengawasan terutama jika dia terjatuh atau memerlukan pertolongan anda.

Sesetengah kanak-kanak normal tidak berjalan sehingga mereka mencapai usia 16 atau 17 bulan. Perkara penting ialah kemajuan kemahirannya dan jika bayi anda lambat meniarap dan merangkak, kemungkinan dia juga lambat berjalan.

Bagaimanapun, selagi dia masih belajar kemahiran baru, anda tidak perlu terlalu bimbang. Perkembangan setiap bayi berbeza, ada yang lebih cepat berbanding yang lain.

Jika bayi anda kelihatan jauh ketinggalan, berbincang dengan doktor atau pakar kanak-kanak. Ingatlah, bayi pramatang mungkin mencapai tahap ini serta tahap yang lain lebih lambat berbanding bayi lain.

Disiarkan pada: September 6, 2017 @ 11:50am
d