hati

Pilihan pereka fesyen

Oleh HM Digital

Tutu dulunya dikenali sebagai skirt pendek dan keras yang dipakai penari balet wanita agar kelihatan sentiasa menarik ketika menari.

Namun kini ramai pereka fesyen yang menjadikan gaun tutu dipakai secara harian untuk wanita dan kanak-kanak kerana ia mampu menonjolkan gaya comel serta unik si pemakai.

Tidak mahu ketinggalan dalam mengetengahkan tarikan tutu, pengasas Mama’s Crochet House, Mastila Ezny Kamarudin yang berpengalaman dalam dunia membuat kraf mengait berasaskan benang lebih dari 10 tahun juga mempunyai idea rekaannya yang tersendiri.

“Bahagian atas atau top gaun tutu dikait menggunakan benang berkualiti tinggi jenis ‘milk cotton’ yang sesuai untuk kulit bayi dan cuaca di sini.

“Justeru, ia lebih selesa dipakai dan tidak panas. Malah, pelanggan juga boleh membuat tempahan berdasarkan corak, warna dan saiz digemari,” katanya yang turut menerima tempahan dari luar negara seperti Arab Saudi, Turki, Dubai, Amerika Syarikat dan India selain Malaysia.

Ini kerana benang yang digunakan untuk mengait bahagian atas baju juga sesuai dipakai di negara berkenaan. Bahagian bawah gaun pula diperbuat daripada kain tulle atau fabrik jarang yang memiliki ciri ringan.

Kebiasaannya, kain tulle banyak digunakan untuk membuat kostum penari balet, gaun pengantin atau pakaian istimewa sempena sambutan hari jadi.

Sifatnya yang agak keras itu memberi kesan gaun yang kembang dan menarik untuk digayakan ke majlis istimewa.

“Ia juga mudah dijaga dan dibersihkan dengan tangan atau menggunakan mesin dengan air sejuk dan bukan panas. Suhu air yang panas boleh merosakkan struktur kain. Jika bahagian hujung atau tepi kain tulle agak kasar dan keras, ia boleh dilembutkan sedikit dengan sapuan losen agar selesa digayakan,” katanya. - Hajahfarhana Tarmudi

Disiarkan pada: September 6, 2017 @ 12:01pm
d