hati

Air mata bangga

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Seminggu sudah berlalu, namun cerita manis sepanjang berlangsungnya Sukan SEA 2017 (KL2017) masih hangat diperkatakan. Selain prestasi dan kesungguhan atlet meraih 145 pingat emas untuk Malaysia, industri fesyen juga digegarkan dengan pencapaian jenama terkenal Cosry menghasilkan lebih 1,600 persalinan tradisional lengkap untuk disarung seluruh kontinjen negara pada pembukaan temasya sukan berkenaan.

Majoriti wakil kontinjen luar negara dilihat begitu kagum dengan ‘persembahan’ kontinjen pada malam itu. Terdengar banyak suara yang memuji kesungguhan Malaysia menonjolkan tradisi dan budaya menerusi pemilihan ‘seragam’ berkenaan. Begitu tinggi imej negara dijulang apabila pakaian tradisional disarung ke tubuh atlet.

Menurut pereka yang juga Pengarah Kreatif House of Cosry, Putra Aziz, banyak perkara terpaksa dikorbankan sepanjang tempoh tiga bulan menyiapkan persalinan terbabit hinggakan dia dimasukkan ke hospital kerana masalah kesihatan.

“Saya penat dan tertekan ketika itu kerana masa yang ada untuk menyiapkan keseluruhan baju terlalu singkat. Setiap satunya dijahit mengikut saiz tubuh atlet, bukan berdasarkan ukuran siap pakai. Namun begitu, saya bersyukur kerana semuanya berjalan lancar.

“Sukar hendak saya gambarkan perasaan apabila melihat kontinjen negara berjalan masuk ke stadium pada malam pembukaan. Mereka kelihatan segak dan anggun dengan busana Cosry. Saya sebak sehingga menitiskan air mata. Ternyata penat dan lelah saya bersama seluruh warga kerja berbaloi,” katanya tertawa.

Membina jenama

Mengimbau semula perjalanan jenama tempatan ini, Putra berkata, segalanya bermula pada 2004. Anak kelahiran Aceh ini berganding tenaga dengan pengasas jenama itu, Ariff Quasry dan meniti banyak dugaan sebelum meraih kejayaan besar hari ini.

“Kami bermula dengan fesyen kebaya tradisi dan menjual dari rumah ke rumah. Setahun kami menelan pahit, membina jenama dan mengumpul modal untuk membuka butik. Hanya pada 2005, barulah kami berjaya mendapatkan premis di Shah Alam.

“Selepas lima tahun berhempas pulas, saya beralih pula ke fesyen pengantin. Siapa sangka, segmen baru ini rupa-rupanya mendapat sambutan menggalakkan. Ramai artis yang menyarung gaun perkahwinan Cosry pada hari bahagia mereka antaranya Erra Fazira, Bunga Citra Lestari, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, Nana AF dan yang paling tular di seluruh negara adalah Anzalna Nasir.

“Gaun yang diilhamkan daripada patung Barbie Mariposa itu mendapat perhatian ramai sehinggakan ada permintaan dari luar negara. Namun kerana fabriknya dihasilkan dengan cetakan tangan, saya terpaksa menolak banyak tempahan,” katanya yang turut sibuk menghasilkan rekaan siap pakai (RTW) untuk musim akan datang.

Jelas Putra Aziz, dia cukup berbangga apabila gaun mariposa berjaya mencuri perhatian luar biasa sehinggakan permintaan untuk menghasilkan busana dengan motif serupa mencurah-curah tiba.

“Begitupun orang ramai harus faham bahawa kami bukan sekadar menjual gaun, tetapi hasil seni cetakan itu sendiri. Buat masa ini, saya tidak sanggup memenuhi sebarang permintaan untuk menghasilkan gaun mariposa kerana faktor kos dan komitmen tinggi.

“Kemudian, Mac lalu rezeki bergolek sekali lagi. Saya dipelawa oleh isteri Menteri Belia dan Sukan, Nori Abdullah untuk menampilkan konsep pakaian seragam bagi kontinjen negara untuk pembukaan KL2017. Kata Nori, beliau mahu membantu suaminya yang masih tercari-cari konsep bersesuaian,” katanya.

Menyedari peluang yang datang bukan mudah untuk digapai, Putra bersungguh-sungguh menyiapkan kertas cadangan dan papan cerita (storyboard) untuk dibentangkan di depan menteri, Khairy Jamaluddin.

“Memandangkan temasya sukan berkenaan hampir dengan Hari Merdeka, jadi saya ambil konsep Jalur Gemilang. Saya sediakan beberapa pilihan rekaan dalam bentuk grafik dan bentangkan kepada Khairy. Saya ceritakan mengenai konsep dan rekaan. Mengapa saya pilih baju Melayu pesak (potongan moden) untuk lelaki dan kurung pesak untuk wanita.

“Alhamdulillah, beliau nampak gembira dengan hasil pembentangan. Selang 10 hari kemudian, saya bawa pula model lelaki dan perempuan dengan busana lengkap. Dari situlah bermulanya kerjasama positif dan beliau memberi komen cukup memberangsangkan,” katanya.

Walaupun hati melonjak gembira dengan reaksi Khairy, namun Putra tetap dihambat kebimbangan besar untuk menggalas tanggungjawab menyiapkan lebih 1,600 pakaian atlet.

“Apabila Khairy kata setuju, bahu terus terasa berat. Berkali-kali saya ingatkan diri bahawa ini (menghasilkan baju) komitmen besar yang membabitkan imej negara. Mahu atau tidak, saya

harus memberi komitmen 200 peratus. Semua atlet perlu diambil ukuran tubuh, kain perlu ditempah dan tenaga kerja perlu diupah berganda daripada jumlah sedia ada.

“Semua tempahan raya (Aidiladha) terpaksa ditolak. Saya sahut cabaran dengan tekad untuk memastikan kontinjen negara dapat tampil kemas bergaya pada malam penting itu nanti. Sekalipun payah, saya perlu menerima hakikat bahawa peluang ini memang suatu yang hampir mustahil untuk diperoleh. Ini pengalaman baru yang sangat berharga sepanjang saya menjadi pereka,” katanya.

Cabaran untuk berjaya

Melihat dari jauh, mung­kin ada yang menganggap tugas menyiapkan tempahan besar ini mudah dengan bantuan ramai pekerja mahir. Tetapi hakikatnya, untuk menghasilkan busana berkualiti setaraf bukanlah perkara enteng.

Bagi Putra sendiri, dia terpaksa berulang-alik ke Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mengukur dan membetulkan semula kekurangan pada setiap helaian baju yang dihasilkan supaya terletak sempurna pada tubuh si pemakai.

“Tiga minggu hanya untuk mengukur tubuh atlet, kemudian kami terpaksa tunggu sebulan untuk stok kain tiba. Selepas semuanya siap dan dicuba, 600 helai terpaksa kami bawa balik untuk dibetulkan semula.

“Tiba hari yang dinanti, kami bergegas pula ke MSN untuk memastikan setiap anggota kontinjen memakai busana mengikut prosedur standard (SOP) yang ditetapkan. Saya sendiri terkandas di lebuh raya bersama bungkusan baju. Mujurlah semuanya dapat diselesaikan sebelum majlis bermula. Saya cukup berbangga dan berterima kasih dengan pujian dan kata-kata positif daripada rakan industri serta kenamaan yang hadir.

“Kalau hendak difikirkan soal masa, bajet yang diperuntukkan dan beban kerja yang menanti, belum tentu projek ini selesai dengan baik. Tetapi bukanlah soal untung rugi yang saya fikirkan, sebaliknya imej KL2017 di mata umum. Saya begitu teruja untuk melihat perubahan besar dalam kanvas temasya sukan negara. Saya harap, usaha mengetengahkan busana tradisi ini menjadi contoh kepada negara luar untuk turut serta mengangkat keunikan mereka pada temasya sukan akan datang,” katanya.

Disiarkan pada: September 9, 2017 @ 1:27am
d