hati

'Kejutan' bawa rezeki

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Idea muncul selepas usahanya membuat kejutan memberi hadiah berbentuk gubahan bunga coklat kepada ibu tersayang mendapat sambutan dan pujian daripada kenalan serta rakan di laman sosial Facebook (FB).

Tanpa disangka kejutan yang dimuat naik di laman FB itu tular dan ramai memuji gubahan berbentuk bunga coklat yang digubah sendiri itu. Bermula daripada itu tercetusnya idea untuk wanita kelahiran Batu Kikir, Negeri Sembilan ini memulakan khidmatnya sebagai ‘penghantar kejutan’ di mana semua hadiah itu adalah hasil gubahannya sendiri.

Menceritakan detik awal pembabitannya dalam bidang itu, Nurul Asyikin Mohd Anuar, 29, berkata, dia tidak menyangka gambar yang dimuat naiknya di laman FB mendapat pujian ramai.

“Pada Ogos tahun lalu, saya membuat gubahan bunga coklat untuk dijadikan hadiah hari lahir ibu memandangkan saya memang suka menghasilkan gubahan.

“Apabila mendapat permintaan menggalakkan, saya tekad menjadikan perkhidmatan ini sebagai sumber pendapatan sampingan sekali gus dapat mengisi masa terluang di rumah,” katanya.

Nurul Asyikin yang kini menetap di Gombak, Selangor berkata, antara gubahan dihasilkannya adalah gubahan bunga, bunga coklat, belon dan dulang hantaran.

“Saya akan menghasilkan gubahan seperti yang diinginkan pelanggan sebelum ia dihantar terus kepada penerima untuk dijadikan sebagai kejutan.

“Pastinya perkhidmatan yang saya lakukan ini menyeronokkan kerana dapat menggembirakan ramai individu terutama si penerima hadiah,” ujarnya.

Menurutnya, memandangkan lokasi penerima kejutan itu berbeza dan pelbagai, dia turut menggunakan khidmat penghantar untuk melakukan kejutan kepada penerima.

SAMBUTAN MENGGALAKKAN

Minatnya pada seni gubahan menjadikan Nurul Asyikin sentiasa mengemaskini gaya gubahan hadiah bagi memberi lebih pilihan kepada pelanggan.

“Perkhidmatan yang saya lakukan ini banyak saingan namun ia tidak mematahkan semangat untuk terus berusaha dalam bidang ini terutamanya dengan memperbaiki setiap kelemahan dan kekurangan.

“Selain itu, harga untuk perkhidmatan yang saya tawarkan ini juga berpatutan iaitu antara RM90 hingga RM150 bergantung kepada jarak lokasi penerima.

“Syukur, sambutan diterima amat menggalakkan kerana pada masa kini ramai individu yang kekurangan masa dan ia menjadikan perkhidmatan saya ini amat sesuai digunakan untuk menggembirakan insan tersayang,” katanya.

Menurut Nurul Asyikin, memandangkan dia mempunyai kerjaya tetap, tugas menyiapkan tempahan pelanggan dilakukannya selepas balik ke rumah terutama pada waktu petang atau malam.

“Apa yang saya lakukan ini tidak sedikit pun mengganggu rutin harian. Seronoknya perkara yang dilakukan untuk mengisi masa terluang dapat menambah wang saku.

“Disebabkan saya tinggal di Gombak, perkhidmatan yang saya tawarkan ini hanya meliputi di seluruh kawasan Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya bagi mengelak sebarang masalah berlaku,” ujarnya.

Menurutnya, bagi mencantikkan dan mempelbagaikan gubahan, dia banyak mencari idea terkini melalui internet serta laman web berkaitan.

“Saya sering melakukan perubahan dalam setiap gubahan saya bagi menarik minat pelanggan terutama gubahan bunga coklat. Pastinya pelanggan mahukan gubahan yang cantik kerana ia akan dijadikan hadiah kepada insan tersayang.

“Dari segi kejutan, kebiasaannya penghantar akan menghubungi nombor telefon penerima terlebih dulu untuk memaklumkan ada penghantaran barang namun segala maklumat mengenai barang itu dirahsiakan,” katanya.

MAHU PERLUASKAN KAWASAN PENGHANTARAN

Melihat sambutan yang menggalakkan, Nurul Asyikin berhasrat untuk memperluaskan lokasi penghantaran dan ia tidak tertumpu di kawasan Lembah Klang saja.

“Selain itu, saya turut berhasrat mengembangkan perkhidmatan dengan menyediakan khidmat perancang majlis selepas ini. Kerjaya sampingan ini memang menyeronokkan kerana selain ia adalah minat, saya dapat lihat pelbagai gelagat pelanggan dan penerima yang rata-ratanya amat gembira serta terharu dengan kiriman itu,” katanya.

Menurut Nurul Asyikin yang juga graduan Diploma Elektronik Komputer Politeknik Merlimau, Melaka, hampir semua tempahan diterima adalah melalui laman sosial FB dan Instagram.

“Dua laman sosial ini memudahkan tugas dan saya yakin ia juga membantu semua peniaga untuk menjalankan perniagaan dengan lebih mudah tanpa memerlukan modal tinggi.

“Selain berniaga, saya juga dapat menambah kenalan baru terutama dalam kalangan pelanggan yang membuat tempahan. Inilah yang membuatkan saya lebih bersemangat dan seronok untuk meneruskan perkhidmatan ini,” ujarnya.

Tambahnya, dia juga bersyukur kerana suami dan seluruh keluarga banyak memberi sokongan dan membantunya dalam mengembangkan perniagaan dijalankan.

“Saya berharap khidmat saya untuk membuat kejutan berbentuk hadiah ini dapat menggembirakan ramai orang dan dalam masa sama saya juga dapat meneruskan hobi serta minat saya melakukan gubahan.

“Saya juga tidak akan berhenti begitu saja kerana bagi saya sekali sudah melangkah, usaha perlu diteruskan hingga ke akhirnya,” katanya.

Disiarkan pada: September 12, 2017 @ 1:43pm
d