hati

Sumbangan melalui belian

Oleh HM Digital

Penggunaan kad Touch n Go adalah pembayaran tanpa tunai yang memberi manfaat kepada masyarakat bagi memudahkan urusan harian dan menjadikan urus niaga selamat serta cepat dalam gaya kehidupan serba pantas pada hari ini.

Touch n Go sinonim sebagai kad pembayaran tanpa tunai di lebuh raya (bayaran tol), tempat letak kereta, premis runcit dan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas, kereta api, transit aliran ringan (LRT), transit aliran massa (MRT) dan mesin layan diri pembelian minuman.

Baru-baru ini, Touch n Go Sdn Bhd (TNGSB) membuka peluang untuk orang ramai beramal jariah melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dikenali TNG Cares For You yang memperkenalkan ­jualan empat kad dengan reka bentuk khas.

Setiap kad mewakili empat organisasi kebajikan iaitu Projek57, Mercy Malaysia, Charity Right dan The Lost Food Project dengan membawa mesej prihatin untuk kemanusiaan, kebuluran, perpaduan dan komuniti.

Kad ini dijual pada harga RM10.60 (termasuk cukai barang dan perkhidmatan) dan setiap RM1 hasil daripada jualan kad itu yang boleh dibeli mulai 6 Ogos lalu sehingga 31 Disember ini akan disalurkan kepada empat organisasi kebajikan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif TNGSB, Syahrunizam Samsudin berkata, kempen membeli sambil beramal ini bertujuan memupuk kesedaran kemanusiaan dalam masyarakat dengan berkongsi dan memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan.

“Pengeluaran kad reka bentuk khas TNG Cares For You membuktikan bahawa kami komited dalam melaksanakan inisiatif CSR. Usaha ini dapat menyumbang kembali kepada masyarakat dan pada masa sama bekerjasama dengan badan kebajikan.

“Sebagai badan kebajikan, sudah tentu mereka amat memerlukan sokongan kewangan untuk melicinkan usaha membantu orang yang kurang bernasib baik. Diharap masyarakat dapat memainkan peranan dan tanggungjawab mereka untuk membantu golo­ngan terbabit,” katanya pada majlis pelancaran kempen jualan sambil beramal kad berkenaan di Putrajaya.

Turut hadir, pengasas bersama Projek57, Collin Swee dan Syed Sadiq Albar, Ahli Majlis Eksekutif Mercy Malaysia, Profesor Harmandar Singh, Pengarah Projek Charity Rights, Ilya Yamani dan Penasihat Projek, The Lost Food Project, James Beltran.

Syahrunizam berkata, setiap reka bentuk kad adalah berbeza dengan visual yang tersendiri mengikut mesej diwakili empat organisasi kebajikan berkenaan untuk pilihan orang ramai.

“Kad ini berfungsi sama seperti kad Touch n Go lain dan orang ramai boleh menggunakannya sebagai mod e-pembayaran di pelbagai premis yang menawarkan kemudahan bayaran tanpa tunai di seluruh negara,” katanya. -Zaitie Satibi

Disiarkan pada: September 12, 2017 @ 1:51pm
d