hati

Hidayah 10 malam terakhir Ramadan

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Hidupnya dulu dipenuhi kejahilan, hanya Islam pada nama namun hati tidak sepenuhnya rela memeluk agama ini malah, ucapan kalimah syahadah dibuatnya pada 2011 semata-mata kerana ‘cintanya’ pada seorang lelaki Melayu.

Demi lelaki itu, wanita ini terpaksa berhenti kerja bergaji lumayan kerana membawa dirinya ke sekolah pondok bagi mendalami Islam sedangkan hatinya belum lagi bersedia untuk mencintai agama ini kerana Allah.

“Bayangkan, kebetulan ketika awal kemasukan ke sekolah itu beberapa hari sebelum Ramadan. Jadi, pada hari pertama puasa saya curi-curi minum di dalam tandas kerana terlalu dahaga.

“Bagi saya semua ini terlalu mendadak, akibatnya semua amalan seperti solat dan puasa dilakukan secara terpaksa. Bayangkan di asrama perempuan ketika itu, saya masih tidak berubah malah kerap kali ditegur kerana memakai pakaian kurang sopan sebagai Muslimah.

“Ketika itu saya belum dapat hidayah apatah lagi reda dengan semua ini. Sebagai saudara baru saya cuba juga paksa diri untuk belajar serba sedikit mengenai ibadat wajib dan lama kelamaan saya terbiasa lakukannya,” kata figura bernama Siti Nur Qamardhia Eben.

Namun, tiada siapa dapat menidakkan hidayah Allah yang ingin diberikan-Nya pada bila-bila yang dikehendaki, Siti Nur Qamardhia atau mesra disapa Dhia berasakan dirinya cukup beruntung apabila akhirnya dipilih Allah untuk dijentik keinsafan.

Wanita berusia 30-an ini berkata, 10 malam terakhir Ramadan ketika itu adalah detik paling terkesan dalam hidupnya dan menjadi titik tolak penghijrahannya kepada Muslimah sejati.

“Ketika sedang nyenyak tidur, saya terasa seperti dikejutkan oleh seseorang kira-kira jam 2 pagi. Saya lantas bangun tapi tiada sesiapa pun, saya lihat rakan sebilik lain semuanya tidur.

“Dalam kegelapan malam itu, saya cuba tidur semula tapi seakan-akan ada cahaya yang menusuk di wajah sehingga sukar melelapkan mata. Entah bagaimana, saya seolah-oleh didorong untuk ambil wuduk dan buat pertama kali dalam hidup sebagai saudara baru, saya mengerjakan solat sunat Tahajud.

“Saya menangis semahu-mahunya ketika sujud, agak lama saya berteleku di sejadah mengenangkan banyaknya dosa yang saya lakukan. Rakan sebilik yang bangun ketika itu terus memeluk erat.

“Sejak itu, bermulalah detik sebenar pengislaman saya dan benar-benar tekad mendalami Islam serta berusaha mendekatkan diri dengan agama ini, melakukan semua perkara yang diperintahkan,” katanya ketika ditemui pada program Penghayatan Asmaul Husna Dalam Kehidupan anjuran Yuhaira Malaysia baru-baru ini.

ASBAB HAYATI ISLAM

Menyingkap kehidupannya sebelum ini, Dhia mengakui banyak noda dan kesilapan dilakukan termasuk pernah tidak mempercayai mana-mana Tuhan.

Dibesarkan dalam keluarga yang menganut pelbagai kepercayaan di Sarawak, Dhia turut mempunyai saudara beragama Islam sebelah ayahnya malah ketika kecil dia biasa meraikan Aidilfitri bersama mereka.

Ketika itu, dia tertarik dengan adat bersalaman dan bermaafan selepas sepupunya pulang dari solat sunat Aidilfitri, entah mengapa dia amat menyukai suasana itu yang tidak pernah dirasai ketika menyambut Krismas atau Hari Gawai.

Hari berganti, selepas tamat persekolahan, Dhia berkahwin dan dikurniakan seorang cahaya mata. Malangnya, bayinya meninggal dunia ketika baru berusia 10 bulan.

Sejak itu katanya, dia mula menyalahkan takdir dan tidak lagi mempercayai kewujudan tuhan kerana menganggap kebahagiaannya dirampas.

“Tahun berikutnya saya dikurniakan seorang cahaya mata yang kini sudah berusia 11 tahun. Jodoh tidak panjang dan saya menjadi ibu tunggal selepas itu.

“Mengenai kawan lelaki yang mendorong saya memeluk Islam enam tahun lalu pula, mungkin tiada jodoh, kami tidak jadi berkahwin. Tapi saya bersyukur kerana dia juga menjadi asbab saya mendalami Islam walaupun pada awalnya semata-mata mahu berkahwin.

“Saya tekad terus mendalami Islam dan meneruskan pengajian agama di Institut Latihan dan Dakwah Selangor. Ketika mengikuti pengajian, saya mengetuai projek amal bagi mengumpul dana, tidak sangka pula saya begitu seronok melakukannya hingga dapat mengumpul hingga RM30,000 untuk disumbangkan kepada badan memerlukan,” katanya.

Tidak menoleh ke belakang sejak itu, Dhia tekad meneruskan perjuangan dakwah malah pada tanggal 22 Oktober 2014, wanita ini mengasaskan Pertubuhan Kebajikan Aurat Malaysia (MOCA).

Objektif penubuhan MOCA bagi mengajak remaja perempuan dan anak gadis Islam di seluruh negara menutup aurat dengan cara betul menerusi pelbagai program antaranya dakwah jalanan dan kempen berkaitan.

Menurut Dhia, MOCA juga bermatlamat memberi kesedaran kepada masyarakat terutama golongan belia mengenai kepentingan menjaga akidah dan akhlak serta menutup aurat mengikut syariat Islam. Paling penting memberi pendedahan kepada golongan bukan Muslim mengenai kelebihan menutup aurat.

“Kempen ini amat penting untuk memberikan pendedahan dan pengetahuan kepada masyarakat Islam, khususnya wanita Islam dalam penjagaan aurat yang sebenarnya merangkumi persyaratan pakaian yang memenuhi tuntutan syariat Islam, batasan aurat wanita dan beberapa aspek lain yang dibincangkan.

“Ia juga bertujuan memberikan kesedaran dan kefahaman kepada wanita Muslim dan masyarakat umum berkenaan aurat wanita menurut perspektif Islam, memandangkan masih ramai lagi dalam kalangan wanita Muslim yang tidak jelas mengenai konsep penutupan aurat yang sebenar sebagaimana yang dikehendaki syarak.

“Alhamdulillah, kami menerima sambutan yang menggalakkan dengan keahlian melebihi 1,000 orang bagi menjalankan pelbagai kempen dan pengisian rohani. Selain itu, kami juga adakan pelbagai program pemerkasaan wanita termasuk seminar bagi menjana pendapatan mereka,” katanya.

MAHU JADI HAB MAKLUMAT

Menurutnya, MOCA satu-satunya badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia aktif menekankan berkenaan aurat dalam kerja dakwah, selain aspek akidah dan akhlak dalam kalangan gadis Islam di negara ini.

Namun katanya, mereka juga tidak pernah terlepas pelbagai dugaan dan rintangan terutama berdepan perspektif masyarakat memandangkan ramai di kalangan ahli yang menutup wajah dengan niqab, bertudung labuh dan berjubah.

“Itu cabaran yang sering kami hadapi, tapi kami tak mudah mengaku kalah. Insya-Allah kami kekal istiqamah dengan dakwah yang menekankan peranan wanita sebagai hamba Allah, isteri, ibu dan anggota masyarakat yang faham mengenai penjagaan aurat,” katanya.

Katanya, MOCA juga diharap mampu menjadi hab informasi Islam supaya wanita faham kewajipan menutup aurat dan bijak menangani cabaran sebagai wanita Islam dalam era globalisasi serta pemikiran liberal.

Selain itu katanya, keahlian MOCA dalam kalangan remaja, belia dan wanita yang sudah cukup umur iaitu 18 tahun ke atas dan masing-masing mempunyai latar belakang berbeza termasuk ahli perniagaan, suri rumah, pelajar kolej dan universiti serta penjawat awam.

Menurutnya, MOCA turut dianggotai ahli bukan Islam dan mereka kini sedang dibimbing ke arah menganut agama Islam.

“Impian kami satu iaitu terus menyebarkan dakwah hingga ke hujung nyawa. Insya-Allah, ahli dan pelapis baru MOCA mampu memimpin pertubuhan ini bergerak lebih jauh.

“Pada masa sama, kami berharap ada pihak di luar sana sudi memberi sumbangan supaya MOCA terus kukuh berdiri dalam menyampaikan risalah serta kewajipan,” katanya.

Katanya, selain sibuk dengan pengajian jurusan dakwah di Universiti Islam Antarabangsa dan menguruskan pelbagai program, dia juga salah seorang jawatankuasa bagi NGO Global Unity Network sebagai sayap wanita.

Oleh kerana pengajiannya ditanggung sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam Selangor selama hampir lima tahun, Dhia turut menyumbang bakti kepada badan itu dengan mengajar mualaf lain selain pernah diberi tauliah kaunseling untuk golongan murtad bagi Jabatan Mufti Selangor.

Mengenai penerimaan keluarga terhadap penghijrahannya, Dhia bersyukur kerana ibu bapanya memahami perjuangannya kini meskipun pada awalnya mereka sukar menerima perubahan dirinya.

“Selepas saya tunjukkan akhlak yang baik berbanding sebelum saya memeluk Islam, ibu bapa dapat menerima diri saya. Alhamdulillah selain saya, dua lagi kakak saya turut memeluk Islam dan kini besar harapan saya agar Allah memberi hidayah kepada ibu bapa dan ahli keluarga lain untuk menerima Islam,” katanya.

Dhia turut bersyukur kerana perkahwinannya dengan suami tahun lalu membawa sinar bahagia dan dia menerima sokongan tidak berbelah bagi daripadanya untuk meneruskan perjuangan dakwah.

Disiarkan pada: September 14, 2017 @ 11:32am
d