hati

Cetusan ilham hiasan arabes

Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Setiap helaian gaun yang direka diinspirasikan daripada keindahan binaan Masjid Sultan Hassan dan madrasah di Kaherah. Pada masa sama, kekaguman terhadap hiasan arabes dan binaan Islam menjadi kunci kepada kejayaan pereka Jane Qadri, Zaharah Jane Al Junaid Mohammad Al Junaid menghasilkan helaian terkini dengan idea segar.

“Ia terkenal sebagai masjid terbesar di dunia yang memiliki madrasah di dalamnya. Masjid berkenaan juga dibina dengan seni hiasan dan binaan Islam yang sangat indah.

“Keindahan binaan masjid berkenaan menjadi ilham untuk saya terus berkarya dan melebarkan idea rekaan agar ia diterima pencinta fesyen seluruh dunia.

“Semua rekaan ini juga berjaya dihasilkan selepas menyertai program 6MM di bawah kendalian Adnan Hassan. Saya sangat berbangga kerana berjaya menyiapkan semua rekaan berdasarkan idea sendiri,” katanya.

Kreativitinya dapat dilihat pada rekaan Khaleesi yang memiliki hiasan ropol pada skirt. Ia diilhamkan daripada pintu masuk masjid dan pada masa sama seni binaan unik digunakan sebagai tambahan elemen perincian baju agar tampak lebih mewah.

Bagi rekaan Targaryn pula, tambahan hiasan mutiara pada bahagian baju sengaja disulam bersama batuan kristal bagi menampilkan gaya eksklusif.

Selain itu, penggunaan kain sifon pada ropolnya juga memastikan ciri alunan gaun dapat ditonjolkan seolah-olah sedang berdansa sekali gus memberikan keanggunan kepada si pemakai.

Tampak kuat dan berdikari, namun masih mengekalkan keseksian si pemakai dapat dilihat pada rekaan Cercei yang disiapkan bersandarkan pada watak dimiliki ‘wanita besi’.

Inspirasi busana pengantin juga tidak ketinggalan untuk ditampilkan yang disiapkan dengan tambahan perincian mewah mutiara dan kristal yang berbentuk seperti seni binaan Islam.

Selain itu, terdapat juga rekaan dengan lukisan eksklusif hiasan arabes buatan tangan sepenuhnya yang bergemerlapan tatkala disimbah cahaya lampu.

Disiarkan pada: September 16, 2017 @ 1:02am
d