hati

Kasut inspirasi 2 ikon fesyen

Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Ikon fesyen, Christy Turlington Burns dan Karlie Kloss, dua wanita luar biasa memiliki kisah pengalaman yang memberi inspirasi, kecantikan dan glamor.

Keakraban dua sahabat ini yang mempunyai keinginan sama untuk membuat perubahan lebih bermakna dalam kehidupan sekali gus menarik perhatian Cole Haan.

Kaitan kisah menarik dan hubungan unik antara Burns dan Kloss dipilih bagi memberi inspirasi kepada wanita seiring dengan pelancaran koleksi terbaru jenama itu yang bertemakan ‘Extraordinary Women, Extraordinary Stories’ yang dirakam oleh jurugambar terkenal, Cass Bird.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan David Maddocks berkata, jenama berkenaan terus komited membuat rekaan baru dan mencipta semula kasut serta aksesori.

“Pastinya, setiap koleksi yang akan ditampilkan mengambil berat mengenai reka bentuk menarik, kejuruteraan berasaskan penyelidikan dan bersesuaian dengan gaya terkini.

“Justeru, pelancaran koleksi terbaru kali ini menggabungkan kehebatan dua wanita ini untuk menggayakan rekaan yang dihasilkan. Kehidupan yang luar biasa dan penuh dengan makna adalah satu inspirasi kepada semua orang supaya mereka mampu melakukan setiap keinginan seperti dua wanita ini,” katanya.

Kempen berkenaan memaparkan adegan video secara spontan, gambar yang mesra dan menarik bersama gaya klasik yang disuai padan oleh Karla Welch.

Melalui gambar serta video unik, Bird menggambarkan pengajaran hidup yang dikongsi di antara Kloss dan Burns yang bercita-cita untuk memenuhi lebih banyak keinginan di samping menjadi lambang sebagai wanita luar biasa.

“Mereka menjadi diri sendiri dengan keinginan yang unik dan berusaha mengejar impian,” kata Karlie Kloss.

Pilihan ideal untuk Christy dengan gaya hidupnya yang pelbagai adalah kasut tumit Laree Grand. Ia adalah koleksi kasut tumit siluet premium dengan teknologi Grand.OS, bertapak ringan, tumit Achilles yang padat dan kusyen dalaman yang dipertingkatkan untuk masa berdiri lebih panjang bagi menambah keselesaan serta mengurangkan kesakitan pada kaki.

Kasut GrandEvolution Velcro adalah untuk wanita seperti Karlie yang sentiasa sibuk, banyak berjalan dan tidak terikat dengan sesiapa. Fungsi dan tradisi disatukan dalam rekaan kasut itu yang menawarkan keselesaan tanpa perlu mengorbankan gaya yang boleh digayakan secara kasual ataupun formal.

Penambahan elemen inovatif pada koleksi GrandPro yang dipenuhi dengan reka bentuk menarik bersama penggunaan fabrik sutera baldu mewah di samping memiliki ciri ringan.

Memberi tumpuan kepada keringanan kasut, koleksi berkenaan melambangkan inovasi elegan melalui gabungan teknik, gaya dan kejuruteraan dengan menggunakan teknologi Grand.OS.

Koleksi kasut kulit wanita, Jagger Grand Weave Oxford diperbuat daripada kulit yang lembut selain turut memaparkan panel tenunan yang terkenal dengan jahitan terperinci.

Disiarkan pada: September 16, 2017 @ 1:10am
d