hati

'Sokongan mereka mengagumkan'

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Walaupun keadaan cuaca tidak menentu, ia tidak mematahkan semangat ribuan individu termasuk Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim untuk hadir menceriakan dan meraikan pesakit kanser pada hari kesedaran kanser dan pengumpulan dana.

Relay for Life Kuala Lumpur yang juga acara utama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) diadakan untuk tahun ke-11 di Dataran Petaling Jaya, 9 September lalu.

Selama 16 jam, lebih 1,000 orang termasuk 500 pesakit dan pejuang kanser, selebriti, keluarga dan rakan serta masyarakat setempat menyertai acara itu.

Pengerusi Relay for Life Kuala Lumpur Datuk Zuraidah Atan berkata, dia amat gembira dengan sambutan diterima pada program itu.

“Pada awalnya saya sangat bimbang dengan jumlah peserta kerana hujan sepanjang hari, tetapi mereka membuktikan kebimbangan saya itu tidak berasas. Tiada siapa pun yang mengadu dan semua peserta bersemangat mengambil tempat di padang dan bersedia untuk berjalan.

“Apabila hujan semakin lebat, sesetengah peserta termasuk sukarelawan muda kami hanya membuka kasut mereka dan terus berjalan. Semangat dan sokongan mereka sungguh mengagumkan,” katanya.

Persatuan Kumpulan Survivor Muda juga buat pertama kali turut serta dalam acara itu pada tahun ini.

Zuraidah berkata, pada tahun ini, tumpuan Relay for Life adalah kepada generasi muda bagi memberi kesedaran bahawa penyakit kanser tidak mengenal usia dan sesiapa saja boleh menghidapnya.

“Ramai beranggapan kanser hanya berlaku kepada mereka yang lebih tua, tetapi itu tidak benar kerana kanak-kanak dan bayi pada usia dua bulan serta remaja boleh mendapat kanser.

“Mereka memerlukan banyak sokongan dan semangat daripada masyarakat. Kami sangat berbangga dengan prestasi dan semangat mereka hari ini dan program ini adalah majlis khas untuk mengingati orang tersayang yang sudah sembuh daripada kanser, menghormati dan menyokong kumpulan yang masih berjuang,” katanya.

Dana yang dikumpulkan daripada program itu akan digunakan untuk program sokongan, aktiviti pendidikan, pemeriksaan kanser dan perkhidmatan kesihatan, serta penginapan untuk kanak-kanak yang menghidapi kanser.

Disiarkan pada: September 18, 2017 @ 2:25pm
d