hati

Aktiviti rekreasi dengan impak positif

Oleh HM Digital

Kehadiran kumpulan pendaki ini bukan saja mengisi ruang aktiviti mereka, tetapi memupuk nilai murni dalam kalangan kelompok pencinta alam itu untuk lebih bertanggungjawab ke atas alam semula jadi dan bertanggungjawab kepada pendaki lain.

Pada masa sama usaha murni dilaksanakan itu dapat meningkatkan perasaan tanggungjawab dalam kalangan ahli supaya lebih berdisiplin dan mematuhi peraturan yang sudah ditetapkan pihak Pejabat Hutan di Malaysia.

Selain itu semua aktiviti diadakan juga memperingatkan kepada warga pendaki supaya sentiasa peka dengan keadaan sekeliling termasuk menjaga keselamatan, kesihatan, tingkah laku atau perbuatan yang boleh mendatangkan risiko.

Elemen penting itu diterapkan Kelab Zetho Adventures Extreme (ZAEC) kepada ahlinya sempena Program Responsible Hiker dengan kerjasama Hiking And Camping Around Malaysia (HACAM ) di Gunung Lambak, Kluang, Johor pada 9 September lalu.

Pengerusi kelab, Mohd Yusairi Mirza Md Yusof berkata, ZAEC adalah sebuah kelab yang ditubuhkan pada hujung tahun lalu dan berdaftar di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

“Tujuan kelab ini ditubuhkan adalah untuk menganjurkan aktiviti rekreasi luar yang bukan hanya berasaskan aktiviti pergunungan semata-mata, malah pelbagai lagi aktiviti luar dan lasak yang dianjurkan oleh kelab ini.

“Sehingga kini seramai 200 orang yang turut serta dalam program diadakan kelab berkenaan dan sudah pasti usaha dilaksanakan ini memberi impak positif dalam memberi pendidikan kepada pendaki supaya lebih bertanggungjawab ketika melakukan hobi terbabit,” katanya.

Katanya, antara aktiviti yang dijalankan termasuk mengedarkan risalah berkaitan tanggungjawab pendaki, risalah kesihatan dan melakukan pembersihan mengutip sampah.

“Selain itu, program diadakan juga membabitkan pertunjukan ‘Basic Jungle Survival’ oleh tetamu jemputan mengenai cara menghidupkan api di dalam hutan menggunakan sumber alam seperti batu, daun kering, kayu dan sebagainya,” katanya.

Katanya, bermula jam 7 pagi program disertai Naib Pengerusi kelab Mohd Rasyid Malek dan setiausahanya, Mohd Arshad Musa menjadikan kawasan Hutan Lipur Gunung Lambak, sebagai fokus aktiviti program.

“Ia membabitkan aktiviti penyerahan baju di bawah tapak Gunung Lambak, diikuti slot berkumpul di papan tanda Gunung Lambak (tapak program) serta ucapan presiden kelab.

“Kami turut mengadakan slot Kementerian Kesihatan mengenai wabak kencing tikus atau Leptospirosis,” katanya.

Katanya, acara demonstrasi ‘Basic Jungle Survival’ daripada Pendekar Rimba antara yang menarik minat peserta, disusuli sesi pembersihan di sekitar tapak program.

Mengulas lanjut mengenai HACAM katanya, ramai yang berminat untuk mencuba, malah ramai pendaki baru yang bersemangat.

“Sesetengah daripada mereka ini memang mempunyai kecerdasan fizikal tetapi ramai yang tidak mempunyai ilmu dan pengetahuan mengenai etika, cara pendakian terbaik dan persediaan yang baik.

“Ini menyebabkan tekanan kepada dunia pendakian dengan sampah yang ditemui di mana aktiviti dilakukan, kerosakan kepada rentis (trek yang baru dibuat) dan mungkin juga menjejaskan ekosistem setempat,” katanya.

Beliau berkata, kes kecederaan malah kematian ketika mendaki juga lebih kerap, selain kemalangan seperti kes sesat juga bertambah.

“Menyedari hal ini, satu gerakan dimulakan untuk menyedarkan pendaki bahawa mereka perlu lebih bertanggungjawab kepada diri sendiri, kepada rakan pendaki dan masyarakat umum dan kepada alam sekitar supaya mutu pendakian dan pengalaman di alam semula jadi tetap terpelihara.

“Gerakan ini dimulakan dengan siaran di dalam Facebook (FB) melalui kumpulan HACAM yang mempunyai lebih daripada 160,000 keahlian dan kemudian secara terus mengadakan sesi pendedahan yang dibuat di tempat pendakian yang popular di Selangor, Sabah, Perlis, Perak dan di Johor,” katanya.

Katanya, perancangan sedang diatur supaya ia dibuat di setiap negeri, selain Responsible Hikers juga menganjurkan bengkel secara berkala mengenai kegiatan luar kepada pendaki yang lebih berpengalaman untuk lebih mendalami ilmu pengetahuan mengenai aktiviti ini.

Pada masa sama katanya, #pickitup yang ditubuhkan pada 2015 adalah sebuah kempen yang diwujudkan sebuah badan tak berdaftar, ‘Pickitup Initiative’.

“Di dalam Pickitup Initiative adalah rakan pendaki yang berlainan latar belakang kumpulan bertujuan memajukan kempen ini dan kini majoriti pendorong kempen ini sudah pun berkongsi bumbung di ‘CORE REPUBLIC’.

“Kempen ini bertujuan untuk memupuk usaha ‘ringan tulang’ dalam kalangan pendaki dan tidak sahaja pendaki gunung tidak membuat sampah, malah mula bergerak untuk mengutip sampah tanpa mengira jumlah dengan harapan, perbuatan ini akan menjadi contoh kepada mereka yang mengikuti program,” katanya. - Mohd Sabran Md Sani

Disiarkan pada: September 19, 2017 @ 1:03pm
d