hati

Sistem inframerah lebih mesra pelanggan

Oleh Siti Zarinah Sahib

Seoul Garden peneraju restoran makanan berkonsepkan Korea di Malaysia meraikan ulang tahun ke-10 dengan pembukaan cawangan terbaru di Melawati Mall, Ampang, Selangor menjadikan kesemuanya 34 cawangan berkonsepkan bufet dan 12 cawangan berkonsep ala-carte Hot Pot.

Sejak beroperasi pada 2007, restoran ini memperkenalkan makanan berkonsepkan ala Korea dengan cita rasa Malaysia. Istimewanya untuk stimbot dan barbeku, daging perapan disediakan dengan pelbagai perisa antaranya kopi, pedas, bulgogi dan teriyaki.

Pengunjung juga boleh memilih masakan Asia dan pilihan menu bufet dengan lebih 150 jenis hidangan. Seoul Garden Hot Pot pula memberikan tumpuan kepada hidangan seperti bibimbap, hotpot dan hotplate.

Cawangan di Melawati Mall ini adalah cawangan pertama yang memberikan konsep baru kepada pelanggan. Konsep kali ini mempunyai kelebihan kerana menggunakan sistem inframerah dan ternyata lebih mesra pelanggan. Seoul Garden memberikan kelebihan dari segi stimbot dan barbeku apabila ia mempunyai dua bahagian sup (stimbot) berbeza manakala di tengah-tengahnya adalah ruang barbeku.

Menurut Pengarah Urusan Seoul Garden Desmond Lim, konsep ini lebih kontemporari dan memberikan keselesaan kepada pelanggan kerana berpeluang menikmati menu yang diinginkan. Rasanya pula lebih enak.

Seoul Garden juga mendapat pensijilan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai menandakan komitmen Seoul Garden bagi menyediakan yang terbaik kepada pelanggan. Sehingga kini, 26 cawangan Seoul Garden menerima pengiktirafan pensijilan halal Jakim.

“Kami sentiasa berusaha menawarkan yang terbaik kepada pelanggan. Persijilan halal JAKIM bukti komitmen kami kepada hampir 80 peratus pelanggan Melayu. Selain itu, kami akan terus mengekalkan pensijilan halal ini dan mengharapkan ia akan menarik lebih ramai pelanggan untuk menjamu selera di sini tanpa rasa ragu,” katanya.

Seoul Garden kini menyasarkan lebih banyak cawangan di seluruh Malaysia bagi memastikan semua orang berpeluang mencuba makanan yang disediakan. Sehingga kini, ia mempunyai lebih 70 restoran di tujuh negara termasuk Malaysia, Singapura, Filipina, Vietnam, Indonesia, Myanmar dan Brunei.

Antara tetamu yang hadir pada pembukaan rasmi Seoul Garden Melawati Mall ialah Ketua Pegawai Eksekutif Seoul Garden Group Pte Ltd Andrew Lee, penyanyi Sufian Suhaimi, pengacara TV, Fiza dan 30 anak yatim dari Rumah Kebajikan Baitul Hidayah, Puchong.

Disiarkan pada: September 20, 2017 @ 9:35am
d