hati

Telekung sedondon ibu, anak

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Bukan baju atau tudung saja yang menarik perhatian ibu, malah ramai yang teruja mendapatkan koleksi telekung sedondon yang boleh dipakai bersama si kecil tersayang untuk beribadat.

Ia secara tidak langsung dapat memupuk minat si anak untuk bersama-sama mengerjakan solat walaupun seawal usia dua tahun.

Berusaha membantu golongan ibu untuk mengajar anak kecil menunaikan ibadat, jenama Sha Zaha tampil dengan koleksi istimewa Telekung Eksklusif Hidayah.

Telekung yang direka berpasangan dan mempunyai warna sama untuk ibu dan si manja itu bukan saja praktikal, malah mementingkan keselesaan.

Pengasas Sha Zaha, Nor Zaleha Hasan Basri berkata, koleksi telekung itu yang pertama kali direka dengan ropol bagi menambah keunikan pada telekung itu.

“Telekung yang comel ini didatangkan dengan warna menarik bagi menggalakkan si manja rajin bersolat terutama apabila ibu juga mengenakan telekung warna senada.

“Koleksi ini juga didatangkan dengan tawaran harga menarik dan berpatutan iaitu RM123 bagi koleksi kanak-kanak dan RM154 untuk koleksi dewasa termasuk kos penghantaran di seluruh Malaysia manakala harga kombo adalah RM270,” katanya.

Menurutnya, koleksi padanan ini didatangkan dalam lima pilihan warna menarik manakala bagi koleksi dewasa mempunyai satu saiz dan bagi kanak-kanak mempunyai dua pilihan saiz iaitu bagi dua hingga tiga tahun dan empat hingga enam tahun.

“Kami menggunakan fabrik Le’Satin premium yang tidak panas, tidak keras, tidak terlalu ringan dan mudah digosok serta dicuci. Ia juga selesa dipakai untuk tempoh yang lama,” ujarnya.

Tambahnya, koleksi telekung ibu dan anak itu didatangkan dalam kuantiti yang terhad bagi memastikan nilai eksklusif kepada pemakainya.

“Selain untuk diri dan anak, koleksi telekung ini juga sesuai dijadikan sebagai hadiah untuk diberikan kepada tersayang seperti ahli keluarga dan rakan-rakan terutama yang mempunyai anak perempuan.

“Sejak dikeluarkan, koleksi ini mendapat sambutan dan permintaan menggalakkan dan diharap rekaan telekung ini memenuhi semua kriteria yang dimahukan buat si ibu juga si anak,” ujarnya.

Disiarkan pada: September 23, 2017 @ 12:01am
d