hati

3 kali tangguh pembedahan

Oleh HM Digital

Bertemu wanita ceria, kita juga akan turut gembira. Buktinya setiap pertanyaan diselang-selikan dengan deraian ketawa walaupun ada bahagian sepatutnya dia berduka. Patutlah ada jiran tetangga mengatakan dia tidak nampak seperti orang sakit sebaik dibenarkan pulang selepas menjalani pembedahan membuang sebelah payudara.

“Saya memang jarang memikirkan mengenai sakit. Apa yang ada dalam fikiran hanyalah perkara positif. Saya buat apa yang ingin lakukan. Lama-lama kelamaan saya temui kekuatan dalam diri untuk melawan semua perasaan ini,” jelas Nor Reha A Ghani, 49, bekas pesakit kanser yang ditemui di Pusat Sumber dan Pendidikan Kanser (CaRE), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang Selangor.

Jelas wanita kelahiran Rembau, Negeri Sembilan ini, pada mulanya dia menyedari ada ketulan sebesar guli pada payudara kanan. Lantas dia menjalani pemeriksaan di klinik kerajaan. Mendapati ada sesuatu yang ganjil, jururawat bertugas membuat surat rujukan untuk pemeriksaan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban.

“Saya menjalani biopsi dan menerusinya doktor menjumpai ketulan sebesar 2.5 sentimeter yang disahkan sebagai kanser. Sebelum ini saya tidak pernah menjangkakan akan melaluinya. Pada saat doktor mengatakan saya menghidap kanser payudara dunia gelap gelita. Saya menangis semahu-mahunya,” katanya yang menerima tarikh untuk melakukan pembedahan membuang ketulan dua minggu selepas itu.

Pernah melalui pengalaman melihat rakan meninggal dunia sebaik saja menjalani pembedahan menyebabkan Nor Reha meminta penangguhan sehingga tiga kali. Pada masa sama dia menjalani rawatan alternatif di rumah.

Lama kelamaan sel kanser semakin merebak. Ketulan yang mulanya kecil membesar menjadi seperti telur ayam, ia keras seperti batu. Lebih menyedihkan apabila bahagian payudara luar mulai tumbuh sama seperti kubis.

Begitupun dia masih menafikan perlu menjalani rawatan di hospital kerana beranggapan keadaan dirinya tidak membimbangkan. Walaupun dipujuk suami, keluarga dan rakan, Nor Reha tetap berdegil sehingga berlanjutan selama dua tahun.

“Dalam tempoh ini payudara saya mulai membusuk dan berbau. Ia semakin besar dan sukar dijaga. Lebih memeritkan apabila ia berdarah menyebabkan saya kehilangan banyak darah. Tubuh menjadi lemah, saya pula tiada selera makan. Berat badan berkurang sehingga 20 kilogram (kg) sepanjang dua tahun,” katanya yang hanya menjalani rawatan herba dengan seorang ustaz.

Kemuncak kepada kerelaan untuk mendapatkan rawatan di hospital apabila menyedari dirinya semakin lemah. Darah pula keluar tanpa henti. Bertemankan kakak dan suami, Nor Reha dibawa ke hospital. Tanpa menunggu lama pembedahan membuang payudara terpaksa dilakukan pada hari yang sama kerana doktor tidak mahu menanggung risiko.

Doktor juga menemui 21 ketulan di bawah ketiak dan hanya satu adalah sel kanser. Lebih membuatkan dirinya bersyukur apabila sel kanser tidak merebak ke bahagian lain. Nor Reha juga cepat pulih daripada pembedahan walaupun terpaksa menjalani kemoterapi sebanyak enam pusingan.

Berbeza berbanding mereka yang pernah menjalani kemoterapi Nor Reha melalui pengalaman yang tidak memeritkan. Hanya pada kemoterapi kali keenam barulah dia berasa panas dan tiada selera makan.

“Barulah saya tahu bagaimana ibu yang menghidap kanser hati melaluinya. Semua serba tidak kena. Perit dan menyakitkan,” katanya yang turut menjalani radioterapi sebanyak 20 pusingan.

Ujar Nor Reha, ketika menjalani tempoh pemulihan di rumah dia sangat positif. Tidak pernah beranggapan dirinya sedang sakit tetapi membayangkan seperti wanita normal lain. Nor Reha juga tetap meneruskan minatnya menjahit. Kerja rumah seperti memasak dan mengemas dilakukan sendiri dengan bantuan suami.

“Saya kuat kerana ada suami dan anak di sisi. Suami memberikan semangat kepada saya untuk terus hidup. Dia sumber kekuatan saya selama ini. Dia juga tidak pernah berputus asa membawa saya mendapatkan rawatan.

“Jika dulu saya kurang melakukan amal ibadat tetapi hikmah di sebalik kanser, saya semakin dekat dengan-Nya. Kasih sayang kepada keluarga dan rakan juga semakin bertambah. Saya juga banyak menyertai aktiviti dan program membabitkan kanser dengan CaRE kerana inilah cara saya memberitahu masyarakat agar menjalani ujian pengesanan awal kanser dan tidak takut menjalani rawatan.

“Jangan jadi seperti saya yang lewat mendapatkan rawatan akhirnya kehilangan sebelah payudara walaupun sebenarnya ia dapat diselamatkan jika saya mendengar nasihat doktor,” katanya.

SETIA DI SISI WALAU APA YANG BERLAKU

Bagi suami Amizi Othman, 51, ketika doktor mengesahkan isterinya menghidap kanser payudara sejak itulah kasih sayangnya semakin bertambah. Walaupun gagal memujuk Nor Reha menjalani pembedahan sebaik saja disahkan kanser namun dia tidak pernah kecewa atau marah.

Dia tidak mahu Nor Reha semakin tertekan jika menggunakan kekerasan sebaliknya lebih banyak berlembut dan mengikut saja kemahuan isteri.

“Ketika kanser mula dikesan pada 2008 ukurannya hanya sebesar 2.5 sentimeter. Isteri meminta menangguhkan pembedahan sebanyak tiga kali. Semuanya saya ikutkan kerana bagi saya kanser bukan calang-calang penyakit dan sokongan suami serta keluarga sangat penting bagi meredakan kesakitan dan kemurungan,” katanya.

Tambahnya lagi, sejak mengenali Nor Reha dia memahami sifat degil dan kuat semangat wanita itu. Nor Reha juga seorang yang berdikari. Sebab itu selepas dua jam pembedahan dia mampu berjalan sendiri.

“Di rumah pula saya membantu menguruskan makan dan minum serta menyediakan keperluan dirinya. Menu makanan berasaskan sayur-sayuran, ayam, ikan dan buah-buahan. Ada kala dia yang memasak. Namun saya menasihati supaya jangan memaksa diri,” katanya yang menasihati suami lain agar lebih peka dengan keperluan isteri ketika mereka sakit.

Merujuk sesetengah kes isteri diabaikan dan ditinggalkan hanya kerana menghidap kanser payudara, bagi Amizi ia tidak sepatutnya berlaku. Isteri dan suami saling memerlukan untuk saling lengkap melengkapi. Jika isteri berdepan penyakit kritikal, suami perlu setia di sisi.

“Terima dia seadanya sama seperti anda menerima dirinya sepanjang melayari perkahwinan. Bukan ketika senang anda di sisi, apabila susah melarikan diri. Ia akan hanya menyebabkan penyakit isteri bertambah teruk. Berikan kata semangat, ucapkan sayang kerana ia dapat mengurangkan kesakitan dan ubat mujarab,” katanya.

Mengenai kos rawatan, jangan bimbang kerana ia boleh diusahakan, sebaliknya buat temu janji dengan pakar terlebih dulu. Ini kerana bantuan untuk penyakit kritikal sememangnya diberikan terutama kepada golongan yang memerlukan. - Siti Zarinah Sahib

Disiarkan pada: September 25, 2017 @ 2:48pm
d