hati

Nasi lemak hijau Maria

Oleh Kusyi Hirdan

Nasi lemak hijau atau nasi lemak pandan mungkin agak asing bagi kebanyakan orang. Penulis sendiri baru mengetahuinya beberapa tahun lalu tetapi tidak selalu dapat merasainya kecuali jika berkunjung ke utara Malaysia.

Warna hijau hasil perahan daun pandan maka aroma nasi lemak ini wangi. Digabung pula lemak santan yang memikat selera.

Anak Melaka ini, Siti Marlia Salleh, ibu empat anak, seakan-akan mengangkat nasi lemak hijau supaya lebih dikenali generasi baharu di negerinya. Oleh itu, dia berani membuat pembaharuan sesuai dengan dirinya sendiri yang masih muda.

“Sebelum ini saya tidak terfikir hendak buat nasi lemak hijau sebab buat macam-macam untuk jualan. Kek dan makanan Barat pun saya buat. Saya bermula dengan berniaga di tepi jalan. Apabila kawan datang ke rumah, saya jamu nasi lemak hijau dan mereka tanya kenapa tidak dijual? Dari situ saya mencuba. Belajar sendiri cara membuatnya sehingga sesuai dengan cita rasa,” katanya.

Nasi lemak hijau Marlia, serba lengkap mengandungi santan dan juga perahan daun pandan. Kemudian dikukus untuk disajikan dengan sambal resipi turun-temurun keluarga daripada arwah neneknya. Marlia mengikuti cara memasak dan menggunakan bahan terpilih untuk mengekalkan kesedapannya.

“Saya memilih nasi lemak hijau ini kerana berasakan tidak ramai lagi orang membuatnya di sini. Begitu juga yang lengkap lauk pauk. Nampaknya pelanggan menyukainya,” katanya.

Kini sudah dua tahun Marlia mengusahakan perniagaan nasi lemak hijau. Ia tidak mudah, kerana sebagai isteri dan ibu, tanggungjawab hakiki juga perlu dilunaskan. Dugaan sebagai peniaga juga perlu diharungi seperti turun naik dalam perniagaan.

“Saya bersyukur sangat, selain suami yang banyak membantu, anak juga tidak banyak ragam dan tahu membawa diri. Walaupun semuanya masih kecil tetapi seakan-akan memahami keadaan kami yang perlu bekerja kuat,” katanya.

Marlia, 29, sebelum ini pernah bekerja makan gaji di sebuah syarikat yang kukuh selama enam tahun. Namun dia terpaksa berhenti kerana tidak dapat memenuhi kehendak syarikat yang memintanya berpindah tempat kerja.

“Sekiranya berpindah, bagaimana dengan anak?. Jadi saya tekad berhenti kerja. Ingat lagi, keadaan waktu itu memang susah. Maklum nak bermula bukanlah mudah,” cerita anak sulung daripada lima beradik ini.

Marlia tahu, demi keluarga dia mesti berbuat sesuatu. Dia memang tidak pandai memasak tetapi dengan keadaan yang dihadapi, perlu bangkit segera dan tahu membawa diri. Dia belajar sama ada dengan ibu dan ibu mentua yang pandai memasak atau menerusi laman sosial. Dia mencuba resipi demi resipi sehingga mendapatkan yang terbaik.

“Dari berjualan di tepi jalan, pada April lalu kami berasakan perlu membuka kedai supaya orang dapat datang makan. Kami memilih pekarangan rumah yang kami tinggal ini, di Kampung Ujung Pasir, Melaka. Modal membina gerai sederhana hanya RM800. Suami buat sendiri, asal jadi sebuah gerai untuk orang datang. Orang kampung pun membantu dengan bermurah hati memberi kami zink terpakai. Jadi dapatlah menjimatkan lagi kos,” katanya.

Sekiranya ke gerai Marlia, tampak segalanya dilakukan sendiri. Anak terjaga sambil dia mencari rezeki. Apabila ada masa, anak sulung tidak lokek menghulur tenaga.

MENU HISPTER

“Saya terfikir mahu memberi kelainan dengan menambah lauk-pauk yang agak berbeza daripada nasi lemak biasa. Kami buat set. Set bersama ikan siakap goreng, set udang goreng dan paling berbeza ialah set ayam goreng berkeju. Semuanya digoreng tepung dahulu, juga resipi saya sendiri,” jelasnya.

Idea Marlia memang menjadi kelainan yang dicari warga kini, yang disebut hipster. Sentuhan ayam goreng tepung ditambah keju dimakan bersama nasi lemak rupanya enak juga. Apa yang penting kita berani mencuba.

Tetapi sambalnya yang sedap dan pedas tetap dikekalkan menjadikan tradisi nasi lemak masih dapat dinikmati.

“Memang saya akui penat, kerana selain gerai, saya juga menyediakan makanan Barat dan menawarkan perkhidmatan penghantaran makanan. Bagaimanapun, saya seronok kerana berjaya mewujudkan gerai yang tampil berbeza walaupun dalam suasana yang serba sederhana,” katanya.

Kehadiran gerai Marlia itu secara tidak langsung dapat mempromosi suasana kampung yang berdekatan dengan masjid dan rumah kampung yang masih mengekalkan tradisi kecantikan aslinya.

“Selain orang tempatan, orang luar juga ramai yang datang ke gerai saya ini sebab saya mempromosi di Facebook,” cerita Marlia.

Disiarkan pada: September 26, 2017 @ 11:46am
d