hati

Usah pandang remeh pengelap cermin

Oleh HM Digital

Sama ada anda seorang daripada jutaan pemandu harian atau pemandu hujung minggu, penting untuk memiliki kemahiran penyelenggaraan asas kereta, terutama bagi wanita.

Pemandu kereta wanita sering dianggap ‘buta’ dalam memastikan keselamatan kenderaan dan penjagaannya, malah biasanya golongan ini lebih gemar menyerahkan bulat-bulat kepada pusat servis kenderaan atau bengkel kereta untuk penyelenggaraan.

Sesetengah wanita mungkin mengetahui serba sedikit penjagaan asas kereta seperti mengisi angin tayar, memeriksa air bateri atau minyak enjin mahupun menukar tayar kereta jika pancit.

Apabila anda mempunyai sedikit kemahiran ini, ia bukan saja dapat menjaga keselamatan di jalan raya malah membantu jika berlaku keadaan tidak diingini.

Bagaimanapun, pengelap cermin antara perkara yang sering tertinggal dalam senarai penyelenggaraan yang biasanya hanya diingati jika perlu ditukar semasa memandu dalam hujan.

Setengah kedai mengenakan kos untuk menukarnya manakala ada yang tidak mengenakan bayaran pemasangan. Bagaimanapun, menukar pengelap cermin yang berkualiti sama penting dengan penyelenggaraan lain apatah lagi negara kita kerap hujan apabila tiba musimnya.

Pegawai Pemasaran Saluran, Selepas Pasaran Automotif Bosch Ellissa Yeo berkata, wanita perlu menguasai serba sedikit ilmu mengenai pengelap cermin kerana ia antara sebahagian penting kenderaan yang tidak boleh dipandang remeh.

Katanya, pengelap cermin yang tidak ditukar selepas ia tidak lagi berfungsi dengan baik mengundang bahaya jika hujan lebat kerana mengganggu pandangan dan menghilangkan fokus pemanduan.

“Akibatnya, pelbagai kejadian tidak diingini boleh berlaku seperti kemalangan. Pengelap cermin yang sudah tidak berfungsi dengan baik seelok-eloknya ditukar segera.

“Ramai pemandu terutama wanita sering terlepas pandang apabila tiba bahagian penyelenggaraan pengelap cermin mata. Selain itu, mendapatkan pengelap cermin yang berkualiti baik juga perlu diambil kira,” katanya pada bengkel penukaran pengelap cermin Bosch bersama media baru-baru ini.

Bosch menawarkan pengelap cermin terbaru, Aerotwin Plus yang kini dengan sistem pemasangan lebih mudah dan boleh dilakukan sendiri.

Ellissa berkata, proses penukaran pengelap cermin biasanya mengambil masa kurang 10 minit dan sebelum menukarnya, pastikan membeli pengelap baru dengan ukuran yang sama dengan pengelap asal.

Katanya, lihat label di belakang kotak bungkusan pengelap baru atau boleh gunakan pita pengukur dan jika tidak pasti dengan cara pemasangan, rujuk kepada lakaran yang disertakan di bahagian belakang kotak pengelap cermin baru anda.

Lima langkah penyelenggaraan pengelap cermin:

1. Tiba masa untuk menukar pengelap cermin apabila pandangan anda tidak lagi kelihatan jelas.

2. Jangan biarkan pengelap cermin terangkat. Ini kerana ia akan menyebabkan lama-kelamaan tali di dalam lengan pengelap longgar. Melabur sepasang pengelap cermin tropika yang baik sebenarnya boleh membantu memanjangkan jangka hayatnya dalam iklim tropika.

3. Pembunuh pengelap cermin adalah minyak. Teori yang sama seperti membersihkan pinggan. Jangan sesekali mengelap minyak pada pengelap cermin anda kerana minyak akan merosakkannya dan memburukkan keadaan pada cermin anda. Bersihkan minyak menggunakan cecair pencuci pinggan mangkuk. Cermin depan akan bersih dan jelas.

4. Memasukkan pencuci cermin kereta di dalam tangki pengelap cermin juga amat baik. Ia akan membantu membersihkan kekotoran secara efektif

dan lancar setiap kali pengelap cermin ini berfungsi.

5. Bagaimana mahu memilih pengelap cermin yang betul untuk kereta? Tip pertama, kebanyakan kereta Asia menggunakan pengelap cermin penyangkuk U sementara kereta kontinental atau Eropah biasanya menggunakan klip pelbagai. Anda perlu mengenal pasti penyangkuk untuk mengelakkan anda tersalah pilih pengelap cermin.

Tip kedua, gunakan terma pencarian yang betul untuk mendapatkan jawapan paling tepat. Selalu mencari jenama, model kereta dan tahun pembuatannya. -Yusliza Yakimir Abd Talib

Disiarkan pada: September 26, 2017 @ 12:06pm
d