hati

Nikmat secawan teh

Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Teh antara minuman yang digemari ramai. Sama ada disediakan sejuk atau panas, kesegaran menikmati minuman teh tidak dapat dinafikan.

Diturunkan secara generasi ke generasi, teh dalam bentuk asli masih mempunyai peminatnya yang tersendiri walaupun pelbagai perisa dan bau boleh didapati di pasaran.

Selain segar diminum panas ataupun sejuk, banyak inovasi yang boleh dilakukan terhadap penggunaan teh dalam masakan. Ia dibuktikan pada majlis sambutan ulang tahun ke-75 jenama 888.

Semua tetamu tidak melepaskan peluang untuk menyertai sesi merasai lima jenis teh yang berasal dari China, Indonesia, India, Kenya dan Sri Lanka.

Rata-rata tetamu yang hadir menggemari teh dari China kerana rasanya yang lebih ringan dan sesuai dijadikan minuman panas.

Selain deretan kepelbagaian bau dan rasa teh tanpa gula, ada juga sajian yang disediakan dicampur bersama sedikit teh untuk memberikan pengalaman unik kepada tetamu.

Antara hidangan yang disediakan adalah ayam salai panggang dengan teh hitam premium, roti teh buatan tangan, biskut dan kek serta pelbagai minuman menyegarkan yang dicipta khas pada majlis berkenaan.

Menurut Pengarah Urusan Thong Guan Trading Sdn Bhd Datuk Ang Poon, matlamat jenama itu adalah untuk meneraju dan memberi inspirasi kepada setiap hirupan dalam secawan teh.

“Melalui pengalaman dan pengetahuan mengenai pelbagai jenis teh dari serata dunia, kami tahu di mana hendak mendapatkan teh terbaik, cara mencampurkan serta mendidihkannya seperti dimahukan masyarakat di negara ini.

“Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, kami menaik taraf fasiliti produksi secara berterusan untuk menambah kuantiti pengeluaran dan latihan kemahiran dalam mengembangkan hasil produk,” katanya.

Syarikat di Sungai Petani, Kedah itu menghasilkan lebih 2,000 tan teh, kopi dan minuman bijiran dalam setahun. Pada 1942, ketika negara berada dalam kancah peperangan dunia kedua, mendiang Ang Thong Guan berbasikal selama dua hari untuk meminjam RM50 daripada bapa mentuanya dan memulakan perniagaan pengedaran teh di pasar tempatan di Sungai Lalang.

Sejak itu, bermulalah perniagaan keluarga yang pakar dalam pembuatan teh bungkus dan ia terus berkembang hingga ke hari ini dengan kehadiran teh berperisa, Teh Wangi Ros dan minuman tiga dalam satunya.

Disiarkan pada: September 27, 2017 @ 2:00pm
d